Total Pageviews

Monday, 27 January 2014

SEJARAH AWAL NEGERI PERAK (Sambungan 4): SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI PARIT PERAK


Kebetulan pula Raja Mudzaffar Shah serta pengiring dan orang-orang ramai yang bersamanya sampai ke situ.  Setelah itu Raja Mudzaffar lalu menerangkan yang pemuda itu telah membunuh abangnya dengan teraniaya dan dengan tidak cukup usul-periksa.  Tambnya lagi maksud abangnya ialah nama buluh itu ialah “Buluh Apa”.  Dengan itu pemuda itu terus pengsan dengan tidak sedarkan diri lagi oleh memikirkan perbuatannya yang kejam dan kehilangan saudara tuanya sendiri yang ia amat kasih dan tempat berharap.  Mayat pemuda itupun terus dikuburkan di situ jua.  Oleh yang demikian, banyak orang menyangka iaitu itulah sebab tempat itu dipanggil “Tanah Abang” tetapi bagaimanapun tempat atau tanah itu bukanlah tempat atau kepunyaan abang yang terbunuh oleh pemuda adiknya itu.

Selepas itu, maka Raja Mudzaffar Shah telah pergi melihat sekeliling tempat itu dan didapati tempatnya lapang subur dan di tepi sungai pula.  Oleh itu, ia dan pengikut-pengikutnya telah mengambil keputusan untuk membuka negeri di situ dan di situ juga ia ditabalkan sebagai Sultan Perak yang pertama dengan gelaran Sultan Mudzaffar Shah oleh Tun Khamis.  Daripada satu riwayat menyatakan itulah punca tempat itu dipanggil “Tanah Abang” bagi mengingatkan iaitu tanah atau negeri abang saudaranya Tun Khamis yang terlebih dahulu telah membuka negeri Perak dan telah menjadi pemerentahnya yang awal dan apabila Al-Marhum Sultan Muzaffar Shah mangkat baginda telah dimakamkan di situ dengan gelaran Al-Marhum “Tanah Abang” – daripada riwayat lain maknanya Tanah Merah (Abang Merah).



bersambung
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
 HAK CIPTA TERPELIHARA

No comments:

Post a Comment