Total Pageviews

Monday, 3 February 2014

SEJARAH AWAL NEGERI PERAK (Sambungan 5): SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI PARIT PERAK




Dan lagi harus jadi ada pula setia sulit di antara mereka kedua oleh kerana keadaan di zaman dahulu sebelum negeri itu bernaung dibawah Kerajaan Inggeris maka Al-Marhum-Al-Marhum Sultan-Sultan Perak yang terdahulu bersemayam di sebelah tebing Sungai Perak sebelah kanan mudik.

Satu lagi riwayat yang lain mengatakan iaitu oleh kerana Tun Khamis anak Bahta dan Sultan Mudzaffar Shah anak seorang putera Raja Chulan yang lain maka mereka kedua adalah cucu kepada Raja Chulan dan oleh kerana Tun Khamis terlebih tua dan ialah terlebih dahulu pergi membuka negeri Perak dan sedikit masa menjadi pemerintahnya sebelum Raja Mudzaffar Shah (Sultan yang pertama) dijemput dan ditabalkan sebagai Sultan maka itulah asalnya dipanggil Tanah Abang atau Negeri Abang.

Maka yang benar daripada riwayat ini tidaklah dapat ditentukan dengan jelasnya bagaimanapun oleh kerana makam Al-Marhum itu hingga masa ini terkenal dengan “Al-Marhum Tanah Abang” maka tentulah bersangkutan dengan negeri ini.

Tanah Abang di zaman Al-Marhum Sultan Mudzaffar Shah (Al-Marhum Tanah Abang) diantara 450-500 tahun dahulu di kawasan Air Mati sekarang ini ialah Sungai Perak yang dimaksudkan di sini ialah sungai yang sekarang sudah menjadi air mati (bukan kampungnya) yang sebenarnya Tanah Abang ialah tempat atau Kampung Air Mati yang ada sekarang tetapi tempat makam Al-Marhum Tanah Abang yang masih dikenal dengan nama Tanah Abang juga.

Sebagaimana yang diriwayatkan oleh orang-orang tua yang dahulu, Makam Al-Marhum Tanah Abang di masa itu adalah di tepi tebing Sungai Perak (tetapi sekarang didalam lingkungan Kampung Air Mati).  Disebelah hulu Tanah Abang adalah sebuah kampong bernama Sedengke dan di seberang Kampung Sedengke ialah Pasir Tok Jom namanya.  Tok Jom barang kali adalah nama orang tua atau ketua yang membuka tempat itu dan tempat itu dinamakan mengikut namanya oleh pengikut-pengikutnya.

bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
 HAK CIPTA TERPELIHARA

No comments:

Post a Comment