Keadaan dan
semacam ini berjalan sehingga pada satu hari di awal tahun 1917, kami dengar
dengan terperanjat iaitu Mr Moreira Pemeriksa Setot-setor (Checker of Stores)
Negeri-negeri Melayu Yang Bersekutu (F.M.S.) dari Kuala Lumput telah tiba di
Rumah Sakit Umum Kuala Kangsar untuk lawatan tahunan memeriksa
setor-setor. Kami bernasib baik juga
kerana ia pergi ke Rumah Sakit Umum dahulu dan dua tiga hari selepas itu baharu
datang ke Rumah Sakit Melayu Kuala Kangsar.
Pada hari ia
mula sampai ke Kuala Kangsar, kami dapati iaitu tidak kurang daripada 20 peti
susu cair ada berlebih. Kami
kelang-kabut tidak tahu apa hendak buat.
Hendak berkata benarpun takut jadi salah. Oleh yang demikian, kami cadangkan susu itu
dibawa ke tempat lain. Hendak dibawa ke
rumah sendiripun takut jadi salah jua.
Oleh itu Allahyarham Encik Mohd Nor, Dresser Hospital Melayu yang baru
bertugas ke situ menggantikan Encik. S. Sabdin yang telah ditukar ke Parit
mencadangkan supaya susu-susu yang lebih itu ditanam kedalam tanah untuk
sementara waktu. Maka telah berbangkitlah pula soal di mana hendak ditanam dan
bagaimana pula jikalau susu-susu itu di korek dan dicuri kelak pada malam hari
kerana sekurang-kurangnya dua orang lain tentu tahu iaitu nama Sibayam Tandil
dan seorang kulinya. Oleh itu,
bersetujulah ditanam pada malam hari itu di belakang “Cottage” (sudah ada
disebutkan) dengan ditebuk tin dan dituangkan susu itu daripada tinnya ke dalam
lubang yang dikorek itu sebanyak tidak kurang daripada 20 peti. Oleh itu, cadangan itu dipersetujui dan
dijalankan.
Dengan itu
difikirkan habislah riwayat susu-susu tin lebih yang orang-orang sakit Melayu
tidak mahu makan. Rupanya rahsia itu
telah tiba kepada pendengaran Mr. S.P. kerani dan penjaga setor di Rumah Sakit
Umum Kuala Kangsar. Pada satu pagi,
dengan seolah-olah mengugut saya ia cadangkan iaitu apabila membuat order susu
yang akan datang, separuh daripada susu itu disimpan di setor di Rumah Sakit
Umum yang di bawah jagaannya. Sekiranya
ada pemeriksa datang memeriksa, maka bolehlah diterangkan susu itu ada disimpan
di setor rumah sakit umum. Kerana di
masa itu apabila peti-peti susu itu tiba dengan keretapi, maka kereta lembu
yang membawa jenazah orang yang bukan Islam digunakan bagi membawa susu-susu
itu daripada stesen keretapi ke Rumah Sakit Melayu. Jenazah orang-orang Islam dikebumi khas oleh
pemborong orang-orang Islam. Oleh itu,
Rumah Sakit Melayu tidak payah mengadakan kereta lembu baginya. Saya
di masa itu baru lima bulan bekerja di situ di dalam cubaan selama 6
bulan. Oleh itu, mahu-tak mahu, turutlah
sahaja kerana ditakuti kerja saya tertahan daripada disahkan (confirmed)
selepas masa percubaan selama enam bulan itu.
bersambung
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA
No comments:
Post a Comment