2.
Di Pejabat Haiwan
Semasa saya
bekerja di rumah sakit yang tersebut ada dua ekor lembu jantan dipelihara di
situ untuk menarik kereta lembu yang membawa mayat-mayat orang yang mati di
rumah sakit itu untuk ditanam di tanah wakaf perkuburan. Kereta itu jua digunakan untuk membawa kayu
yang diambil oleh penjaga kereta itu daripada hutan yang berdekatan untuk
dijadikan kayu api bagi memasak makanan orang sakit di rumah sakit itu. Pada mula saya tiba ke situ, saya pun diberi
kayu api itu untuk dapur saya sebagaimana adat sebelum saya ke situ. Tetapi saya kata tidaklah payah saya diberi
kayu itu kerana saya tidak ada orang yang hendak memotong dan menariknya. Oleh itu, saya tidaklah diberi lagi.
Lembu-lembu itu
sudah tua tetapi masih gemuk lagi kerana diberi makan yang cukup daripada
makanan lembu yang dibeli kerananya, selain daripada rumput yang
disediakan. Oleh kerana lembu itu
kepunyaan kerajaan, maka selalulah dilawati oleh Tuan Penolong Pegawai Haiwan
daripada semasa ke semasa. Pada satu
masa tuan itu memberi penyata (report) iaitu lembu-lembu itu sudah tua dan tidak
boleh digunakan lagi. Saya kata saya
boleh cari orang kampung untuk membelinya dengan atau jika harganya berpatutan
atau dijual dipajak potong dan dengan cara itu kerajaan pun tidak rugi.
Tuan itu tidak
sekali-kali bersetuju. Katanya lagi
lembu-lembu itu sudah tua dan tidak boleh digunakan lagi kerana menyiksa
binatang iaitu kejadian tuhan jua yang tidak boleh berkata untuk membela diri
sendiri dan jika disembelih dagingnya tidak lagi layak dimakan oleh
maknusia. Oleh itu, hendaklah ditembak
untuk menamatkan penderitaannya (orang kerajaan bila cukup umur diberhentikan
dengan diberi saraan). Binatang-binatang
tidak siapa hendak menyara bila sudah tua tidak boleh bekerja lagi.
Pada satu
petang, sampailah masanya untuk dibawa kedua ekor lembu itu ke tanah wakaf
perkuburan untuk ditembak dan ditanamkan yang akan didaksikan oleh Tuan
Penolong Pegawai Haiwan. Saya tidak lalu
hati hendak melihatnya dan saya pergi terkemudian daripada itu menyaksikan
lembu-lembu itu sudah ditembak dan ditanam.
Apabila tugas
itu telah dijalankan, haripun hampir gelab malam dan masing-masing bersurai
balik pulang ke rumah masing-masing. Di
antara mereka pekerja-pekerja di rumah sakit itu yang pergi bersama untuk
bertugas menanam lembu itu ada yang meminta kebenaran daripada saya untuk
mengambil hati lembu-lembu itu untuk mereka.
Saya tidak bersetuju dan tidak berani membenarkannya.
Pada fikiran
saya habislah sudah riwayat kedua ekor lembu itu. Tetapi selepas tiga bulan daripada itu,
tatkala saya pergi melawat rumah-rumah berek tempat duduk pekerja-pekerja rumah
sakit itu yang letaknya di luar kawasan rumah sakit itu, saya mencium bau yang
busuk. Saya siasat daripada mana
datangnya bau itu dan mereka masing-msing yang duduk di situ berdiam saja
tetapi seorang daripada mereka yang harus tidak mencampur tangan dalam perkara
itu memberitahu saya iaitu selepas saja kami balik selepas menanam kedua-dua
ekor lembu itu, pekerja-pekerja di situ pergi balik ke tempat itu. Mereka korek balik lubang-lubang itu. Maklum sajalah kerana baru saja di timbus. Pada mulanya mereka lapah kedelapan peha dan
kaki kedua ekor lembu itu serta dengan kulitnya sekali kerana hendak
segera. Mereka berbagi di antara mereka
sepeha seorang. Apabila pekerja-pekerja
yang lain pula dapat khabar itu, mereka pula bawa pisau masing-masing dan lapah
seberapa yang dapat. Oleh kerana di masa
itu gelab gulita dan masing-masing berdulu-dulu dan bersungguh-sungguh pula
berkehendakkan diging lembu itu, maka mereka pun lapah dengan kulitnya
sekali. Selepas itu selain daripada yang
mereka buat gulai dan rendang mereka buat pula pekasam dan ada pula yang
menjemur kering daging itu untuk disimpan lama.
Pendek kata, sudah tiga bulan mereka tidak pergi pasar untuk membeli
daging dan ikan.
Yang anihnya
tidaklah pula siapa-siapa pun daripapada mereka dapat sakit disebabkan memakan
daging lembu yang terdahulu dikatakan tidak layak lagi dimakan oleh maknusia.
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA
No comments:
Post a Comment