Total Pageviews

Monday, 29 April 2013

PENGENALAN (Sambungan 1): SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI, PARIT, PERAK.


 Selepas kemangkatan Al-Marhum Sultan Ismail jua maka Toh Seri Nara Di Raja Dayan pun meninggal dunia dan berkubur di Johor tidak sempat hendak berpindah balik ke Perak.  Saya masih ingat iaitu di masa saya lagi kecil kerana diam bersama mereka iaitu datuk saudara saya itu ada menyimpan surat ciri (ataupun salianannya saya tidak tahu) yang digantung dalam satu tabung dibawah bumbung rumah diatas para kerana takut dilangkah oleh binatang atau manusia jadi tulah.  Saya sekarang tidak tahu siapa daripada anak cucunya yang menyimpannya sekarang jika ada lagi surat itu.
 Dizaman dahulu Toh Seri Nara Di Raja ialah orang yang menggelar atau mentabalkan sultan yang kelima mengikut sebagaimana salasilah yang tersebut dan ialah jua membaca surat ciri serta membisikkan ketelingga baginda yang baru ditabalkan itu rahsia-rahsianya di masa istiadat itu dijalankan dan hingga masa inipun nampaknya istiadat membisikkan itu lagi dijalankan semasa pertabalan seorang sultan yang baharu.
 Berbalik kepada surat salasilah ‘muntah lembu’ itu yang termasuk jua salasilah di Raja maka begitu jualah surat itu saya simpan gantung di dalam tabung baginya di kepala atau diatas tiang seri dan di masa yang akhir disimpan di dalam satu almari diatas petak yang diatas sekali.  Apabila meletusnya peperangan dunia kedua pada 8 Disember 1941, maka saya bawa salasilah itu bersama lari serta berpindah ke tempat lain tetapi apabila Bandar Telok Anson dimana saya dimasa itu bekerja telah terkena bom oleh tentera Jepun maka kami terpaksa lari ke hulu Sungai Perak dengan meranduk air di setengah-setengah tempat kerana kebetulah di masa itu dibanjiri air mengalir pantai-pantai tebing sungai.  Kami lari dengan sehelai sepinggang maka sekelian harta-harta benda dan perkakas-perkakas termasuk salasilah itu terpaksa ditinggalkan disitu.  Apabila kami balik tidak beberapa lama selepas itu atau selepas tentera darat Kerajaan Jepun mendarat pada 1 Januari 1942 maka kami dapati rumah kami dan rumah tempat kami menumpang sementara telah dipecah dan dimasuki orang serta mengambil apa-apa yang ada.  Tabung tempat salasilah itu masih ada lagi tetapi isinya iaitu salasilah itu sudah dicarik-carik orang dan tidak dapat dibaca lagi kerana susah bercerai-cerai dan koyak-rabak.  Oleh itu di masa itu difikirkan tidak apa gunanya menyimpannya oleh kerana tidak dapat dibaca lagi.
 Pada mulanya saya fahamkan ada orang lain daripada keturunan yang sama yang ada menyimpan salinan salasilah itu tetapi selepas saya siasat hingga sekarang belumlah lagi saya berjawapan bagaimanapun tidaklah saya tahu pula adakah orang lain daripada keturuan yang sama yang telah berhijrah ke tempat lain seperti Senggang atau Semat yang ada menyimpan salasilah itu kerana daripada pihak merekalah gelaran-gelaran Toh Seri Nara di Raja sekarang dilantik oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan.

 Oleh yang demikian, keadaan dimasa itu maka terpulanglah kepada masing-masing samada hendak percaya atau tidak.  Bagaimanapun, setengah daripada setengah adat istiadat itu seumpama berbisik ke telingga Sultan semasa pertabalan seorang Sultan yang baru masih diikuti lagi.



bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

1 comment:

  1. Thanks for sharing, nice post! Post really provice useful information!

    Giaonhan247 chuyên dịch vụ vận chuyển hàng đi mỹ cũng như dịch vụ ship hàng mỹ từ dịch vụ nhận mua hộ hàng mỹ từ trang ebay vn cùng với dịch vụ mua hàng amazon về VN uy tín, giá rẻ.

    ReplyDelete