Oleh kerana air di pantai tebing Tanah Abang sekarang
sudah jadi tenang dan liku disebabkan oleh air sungai tidak mengalir lagi
dengan deras oleh sebab sudah dipesongkan menuju ke tebing ke sebalah kiri maka
pasir dan serta aneka sampah-sarap yang dihanyutkan daripada hulu sungai tidak
lagi terus dibawa air ke hilir tetapi kebanyakkannya tenggelam saja di hulu
tebing Tanah Abang dengan tidak berapa lama maka hulunya telah jadi sebu dan selepas
beberapa kali air sungai banjir maka tanah di situ semakin lama semakin tinggi
sehingga dapat ditanam cucuk dan dapat dijadikan kampuxng. Apabila di sebelah
hulu sungai di situ telah sebu (tidak lagi diikuti air) maka lingkungan air
Sungai Perak di sebelah hilir telah jadi tasik (air mati) dan tempat itu
dinamakan Air Mati sebagaimana sekarang ini.
Di sebelah tebing yang ke sungai di sebelah itu yang dahulunya
sebahagian daripada tebing sebelah kiri sungai iaitu Kampung Kuchai, Lambor
Kiri sudah berpasir atau tumbuh pasir serta jadi sebahagian sebelah kanan
kerana sudah bercerai dengan tebing sebelah kiri – Pasir Teluk sekarang- yang
menganjur ke sungai.
Maka apakala telah menjadi begitu keadaannya
sebagaimana diriwayatkan maka dizaman pemerintahan Al-Marhum Sultan Ismail
(1871-1874) beberapa banyak anak-anak ikan lumba-lumba telah dibawa daripada
tempat lain dan dicurahkan ke dalam tasik (air mati) untuk dibiakkan di
situ. Beberapa banyak tuntung pula telah
dibawa dan dipilihara sebelah pasir yang sekarang dipanggil Pasir Teluk. Apabila anak-anak tuntung itu telah besar
berumur lebih kurang setahun anak-anak tuntung itu dilepaskan ke sungai pasir
itu. Tuntung-tuntung itu hilir ke laut
untuk mencari makan tetapi apabila mereka sudah cukup besar dan hendak bertelur
mereka mudik balik setahun sekali di tempat asal iaitu di tempat dipelihara
mereka tempoh hari dan menetas anak-anak di situ dan anak-anak tuntung itu pun
kelak akan mudik juga apabila hendak bertelur.
Pada umumnya tidaklah diketahui samada kejadian itu kejadian semulajadi
mereka ataupun dengan sebab berkuasa ataupun berpawang.
Selepas itu ikan lumba-lumba menjadi-jadi di Air
Mati dan tuntung bertelur di Pasir Teluk semakin lama semakin banyak di zaman
itu iaitu di zaman antara 60 atau 70 tahun dahulu sehinggakan didalam
lingkungan Air Mati di malam hari boleh didengar semacam ribut kerana ikan-ikan
lumba itu berlumba-lumba bermain-main, melompat hingga diatas air
bersuka-ria. Di sebelah Pasir Tumbuh
pula sebagaimana yang terdahulu disebutkan ibu-ibu tuntung itu mudik setahun
sekali untuk bertelur dan oleh kerana sudah biak sangat jadinya hingga beratus-ratus
tuntung itu naik ke darat ke atas pasir bertelur di dalam semalam di masa
tuntung-tuntung itu sibuk bertelur. Di
masa itu kedua tempat itu iaitu di dalam lingkungan Pasir Teluk dan Air Mati
dijaga rapi oleh wakil-wakil Duli Yang Maha Mulia Sultan dan sekelian
sampan-sampan tidak dibenarkan hilir dan mudik atau melalui lintas kawasan
Pasir Teluk terutama pada waktu malam hari.
bersambung
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas
Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA
No comments:
Post a Comment