Setelah
terdengar kepada Demang Lebar Daun Raja negeri itu bahawa Wan Empun dan Wan
Malini telah dapat anak raja daripada anak-cucu Raja Iskandar Dzulkarnain telah
turun di Bukit Seguntang maka Demang Lebar Daunpun datang mengadap dengan
membawa persembahan terlalu banyak. Aneka yang indah-indah maka selamat
dipermuliakan oleh Sang Sapurba, Telah
masyhurlah kepada segala negeri bahawa anak raja daripada anak-cucu Raja
Iskandar Dzurkarnain telah turun di Bukit Seguntang Mahameru maka mereka itu
datang mengadap raja itu serta membawa persembahan masing-masing.
Arakian
tersebutlah kisah dua anak Raja Chulan daripada tiga beradik yang tinggal
dengan ninda mereka Raja Petrali.
Selepas sedikit masa maka Raja Petrali teringatlah pula akan janjinya
bagi menghantar cucunda baginda ke dunia.
Tambahan pula baginda berasa khuartir apalah terjadi kepada cucundanya
yang tua yang telah dihantar ke dunia lebih awal.
Baginda
terus bersiap sedia bagi menghantar cucunda yang kedua bernama Bahta ke
dunia. Sebagaimana Raja Chulan dan
anakandanya Sang Sepurba dapat balik ke dunia semasa dahulu. Oleh itu Raja
Petrali pun melengkapkan cucundanya yang kedua dengan pakaian Diraja yang
bertatahkan ratna mutu manikam. Selain
daripada itu pula, dikurniakan baginda bersama perkakas kerajaan baginda Raja
Iskandar Dzurkarnain termasuk sebuah mahkota, pedang yang bernama Cura Si Manja
kini, lembing dan cap kayu gempa. Maka
cucuanda baginda itu pun bermohonlah kepada ninda dan bondanya serta dengan
peluk cium dan tangisan.
Sementara
itu harus telah terlintas kepada hati Raja Petrali akan perinya sekiranya
cucuandanya itu jadi belot atau tidak jujur terhadap abangnya kerana maklum
saja perkakas kerajaan ada dalam tangannya.
Oleh itu ialah bersumpah dengan cucunda itu sebelah menyebelah tidak
akan derhaka kepada kekandanya dan kandanya itu tidak akan khianat kepada
adiknya. Demikian juga anak-anak cucu
kandanya tidak boleh khianat anak-cucu adiknya demikian juga sebaliknya sesiapa
pun yang derhaka akan ditimpa atau menerima bala Allah, pendek umur atau
sebagainya.
Adik akan menggelar atau mentabalkan abangnya dan
abang akan menggelar adiknya. Cucundanya itu bersumpah dengan ninda
sebagaimana sumpah nindanya dengan tangis bertangisan. Maka dengan itu, anak raja itu pun
terus menunggang kuda samburaninya lalu ghaib.
Dengan takdir Allah Subha-nahu wata’ala yang maha kuasa terus ke
Pelembanag.
Bahta tiba ke pintu kota istana raja sebelum tengahhari dan di
situ berjumpa dengan seorang gembala lembu mengembala seekor lembu. Ia menerangkan kepada gembala lembu itu yang
ia datang daripada lain negeri hendak mengadap raja negeri itu. Ia meminta gembala lembu itu memberi tahu
raja itu ia hendak mengadap atau bawa ia mengadap sendiri.
Gembala itu menjawab yang ia tidak meninggalkan
lembunya kerana padang
itu luas dan lembu itu akan lari jauh serta susah hendak menangkapnya balik
kerana lembu itu masih liar.
Bahta menjawab ia akan menjaga lembunya itu. Oleh yang demikian, maka gembala lembu itupun
bersetuju masuk ke istana raja menyembah kepada raja iaitu seorang yang datang
dari negeri lain hendak mengadap baginda dan ada menunggu di pintu kota.
Sepeninggalan gembala lembu itu pergi maka bahta
dipijaknya tali lembu itu dengan kaki kirinya kerana kedua-dua tangannya
memegang perkakas kerajaan yang dibawanya termasuk mahkota. Tidaklah diketahui samada kepanasan kerana di
masa itu panas terik ataupun sebab lama sangat menanti ataupun disebabkan lembu
itu melihat dekat-dekat kepada orang muda yang dipandangnya amat berlainan
daripada orang-orang lain yang ia biasa lihat maka dengan takdir Allah
Subha-nahu wata’ala lembu itu lalu muntah sehingga berlumurlah Bahta dengan
muntah lembu itu.
Apabila mendapat ketahui ada orang daripada lain
negeri hendak mengadap raja, maka Sang Sapurba lalu keluar ke pintu kota istana itu maka di
dapati adiknya sendiri yang telah berlumuran dengan muntah lembu daripada kaki
ke kepalanya. Maka dibawa adiknya itu
masuk ke istana dimandikan serta dibedak langir kemudianlah baharulah dibawa mengadap
semula. Kebetulan pula kekanda Sang
Sapurba akan ditabalkan menjadi Raja Pemerintah negeri itu untuk menggantikan
Demang Lebar Daun yang sendiri telah bersetuju turun menjadi Mangkubumi.
Di dalam istilah pertabalan itu, maka Bahta
adiknyalah yang meletakkan Mahkota serta membisikkan ke telinga abangnya
pesanan dan kata sumpah daripada ninda mereka Raja Petrali sambil abangnya
menganggukkan kepala dan bersumpah mengikut sebagaimana sumpah nindanya.
Sekelian Orang-orang Besar dan orang-orang lain
rakyat jelata tidaklah mengetahui apa bisik kedua beradik dan tidaklah
mengetahui pula siapa orangnya yang mentabalkan Sang Sepurba itu. Cuma yang mereka ketahui ialah orang kena
muntah lembu. Demikianlah tamatnya
salasilah muntah lembu melainkan Allah Subhanahu Wata’ala sahaja yang mengetahui.
Wallah hualam.
Catatan: Dengan hormatnya dimaklumkan bahawa sambungan kepada buku karangan Allahyarham Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri bertajuk RIWAYAT HIDUP SEORANG ANAK KAMPUNG LAMBOR KIRI, PARIT, PERAK telah ditemui. Ianya akan dimasukkan berperingkat-peringkat dalam keluaran yang akan datang. Walau bagaimanapun buku tersebut masih dalam tulisan jawi dan perlu dirumikan terlebih dahulu sebelum ianya dapat disiarkan. Insyaallah ianya akan dilakukan sedikit demi sedikit jika keadaan mengizinkan.
Sekian, terima Kasih
Editor
TAMAT
Sekian, terima Kasih
Editor
No comments:
Post a Comment