Selepas kemangkatan Al-Marhum Sultan Ismail jua
maka Toh Seri Nara Di Raja Dayan pun meninggal dunia dan berkubur di Johor
tidak sempat hendak berpindah balik ke Perak.
Saya masih ingat iaitu di masa saya lagi kecil kerana diam bersama
mereka iaitu datuk saudara saya itu ada menyimpan surat ciri (ataupun salianannya saya tidak
tahu) yang digantung dalam satu tabung dibawah bumbung rumah diatas para kerana
takut dilangkah oleh binatang atau manusia jadi tulah. Saya sekarang tidak tahu siapa daripada anak
cucunya yang menyimpannya sekarang jika ada lagi surat itu.
Dizaman dahulu Toh Seri Nara Di Raja ialah
orang yang menggelar atau mentabalkan sultan yang kelima mengikut sebagaimana
salasilah yang tersebut dan ialah jua membaca surat ciri serta membisikkan ketelingga
baginda yang baru ditabalkan itu rahsia-rahsianya di masa istiadat itu
dijalankan dan hingga masa inipun nampaknya istiadat membisikkan itu lagi
dijalankan semasa pertabalan seorang sultan yang baharu.
Berbalik kepada surat
salasilah ‘muntah lembu’ itu yang termasuk jua salasilah di Raja maka begitu
jualah surat
itu saya simpan gantung di dalam tabung baginya di kepala atau diatas tiang
seri dan di masa yang akhir disimpan di dalam satu almari diatas petak yang
diatas sekali. Apabila meletusnya
peperangan dunia kedua pada 8 Disember 1941, maka saya bawa salasilah itu
bersama lari serta berpindah ke tempat lain tetapi apabila Bandar Telok Anson
dimana saya dimasa itu bekerja telah terkena bom oleh tentera Jepun maka kami
terpaksa lari ke hulu Sungai Perak dengan meranduk air di setengah-setengah
tempat kerana kebetulah di masa itu dibanjiri air mengalir pantai-pantai tebing
sungai. Kami lari dengan sehelai
sepinggang maka sekelian harta-harta benda dan perkakas-perkakas termasuk
salasilah itu terpaksa ditinggalkan disitu.
Apabila kami balik tidak beberapa lama selepas itu atau selepas tentera
darat Kerajaan Jepun mendarat pada 1 Januari 1942 maka kami dapati rumah kami
dan rumah tempat kami menumpang sementara telah dipecah dan dimasuki orang
serta mengambil apa-apa yang ada. Tabung
tempat salasilah itu masih ada lagi tetapi isinya iaitu salasilah itu sudah
dicarik-carik orang dan tidak dapat dibaca lagi kerana susah bercerai-cerai dan
koyak-rabak. Oleh itu di masa itu
difikirkan tidak apa gunanya menyimpannya oleh kerana tidak dapat dibaca lagi.
Pada mulanya saya fahamkan ada orang lain
daripada keturunan yang sama yang ada menyimpan salinan salasilah itu tetapi
selepas saya siasat hingga sekarang belumlah lagi saya berjawapan bagaimanapun
tidaklah saya tahu pula adakah orang lain daripada keturuan yang sama yang
telah berhijrah ke tempat lain seperti Senggang atau Semat yang ada menyimpan
salasilah itu kerana daripada pihak merekalah gelaran-gelaran Toh Seri Nara di
Raja sekarang dilantik oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan.
Oleh yang demikian, keadaan dimasa itu maka
terpulanglah kepada masing-masing samada hendak percaya atau tidak. Bagaimanapun, setengah daripada setengah adat
istiadat itu seumpama berbisik ke telingga Sultan semasa pertabalan seorang Sultan
yang baru masih diikuti lagi.
bersambung
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA