Total Pageviews

Monday 2 September 2013

RIWAYAT LAMBOR KIRI: SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI, PARIT, PERAK


BAHAGIAN YANG KETIGA

Riwayat Lambor Kiri

Negeri Perak Darul Redzuan adalah terbahagi kepada beberapa jajahan atau daerah tertentu iaitu (1) Kerian (2) Larut, Matang dan Selama  (3) Hulu Perak (4) Dinding (5) Kuala Kangsar (6) Hilir Perak (7) Batang Padang (8)Kinta

Jajahan-jajahan ini dikatakan telah diwujudkan didalam masa pemerintahn Tuan Sir Hugh Low, Resident British yang ketiga di negeri Perak.  Tiap-tiap jajahan atau daerah pula terbahagi kepada beberapa mukim mengikut kecil atau besar daerah itu, begitulah pula kecil atau besar bilangan mukim dan tiap-tiap mukim terbahagi pula kepada beberapa kampung.

Mengikut cerita tawarikh di zaman purbakala, tiap-tiap mukim diketuai oleh seorang pemerintah yang dipanggil Penghulu daripada darjah atau gelaran Orang-orang Besar Tiga Puluh Dua dan mukim yang besar daripada darjah Orang Besar Enam Belas.

Kebanyakkan mukim itu maka penghulunya ialah daripada satu keluarga atau ketua yang asal membuka tempat atau mukim itu turun-temurun.  Misalnya,  Mukim Pasir Salak di bawah seorang penghulu daripada satu keluarga di situ.  Di Mukim Pulau Tiga pula daripada satu keluarga yang lain.  Di Mukim Lambor Kanan pula daripada satu keluarga yang lain pula dan demikian juga di Lambor Kiri dan seterusnya di mukim yang lain di negeri ini.

Peraturan atau keadaan ini telah berubah sedikit demi sedikit semenjak kemasukan pemerintahan kerajaan Inggeris ke negeri ini di dalam tahun 1874 oleh kerana penghulu-penghulu adalah juga diiktiraf sebagai Pegawai Kerajaan yang terpaksa bersara bila sampai umurnya tua untuk bersara, misalnya, di tempat lain di Mukim Lambor Kiri di masa itu penghulunya ialah daripada keluarga kami Alang Abdul Ghafar bin Toh Dewa (Panjang Ogek) mengikut riwayat apabila ia meninggal dunia di dalam masa pemerintahan Sir Hugh Low menjadi Resident British negeri Perak yang ketiga, maka seorang lain bernama Tok Adam daripada keluarga yang lain telah dilantik menjadi penghulu di situ untuk mengantikan Alang Abdul Ghafar.  Kejadian itu telah berlaku disebabkan oleh kerana di masa itu kerajaan telah ikhtiar bagi memungut cukai atau hasil negeri untuk rancangan kemajuan negeri dan membiayai pegawai-pegawai dan kakitangan pemerintah negeri ini dan satu daripada cukai yang telah diurakan ialah cukai kepala.  Cukai ini difikirkan oleh orang-orang ramai adalah menjadi keberatan kepada rakyat jelata terutama kepada keluarga yang besar atau ramai bilangan ahlinya dan di masa itu Tok Penghulu sendiri sebagai anak kepada Toh Dewa Panjang Ogek ada lima belas orang adik beradik selain daripada anak-anak mereka pula.  Oleh itu, ia sendiri tidak suka hendak menekan anak-anak buahnya yang telah memberontak tidak hendak membayar cukai yang telah diura-urakan itu.  Bagaimanapun, kerajaan tidak meneruskan rancangan itu.

bersambung
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

No comments:

Post a Comment