Total Pageviews

Monday, 5 May 2014

KEMBARAN 1:SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI PARIT PERAK



Kembaran (1)


Segala pujian bagi Allah tuhan sekelian alam, selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad Penghulu sekelian Rasul dan ke atas keluarga dan sahabatnya sakalain.

Amm-bakdu.  Adapun kemudian daripada itu adalah diriwayatkan pada zaman purbakala bahawa sebuah kerajaan telah wujud dengan mewahyunya di sebuah negeri di atas angin, iaitu Amdan Negara dan nama rajanya ialah Raja Suran.  Baginda adalah daripada  anak-cucu Raja Nazruah adik anak Raja Kobat Sa’ir Raja Masyuik dan Maghrib daripada nasab Iskandar Zulkarnain Raja Negeri Macedonia.

Kerajaan baginda tersangat besar, negeri-negeri di atas dan di bawah angin di sebelah matahari hidup dan matahari mati atau masyrik dan maghrib tertakluk di bawah perintahnya malainkan Allah Subha-Nahu-wata’ala yang mengetahuinya negeri itu sehingga tertakluk di bawah perintahnya.

Baginda beristeri Puteri Cendani Wasis iaitu Puteri atau anakanda kepada Raja Tsulan yang berkerajaan di Negeri Bija Negara dan dengan perkahwinan itu mereka mendapat tiga orang putera.

Apabila ketiga putera baginda itu telah besar dan oleh kerana wilayah pemerintahnnya amat luas di atas dan di bawah angin maka baginda letakkan putera yang tua sebagai Raja di Benua China dan putera yang kedua menjadi Raja di Benua Keling (India).  Maka petera yang bongsu Raja Chulan telah diura-urakan akan menganti baginda kelak dan sementara itu ialah akan menjadi dan melawat mera-rata negeri yang di bawah pemerintahan baginda.

Dalam lawatan Raja Chulan ke Benua Keling maka ia telah disambut setinggi-tinggi meriah dengan hormat kebesaran oleh kekandanya Raja Benua Keling dan selepas itu ia berhajat pula langsung hendak menziarahi dan melawat Benua China tetapi Tuhan sajalah yang mengetahui adakah kerana dengki atau benci atau lain maka Raja Benua China enggan menerima lawatan Raja Chulan ke negerinya kerana dikatan Raja Chulan adalah seorang raja atau wakil seorang raja besar daripada luar negeri dan adalah susah hendak mengendalikan lawatannya dan pula orang-orang besar tidak faham adat istiadat raja-raja besar.

Telah sampai ke Benua China berita iaitu perangkatan Raja Chulan sudah ke Temasek menuju ke Benua China maka Raja Benua China telah bermusyuarat dengan Orang-orang Besarnya untuk mencari jalan supaya perangkatan Raja Chulan tidak sampai ke Benua China.   Mareka telah dapat satu persetujaun bagi melengkapkan sebuah tongkang yang telah lama dan buruk dan diisi di dalamnya dengan pokok kayu dan pokok nyior sudah berbuah dengan cara mereka menggali pokok itu dengan tanah sekelilingnya dengan akan-umbinya sekali serta diletakkan seolah tertanam didalam tongkang itu.  Setelah itu pula mereka isikan pula dengan jarum-jarum yang sudah berkarat.  Selepas itu pula mereka kerah orang-orang tua yang sudah masing-masing cabut gigi sebagaimana nakhoda dan kakitangan seperti kelasi dan lain-lain dan diperintahkan mereka berlayar ke Temasek untuk menemui angkatan Raja Chulan.

