Pada pagi hari lagi pada 3.3.1916 sebelum kebanyakkan orang-orang lain datang, saya telah datang ke pejabat sekretariat dan selepas mendapat borang untuk pemeriksa doktor dan sumpah jawatan di hadapan majistret, saya telah pergi ke Hospital Taiping untuk diperiksa oleh doktor dan lepas itu berjumpa dengan Tuan Majistret pula. Kebetulan pula, pada masa itu ada seorang yang lain daripada bangsa Jaffna Ceylon yang dapat pekerjaan sebagaimana saya juga dan kami berdua-dua pun pergi ke sana sini bersama-sama sekali.
Jam 3.00 petang itu kami berdua balik bersama-sama ke pejabat itu selepas selesai diperiksa doktor dan sumpah di hadapan Majistret. Kawan saya itu (orang Jaffna) diterima reported for duty 3.3.1916 kerana “uncle” bapa saudaranya ada bekerja di pejabat itu dan saya diberitahu dengan manis “Come and report for duty tomorrow”. Sekali lagi nama saya terjatuh ke bawah daftar jawatan untuk pertimbangan di masa hendak menaikan darjah kerja kelak. Pada hal bersama-sama kami pergi dan mari. Bagaimanapun, kali ini saya tidak lagi diusir kerana saya bawa bersama-sama saya sampul surat daripada pejabat itu.
Demikian saya telah mula bekerja di Pejabat Sekretariat Taiping, Orang Besar yang saya ikut sebulan dahulu telah datang pula ke situ dan langsung bermalam di Istana Kelab Taiping sebagaimana kebiasaannya ia perbuat apabila datang ke bandar itu. Ia dapati saya ada lagi duduk menumpang di rumah Tok Aki Tahir di belakang rumah Istana Kelab Taiping. Oleh kerana saya ada di situ, maka ia ajak saya lagi sekali pergi bersamanya ke sebelah Utara Perak. Saya beritahu ia bahawa saya tidak lagi boleh pergi bersamanya kerana saya sudah dapat kerja. Nampaknya ia kurang percaya dan jadilah soal-jawab sebagaimana berikut:-
Orang Besar - Sudah dapat kerja?
Saya - Benar Tengku
Orang Besar - Apa kerjanya
Saya - Di pejabat itu, saya tunjukkan kearah
bangunan sekretariat yang tidak jauh daripada situ.
Orang Besar - Pangkah Puller kah?
Saya - Ada sedikit tinggi Tengku.
Orang Besar - Peonkah?
Saya - Ada sedikit tinggi Tengku.
Orang Besar - Notice Serverkah?
Saya - Ada sedikit tinggi Tengku.
Orang Besar - Apa juga sedikit tinggi ini?
Nampaknya tiap-tiap kali saya menjawab, ia naik satu tangga ke atas ke arah tingkat atas bangunan itu, terus tak syak lagi
- Malay-Writer kah?
Saya - Sedikit lagi tinggi, Tengku
Orang Besar - Ia garu kepala dan tanya lagi
- Mika adakah mengaji di Sekolah Inggeris dahulu?
Saya - Pass Tengku
Dengan itu, ia terus lari ke atas rumah (Istana Kelab) dan semenjak itu, di mana-mana saya jumpa ia, saya beri hormat tetapi ia pura-pura tidak kenal lagi.
bersambung
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA
No comments:
Post a Comment