Berbalik kepada kisah diri saya sendiri, saya tidaklah ketahui samada orang yang tersinggung hati bersabit dengan langkah saya berjumpa dengan Tuan British Resident tempuh hari dan dapat kerja dengan secepat mungkin. Saya telah ditukarkan ke Pejabat Tanah ke Parit Buntar pada 1.5.1916 sebagai Pemangku Kerani Gred III iaitu di dalam masa kurang daripada dua bulan dan sayapun berasa girang hati kerana itu. Tetapi dengan tidak semena-mena, di hujung bulan itu juga saya ditukar daripada sana ke Kroh Hulu Perak daripada 1.6.1916. Surat hukum tukar itu diterima pada 31.5.1916 dan dengan serta-merta saya dikehendaki pergi sehingga tidak sempat saya menanti petang hari itu untuk berkhabar kepada Engku Shahriman yang saya tumpang rumahnya selama saya di Parit Buntar kerana di hari itu, ia pergi keluar di atas urusan jawatannya.
Untuk maklumat pada masa itu (1916) Pejabat Kecil Kroh yang dipanggil “New Territory” baru saja diserahkan ke Perak dan jalan terus-menerus Bukit Mentajam sebagaimana sekarang belum ada lagi. Untuk pergi ke sana terpaksalah melalui Lenggong dan Grik dan daripada Grik ke Kroh terpaksa menunggang gajah naik bukit dan turun bukit 3 hari dan 2 malam di jalan. Oleh itu, maklum sajalah bagaimana rasanya hendak pergi bertukar ke sana. Kebetulan pula, semasa di Parit Buntar semasa hampir sebulan itu saya sudah berasa kurang sihat. Bagaimana tidak ada jalan yang ternampak kepada saya selain daripada pergi juga, jika hendak bekerja terus.
Saya bertolak pada hari itu jua 31.5.1916 ke Taiping dan di sana saya berjumpa dengan bapa-saudara saya Tajul Ariffin yang baru bertukar ke bandar itu. Ia nasihat saya berjumpa tuan doktor dan jika boleh terus masuk hospital. Sayapun pergi ke hospital Taiping minta cuti sakit atau masuk rumah sakit. Doktor minta saya bawa surat ketua pejabat saya. Oleh itu saya pergi jumpa “O.A.” minta surat itu. Ia marah mengapa saya belum pergi lagi dan saya jawab iaitu saya tidak boleh pergi kerana saya sakit. Ia terus bawa saya berjumpa Penolong Setiausaha Resident iaitu Tuan Mark Rex. Tuan itu beri saya surat kepada tuan Doktor. Katanya:
M.O.
Please examine bearer Mohd Yakob bin Ngah Abas, who complains that he is ill. He was due to leave for Kroh this morning
M.Rex
1/6/16
Saya bawa surat itu berjumpa doktor dan kebetulan pula hari itu seorang doktor Melayu, Pandak Ahmad baru tiba daripada Kolej Perubatan Singapura. Ia terus masukkan saya berubat di rumah sakit itu. Saya di tempatkan dalam wad kelas dua yang di bawah jagaannya dan lawatan hari-hari oleh doktor besar Dr. S.C.G. Fox sendiri. Ia tulis penyakit saya sebagai B.B. (Beri-Beri) mengikut rekod atau penjelasan di tiket saya dan diberi ubatan kerananya. Sementara itu darah saya diambil dan dihantar ke Pusat Penyelidikan untuk diperiksa. Lepas seminggu baru dapat jawab menyatakan darah saya mengandungi kuman B.T. (Benign Tertian) iaitu sejenis kuman deman kepialu “Malaria” dan Dr. C.B. Pasley yang melawat wad itu juga potong B.B. dan diganti dengan B.T. Ia beri saya makan sekati sup ayam tiap-tiap hari selepas itu. Bagaimana ia berbuat begitu tidaklah saya tahu dan barangkali oleh sebab pada pandangannya saya kurus kering kerana sebenarnya di masa itu saya telah sebenarnya didapati sakit.
Saya bersyukur kepada Allah di masa itu kerana telah didapati saya sebenarnya sakit B.T. Oleh itu, tepatlah saya tidak berolok-olok. Lagipun, sekiranya saya dianggap sebagai pengidap penyakit B.B. harus saya terkena berhenti kerja kerana saya baru saja masuk kerja.
bersambung
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA
No comments:
Post a Comment