Apabila saya
balik ke situ, maka masing-masing bersetujulah tidak lagi bergaduh sama-sama
mereka di masa hadapan. Saya jelaskan
kepada mereka yang saya belum lagi percaya akan boleh jadi aman mengikut
sebagaimana yang telah berlaku di masa yang telah lepas. Pak Man minta saya terangkan kepada mereka
bagaimana cara yang saya kehendaki. Saya
beritahu mereka yang saya tidak mahu tahu siapa yang benar dan siapa yang
salah. Yang saya kehendaki ialah cuma
orang-orang yang muda meminta maaf kepada yang lebih tua di hadapan orang ramai
di situ sekarang. Oleh itu terpaksalah
keluar mulanya anak-anak dara mereka
yang selalu menjadi punca pergaduhan yang lalu dan dengan cara itu habislah
masing-masing semua keluar daripada rumah atau bilik mereka - tidak kira anak dara, janda atau bini orang - habislah masing-masing bermaaf-maaf
di antara mereka,.
Setelah itu saya
katakan lagi kepada Pak Man yang saya tidak lagi yakin aman atau selesai. Pak Man garu kepalanya yang sudah botak
sambil berkata apa lagi hendak dibuat.
Saya jawab jika mereka masing-masing hendak bedamai, saya akan beri wang
saya sendiri untuk beli dua gantang pulut dan orang yang ramai hendaklah
muafakat pada masa itu jua untuk membeli dua ekor ayam dan perkakas memasak
yang lain. Dengan serta merta mereka
tangkap dua ekor ayam mereka dan disembelih sekejab itu jua dan jadilah pada
petang itu satu kenduri yang bersejarah bagi orang-orang Melayu di situ,
khasnya dan orang-orang lain di situ amnya.
Selepas itu pula
pada pagi besoknya seorang daripada mereka telah berkejar dengan gopoh-gapah
berjumpa saya di pejabat mengatakan kepada saya iaitu Abang Mat … ada di pintu
jalan masuk ke rumah sakit itu hendak memukul ianya. Saya pun pergi lihat daripada tingkat atas
pejabat dan saya dapati sebenarnya orang itu ada di situ. Saya kata, Mat Isa namanya – mike pergi unjuk
tangan bersama dengannya, buat baik kepadanya dan jika ia pukul mike, maka saya
dan sekelian yang ada di rumah sakit ini akan menjadi saksi sebelah mike. Iapun pergi berbuat demikian tetapi tidaklah
terjadi apa-apa. Orang itu kata yang ia
hendak berjumpa dengan adiknya (Mat….) dan ia lalu berpesan kepadanya untuk
adiknya datang sebentar berjumpa dengannya.
Semenjak itu
tidaklah terjadi lagi apa-apa pergaduhan di situ dan jadi terus aman dan jua
hari itu dijadikan hari ulang tahun dan di hari yang sama mengingatkan hari
yang bersejarah kepada mereka. Bukan itu
saja, maka dijadikan satu pakatan untuk mereka menyimpan wang bagi kegunaan
mereka di mana-mana masa mereka berkehendakkan pertolongan atau di masa
kecemasan kerana di masa itu belum ada lagi syarikat kerjasama kerajaan
sebagaimana sekarang.
Saya bekerja di
rumah sakit itu lebih daripada sepuluh tahun dan apabila saya telahpun bertukar
daripada situ, mereka tidak lupakan saya bila-bila masa mereka mengadakan
kenduri keramainan itu pada tiap-tiap tahun yang selalu mereka adakan sebagai
berkelah di tepi sungai di situ.
Saya teringat
peristiwa itu dan selama saya bekerja di situ bersama mereka apabila saya
mengadakan kenduri-kendara, mereka semua bertungkus-lumus menolong saya dan
pula membawa buah tangan sebagai tanda peringatan.
Oleh kerana
masanya telah berpanjangan semenjak itu, iaitu telah lebih daripada 45 tahun
yang lalu, maka kakitangan-kakitangan dan pekerja-pekerja di Rumah Sakit Teluk
Anson daripada orang-orang Melayu yang berkhidmat di situ di masa itu tentulah
kesemuanya telah berhenti kerja dan banyak pula yang telah meninggal dunia. Oleh itu, saya tidaklah tahu lagi dan
haruslah tidak lagi diingati dan diadakan kenduri hari ulang tahun yang
bersejarah yang telah diadakan di masa dahulu beberapa tahun. Bagaimanapun, keadaan di situ sebagaimana yang
telah disebutkan telah jadi aman sentosa hingga masa ini.
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA
No comments:
Post a Comment