Sebagai kelaziman di mana ada pasir di sebelah
tebing sungai seperti di Pasir Tok Jom sentiasalah itu menjulur ke tengah
sungai dan lama kelamaan, tempat itu menjadi tanjung atau bertanjung dan tebing
seberangnya iaitu Kampung Sedengka sentiasa rebak tebingnya jatuh ke sungai dan
lama kelamaannya tebing yang rebak itu semakin lama maka semakin dekat hampir dengan
makam Al-Marhum Tanah Abang yang sedikit sebelah hilirnya. Oleh itu, ditakuti pula makam itu jatuh ke
sungai. Oleh yang demikian, sebagaimana
yang diriwayatkan iaitu di zaman pemerintahan Al-Marhum Sultan Ismail yang singkat
dahulu ataupun sebelumnya maka ikhtiar telah dijalankan untuk menyelamatkan makam
itu iaitu di masa yang sudah hampir seratus tahun.
Di masa itu masih ada lagi adat kerah iaitu mengerah
rakyat jelata bekerja dengan tidak bergaji atau dibayar upah. Rakyat jelata telah dikerah oleh Allahyarham
Tuan Sheikh Muhammad Taib iaitu seorang yang ternama dan termasyhur di masa itu
untuk mengorek atau mengali pasir besar untuk dijadikan terusan atau tali air
(canal) di tebing sebelah kiri Sungai Perak iaitu di hujung Pasir Tok Jom di
sempadan Kampung Kucai, Lambor Kiri untuk mengubah arusan sungai. Setelah dikorek taliair itu, maka air Sungai
Perak pun dilepaskan ke terusan itu menuju ke sebelah pantai sungai disebelah
kiri. Dizaman itu, Sungai Perak belumlah
sebegitu luas sebagaimana sekarang ini tetapi lebih deras airnya. Di masa yang terkemudian daripada itupun
semasa saya kecil lagi di antara 60 dan 70 tahun dahulu di seberang kampung
saya Lambor Kiri iaitu di seberang sungai kampung saya iaitu Lambor Kanan ada
seorang namanya Kulub Bingung. Apabila
kami di sebelah Lambor Kiri melihatnya turun ke sungai pada pagi atau petang
hari kami suruh ia menyanyi. Oleh sebab
keadaannya itu bingung sebagaimana namanya ia selalu terus menyanyi di antara
lain nyanyiannya ialah “Allah Wali Wa Nikmat Wali” apa erti atau maknanya
tidaklah kami ketahui tetapi apa yang dimasudkan ialah di masa itu orang-orang
di sebelah sungai sini boleh bercakap dengan orang-orang di sebelah atau di
seberang sana yang bermakna Sungai Perak di zaman itu tidaklah luas sangat
sebagaimana sekarang. Saya mengigatkan
sejarah ini kerana ada bersangkut dengan sejarah kampong saya Lambor Kiri. Sebagaimana yang saya akan terangkan di bawah
atau terkemudian ataupun terdahulu daripada ini.
Selepas sahaja air Sungai Perak di situ di lepaskan
mengalir melalui terusan atau parit besar (canal) yang telah digali di Kampung
Kuchai sebelah kiri mudik Sungai Perak dalam mukim Lambor Kiri itu, maka air
yang mengalir Sungai Perak tebing Tanah Abang yang jadi air mati sekarang telah
jadi tenang disebabkan liku. Sebelum itu
airnya sangat deras dan dalam sehingga di satu tebing di antara Kampung
Sedengka sebelah hulunya dengan Tanah Abang sebelah hilirnya ada satu lubang
yang amat dalam airnya berpusing-pusing di tengah-tengah sungai di situ. Ada
pula satu teras tunggul kayu besar atau turus kayu besar dan di zaman itu orang
hilir mudik bersampan takut berperahu dekat ke situ kerana takut tertarik masuk
lingkung air pusing itu atau terlanggar kepada tunggul yang besar itu dan karam
di situ.
bersambung
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas
Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA
No comments:
Post a Comment