Total Pageviews

Monday, 24 February 2014

SEJARAH AWAL NEGERI PERAK (Sambungan 8): SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI PARIT PERAK

  
Dimasa tuntung bertelur, Duli Yang Maha Mulia Sultan atau anak-anak raja mewakili baginda bersama-sama pengiring-pengiring dan puteri-puteri Diraja berangkat ke Pasir Teluk setahun sekali selama beberapa hari untuk berkelah dan temasya berperang telur-telur tuntung sama-sama mereka dan menjala ikan lumba di Air Mati.

Temasya berperang telur tuntung itu biasanya diadakan di awal atau di tengah atau pertengahan musim tuntung bertelur.  Sebelum keberangkatan Duli Yang Maha Mulia atau putera-putera baginda tiba mewakilinya maka penjaga Pasir Telur itu menghimpunkan seberapa banyak telur sehingga beribu-ribu biji telur di dalam masa 4 atau 5 hari.  Telur-telur yang sudah terkumpul itu dibahagikan di antara dua pihak yang hendak mengambil bahagian, dua pihak sebelah-menyebelahi.  Ghalibnya pada esoknya selepas diadakan temasya itu maka didapati tuntung bertelur sekurang-kurangnya sekali ganda banyaknya itu jika digunakan 10,000 biji telur di dalam temasya itu pada malamnya tuntung-tuntung itu bertelur 20,000 biji telur dan jika didapati tidak begitu bermakna atau harus jadi ada orang yang belot tidak menyerahkan telur-telur itu untuk diri sendiri.  Kanak-kanak yang dapat pergi ke situ selepas berperang itu amat ria dan suka kerana dapat mengutip telur-telur yang sudah pecah tetapi isinya yang merah dapat dikumpulkan untuk dimakan atau dibuat kuih-muih.

Semasa lawatan itu juga pada ghalibnya diadakan pula temasya menjala ikan lumba-lumba di Air Mati.  Caranya dilakukan ialah dengan 10 buah sampan atau lebih.  Sampan baginda Sultan menanti di tengah air tenang (air mati) dan sampan-sampan yang lain itu berbaris di keliling dengan serentak orang-orang yang lain itu menyebarkan jala mereka masing-masing dan dengan itu ikan-ikan lumba yang tidak terkena jala-jala itu terkejut dan dengan serentak lari menuju kehaluan perahu kenaikkan baginda yang lapang.  Di masa itu baginda terus menebarkan jala kepada haluan ikan-ikan itu dan dapat tertangkap di dalam jala baginda yang teramat banyak sehingga tidak upaya bagi baginda seorang hendak menarik balik jala itu oleh kerana dipenuhi oleh ikan-ikan lumba yang banyak tertangkap itu.


bersambung
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
 HAK CIPTA TERPELIHARA

No comments:

Post a Comment