Total Pageviews

Monday, 1 April 2013

BERTUKAR KERJA KE BATU GAJAH DALAM MASA MELESET (Sambungan 8): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;



(3)   Tuan Pegawai Jajahan

Di satu masa sebelum meletus peperangan Dunia Yang Kedua telah datang bertukar ke Teluk Anson seorang pegawai bangsa kulit putih yang termasyhur, garang orangnya iaitu Tuan J.D.M. Smith sebagai Pegawai Jajahan (sekarang Pegawai Daerah) Hilir Perak.  Setibanya saja maka ia selalulah melawat ke sana sini.  Nampaknya untuk mencari salah.

Pada satu pagi, ia datang ke pejabat saya dan ia terus bertanya atau hendak tahu apa kerja-kerja yang saya buat dan tanggungan saya.  Oleh itu, saya jalankanlah fatwa bapa saudara saya Kulop Deris tempuh hari.  Saya terangkan sejelas-jelasnya kerja dan tanggungan saya yang memakan sedikit masa.  Sesudahnya saya jelaskan kepadanya satu perkara yang saya buat iaitu perkara selalunya Tuan Oliver (orang bangsanya) A.D.O. Sungai Manik di masa itu selalu bawa check-roll gaji kuli-kuli yang digaji untuk menebas menebang hutan di Sungi Manik dan di Labu Kubung yang di masa itu hutan belentara yang besar yang berjumlah diantara 20 dan 30 ribu ringgit.  Pada pukul sepuluh pagi dan berkehendakkan bayaran pada pukul dua pertang itu juga.  Saya kata lagi mengikut Peraturan ‘Am ia mesti beri masa sekurang-kurangnya tiga hari.  Tetapi katanya, orang-orang semua sudah behimpun untuk menerima gaji mereka.  Oleh itu saya terpaksalah cari jalan yang singkat.  Misalnya didalam sebulan yang mengandungi 30 hari, sekiranya didalam check-role itu seorang itu akan menerima gaji selama 23 hari, maka saya hitung yang pendek iaitu hari yang ia tidak bekerja 7 hari.  Tetapi sebaliknya jika ia akan menerima gaji 7 hari saja maka kira balik hari yang ia bekerja dan begitulah seterusnya dan begitupun saya kata saya terpakasa tidak balik pulang ke rumah untuk makan tengah hari.. Nampaknya ia nampak tertarik hati dengan penjelasan saya itu dan tidaklah saya ketahui apakah dengan sebab cakap saya itu ataupun lain maka saya dapati di awal tahun hadapannya dapat tambah seorang kerani di pejabat saya itu.

Semenjak itu tidaklah pernahlah dapat apa-apa teguran atau panggilan daripada tuan itu.

Selepas itu ia beralih pula meyoal ketua saya Bendahari Kecil.  Saya tidaklah tahu sama ia tidak tahu menjawab atau sebab ketakutan.  Saya dapati jawapan-jawapan yang diberinya itu biasanya tidak betul.  Pada satu pagi tuan itu bertanya kepadanya adakah “Adjudication fee” dikutip di sini.  Ia jawab ada.  Pada besok pagi pula tuan itu datang lagi bertanya berapa banyak “Adjudication fee” dikutip dalam sebulan.  Ia jawab beratus ringgit tuan.  Tuan itu tanya lagi kamu ertikah apa “Adjudication fee” itu.  Ia mula gagap dan sesudahnya ia tidak jawab yang memuaskan.  Oleh itu, tuan itu dengan marah katanya “You are a blinking empty coconut shell”.

Daripada itu nampaklah ia tidak boleh lagi bekerja dengan atau di bawah tuan itu dan pada petang itu jua ia pergi berjumpa dengan seorang manager besar sebuah ladang kelapa (estate) bangsa Eropah yang ia kenal kerana menager itu selalu datang menukar cek ladangnya di Perbendaharaan Kecil itu dan jua ia tahu tuan itu adalah kawan baik kepada Tuan British Resident Perak di masa itu dan ia meminta tuan itu berikhtiar dengan Pejabat Tuan Brutish Resident supaya ia ditukarkan atau dapat bertukar daripada Teluk Anson.  Dengan ikhtiar itu ia telah ditukarkan ke Ipoh di dalam masa seminggu saja dan diganti oleh seorang yang sebangsa dengannya.


bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

No comments:

Post a Comment