Pada masa
saya mula tiba untuk bekerja di situ, saya dapati beberapa perkara yang saya
sendiri fikirkan ganjil iaitu di antaranya:-
(1) Sebagaimana
yang saya dahulu sebutkan iaitu kebanyakkan orang yang datang berubat ialah
dari penyakit luka dan bermacam-macam jenis luka pula. Mereka percaya atau mereka sangka merasai
iaitu memakan telur ayam atau telur itik adalah membuat lagi kuat sakit luka
mereka merebak dan membanyakkan nanah.
Semasa mereka berubat di rumah sakit mereka diberi makan daging dua kali
seminggu, ikan dua kali seminggu, telur itik dua kali seminggu dan ikan kering
sekali seminggu. Oleh itu, apabial tiba
giliran memakan telur itik tiga biji seorang pada sehari, mereka kebanyakkannya
tidak mahu memakannya, maklum saja sebuah rumah sakit oleh itu Pak Uda (Syed
Abu Bakar) penjaga wad himpunkan telur-telur itu ke dalam raga dan terkadang
hingga penuh dua raga telur itik yang sudah direbus itu dibawa pulang. Selain daripada dibuat gulai, kami makan begitu
saja (ratah) tidak termakan-makan. Di
masa itu, saya masih lagi bujang dan Pak Uda duduk di bilik belakang rumah
saya. Begitulah halnya pada hal kerajaan
mengadakan peraturan makanan yang cukup berzat seperti telur yang orang-orang
Melayu di masa itu sendiri pula tidak suka memakannya.
(2) Setengah
daripada mereka yang mengidap penyakit yang dirawat di hospital pula disediakan
makan telur ayam, yang direbus setengah masak mengikut keadaan sakitnya dan
inipun serupalah nasibnya sebagaimana yang telah disebutkan di atas.
(3) Setengah
penyakit seperti penyakit cirit, terutama cirit darah (Dysentry) tidak
dibenarkan makan makanan keras seperti nasi atau sebagainya. Mereka diberikan makan susu cair cap junjung
hingga sampai dua tin besar bagi seorang sehari dan pada lazimnya satu peti
susu itu atau lebih dikeluarkan pada tiap-tiap hari untuk orang-orang yang
mengidap penyakit itu.
Saya tidaklah
tahu dari mana terbitnya berita yang mengatakan iaitu susu itu bukannya sebenar
susu lembu tetapi ialah susu beruang putih di sebelah Kutub Utara “White Polar
Bears”. Oleh itu, kebanyakkan
orang-orang sakit terpengaruh dan tidak mahu meminumnya. Saya terpaksa keluarkan juga daripada stor
sebanyak tin-tin susu yang dikehendaki mengikut hitungan dan aturan makanan
bagi orang-orang sakit itu. Saya tidaklah
tahu bagaimana mereka buat sebelum saya sampai tetapi bila saya mula tiba,
dicadangkan tin-tin yang orang-orang sakit tidak mahu minumnya itu dan asing
dan sebelahkan. Saya seorang yang baru
tiba dan baharu bekerja, ikut sajalah sebagaimana yang saya diberitahu.
Demikian
keadaan dan perjalanannya pada masa itu pada hal sebagaimana yang telah saya
katakan kerajaan membelanjakan wang yang banyak bagi mengadakan rumah sakit
khas bagi orang-orang Melayu dan wang untuk membeli barang-barang makanan yang
berzat seperti susu untuk orang-orang Melayu khasnya mendapat layanan dan
membaiki kesihatan diri mereka sendiri yang mereka pada masa itu tidak berapa
suka memakan atau meminumnya. Sayapun
tidak tetahan daripada meminumnya dalam stor sebelah dapur di situ satu atau
dua tin pada tiap-tiap pagi bersama-sama dengan telur-telur ayam yang direbus
setengah masak yang mereka itu jua tidak mahu memakannya sehingga di dalam masa
empat atau lima bulan saja saya terpaksa membeli pakaian (kot dan pantloon)
yang baharu oleh kerana saya telah jadi gemuk dan tidak boleh lagi memakai
pakaian yang lama.
No comments:
Post a Comment