Apabila mereka sampai ke Temasek maka mereka telah bertemu dengan kapal-kapal Raja Chulan iaitu ada sebuah tongkang baru tiba dari Benua China.  Raja Chulan telah bertitah kepada orangnya untuk bertanya kepada orang daripada Benua China itu berapa lama jauhnya Benua China daripada situ.  Mereka itu menjawab iaitu tatkala mereka belayar daripada Benua China mereka sekelian masih orang-orang muda lagi dan segala pokok-pokok buah yang ada itu ialah mereka tanam daripada biji-biji yang mereka makan.  Sekarang mereka masing sudah tua,  gigi mereka sudah cabut dan pokok yang mereka tanam daripada biji itu sekarang sudah berbuah yang sudah boleh dimakan maka sekelianlah lamanya baharu mereka sampai ke sini.  Mereka ambil pula jarum-jarum yang sudah haus itu dan mereka tunjukkan kepada orang Raja Chulan serta menerangkan adalah besi-besi itu yang mereka bawa daripada negeri mereka pada mulanya adalah besarnya seperti lengan tangan dan sekarang sudah haus.  Kata mereka lagi sekianlah peri lamanya mereka di jalan dan tidaklah mereka dapat mengagak berapa tahun dan bulan lamanya mereka di jalan dan berapa pula jauhnya.

Sekelian kata-kata orang cuma itu mereka sembahkan kepada Raja Chulan.  Setelah Raja Chulan mendengar berita itu, maka yakinnya jikalau benar sebagaimana kata-kata orang China amatlah jauh perjalanan untuk sampai ke Benua China.  Oleh itu, yakinnya baiklah kita kembali saja.  Maka sembah sekelian pengiringnya benar seperti titah Seri Paduka itu.

Setelah itu maka Raja Chulan telah berfikir didalam hatinya bahawa isi daratan telah sudah ia ketahui dan bagaimana pula rupanya isi lautan pula jikalau demikian katanya baiklah aku masuk ke dalam laut pula moga-moga aku dapat ketahui betapa halnya.

Setelah ia memutuskan fikirannya maka Raja Chulan pun bertitah bagi mengumpulkan sekelian bijak pandai dan utusan-utusan dan dititahkan mereka untuk membuat sebuah peti kaca, berpesawat dan berkunci dari dalam maka diperbuat oleh segala utusan-utusan itu sebuah peti kaca sebagaimana kehendak Raja Chulan serta diberi berantai emas sepuluh mutu. Setelah siap maka dibawa merekalah kehadapan Raja Chulan maka terlalulah sukacita Raja Chulan melihatnya dan baginda anugerah yang amat banyak tiada terhingga utusan-utusan itu.  Raja Chulan pun masuk ke dalam peti itu dan dikuncinya peti itu daripada dalam.  Dan dihulurkan orang peti ke dalam laut lalu tenggelam.  Daripada dalam peti kaca itu Raja Chulan dapatlah melihat beberapa perkara yang tidak dilihat daripada kekayaan Allah Subha-nahu-wata’alla yang maha kuasa.

Dengan kudrat Allah Subha-nahu-wata’alla maka Raja Chulan jatuh ke dalam bumi yang bernama Deka dan iapun keluarlah daripada dalam peti kaca itu lalu berjalan melihat segala yang indah-indah.  Di dalam perjalanannya maka Raja Chulan telah tiba kepada sebuah negeri yang besar lagi diduduki oleh satu kaum iaitu Bersim namanya.  Terlalu amat banyak bilangannya melainkan Allah Subha-nahu-wata’alla saja yang mengetahui tetapi mereka itu setengah kafir dan setengah berugama Islam.

Sekelian mereka itu amat hairan melihat Raja Chulan dan melihat pakaiannya.  Mereka bawa ianya mengadap raja negeri itu, iaitu Raja Petrali namanya.  Setelah Raja Petrali melihat Raja Chulan maka Raja Petrali bertanya kepada orang yang membawanya orang manakah ini.

Tuanku – Orang baru datang
Titah Raja lagi – Dari mana ia datang?
Sembah orang itu – Patek sekelian tidak dapat tahu

Maka terus Raja Petrali bertanya kepada Raja Chulan – Orang manakah kamu ini dan dari mana datang ke mari?

Maka jawab Raja Chulan – Hamba ini datang dari dunia.  Hamba Raja segala maknusia di dunia dan nama hamba Raja Chulan.  Maka Raja Petrali pun terlalu hairan serta bertanya lagi adakah dunia lain daripada dunia kami ini? 


bersambung

Catatan: Sumber tidak dinyatakan. Mahon maaf diatas sebarang kesilapan, sekiranya ejaan atau sebutan tidak mengambarkan perkataan yang sebenar kerana ianya ditulis kembali daripada naskhah asal tulisan jawi 





No comments:

Post a Comment