Total Pageviews

Monday, 31 December 2012

PERSEKOLAHAN ANAK-ANAK DAN KELUARGA (Sambungan 1): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;


Sebagaimana yang telah disebutkan, saya biasa dilantik sebagai Bendahari atau Penyimpan Wang Yang Kehormat pada tiap-tiap tahun tetapi bagaimanapun saya teringat peristiwa di dalam satu mesyuarat Agung Ulang Tahun di mana seorang daripada ahli yang hadir telah bangun menentangkan yang wang saguhati yang dicadangkan oleh jawatankuasa syarikat itu bagi saya bagi tahun yang baharu lepas dikurangkan daripada $600.00 kepada $300.00.  Saya pandang kepadanya dan saya nampak ia bersungguh-sungguh dengan cadangannya itu dengan alasan yang menarik.  Oleh itu, saya telah minta izin Tuan Pengerusi Mesyuarat iaitu Tuan J.A. Miller Pegawai Jajahan Hilir Perak sebagai jawatannya Yang DiPertua Syarikat yang tersebut untuk saya meninggalkan mesyuarat itu supaya mereka dengan seluas-luasnya boleh membahaskan perkara itu sambil saya menerangkan iaitu saya telah dilantik oleh Mesyuarat Agung Ulang Tahun yang lalu dengan tidak apa-apa janji untuk dibayar sebarang wang sagu hati bagi perkhidmatan yang saya telah jalankan.  Oleh itu, sekiranya saya tidak dibayar apa-apa sagu hatipun, tidak mengapa.  Sekadarkan di masa hadapan, jika saya juga dilantik bagi jawatan itu, maka saya akan berfikir pula.  Tuan itu tidak benarkan saya keluar daripada mesyuarat sambil ia meminta jika ada sesiapa hendak menyokong bagi cadangan untuk pindaan itu.  Oleh kerana tiada sesiapa pun yang hendak menyokong cadangan bagi pindaan itu, maka cadangan itu gagal – tidak dibenarkan dan ia mempersetujukan cadangan awal (dengan tidak dipinda) dengan sebulat suara.

Semenjak itu, saya sentiasa dilantik sebagai Bendahari atau Penyimpan Wang Yang Kehormat syarikat yang tersebut kerana jasa dan kecekapan saya membuat pekerjaan itu.  Oleh kerana sebelum saya dilantik sebagai Bendahari maka Mesyuarat Agung Ulang Tahun selalu saja lambat hingga akhir tahun yang terkemudian kerana menantikan kira-kira wang tahunan diperiksa dan disahkan oleh Pemereksa Kira-kira Jabatan Kerjasama Perseketuan Tanah Melayu yang Bersekutu (F.M.S.).  Oleh itu, bayaran-bayaran sagu hati dan wang bahagian untung (dividen) biasa terlewat setahun terkemudian ataupun lebih.  Selepas saya dilantik maka saya dapat menyediakan kira-kira wang tahunan selepas saja akhir tahun itu dan biasanya pula awal hari dibuka pejabat di tahun yang baru, saya telah dapat menyediakan kira-kira wang tahunan dan dalam minggu yang awal di tahun baharu itu, saya sudah dapat bukan saja menyediakan kira-kira wang tahunan yang baharu lepas, tetapi juga penyata tahunan untuk Mesyuarat Agung di dalam bulan itu pula atau di awal bulan Februari dan selepas itu bayaran bahagian untung (dividen) dan lain dapat dibayar di dalam bulan Februari yang samasa dahulunya dapat dibuat selepas masa setahun atau lebih baru wang sagu hati dan bahagian untung boleh dibayar.

Untuk menyediakan kesemua ini dengan begitu cepat bukanlah senang dan orang lain harus tidak boleh berbuat demikian kerana kerja saya di pejabat Bendahari Kecil (Sub-Treasury) Kerajaan pun selalu sibuk dan selain daripada itu, saya juga selalu dilantik sebagai Bendahari Kehormat Kelab Melayu Hilir Perak (Lower Perak Malay Club) kerapkali juga sebagai Bendahari Yang Kehormat Masjid Melayu Teluk Anson dan apabila Bendahari Kecil (Sub-Treasurer) Hilir Perak bercuti daripada semasa ke semasa, saya pula memangku jawatan itu.  Lain pula saya dilantik sebagai Pemeriksa Kira-kira di pertubuhan-pertubuhan yang lain dan juga sebagai Pengerusi Malay Co-operative Store Teluk Anson.

bersambung
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA




4 comments:

  1. Assalamualaikum. Saya amat berharap agar dapat berhubung terus dengan saudara. Ada beberapa perkara yang ingin saya tanya dan kongsi kan. Jika tidak keberatan, saya ingin dapatkan alamat emel saudara. Saudara boleh emelkan kepada saya melalui alamat emel : muhammad@puteh.com.my Terima kasih

    ReplyDelete
    Replies
    1. Puteh,
      Memandangkan faktor masa dan kerja ini dilakukan secara sukarela, ada baiknya sebarang pertanyaan atau maklumat dimasukkan diruang ini. Jika seorang tidak dapat menjawab, mungkin yang lain boleh memberikannya.
      Kerjasama amat dihargai.

      Delete
    2. Saya adalah cucu kepada Allahyarham Uda Zainal Abidin, dan sekarang ini bertugas di Puteh Consulting Sdn. Bhd (nama 'PUTEH' diambil sempena nama Allahyarhamah Nenda Puteh Mariah). Sangat berharap dapat berkenal dan menyambung silaturahim.

      Delete
    3. Puteh,
      Terima kaseh kerana sudi berkunjung ke blog ini.
      Kebanyakkan anak dan cucu Allahyarham Haji Mohd Yaakob adalah pembaca blog ini. Bergantung kepada kelapangan masing-masing untuk respon terhadap catatan saudara.

      Delete