Total Pageviews

Monday, 4 March 2013

BERTUKAR KERJA KE BATU GAJAH DALAM MASA MELESET (Sambungan 4): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;


Untuk meklumat Pejabat Ukur-mengukur (Survey Department) Batu Gajah di masa itu ialah Ibu Pejabat bagi Perak Selatan dan banyak bilangan kakitangannya.  Saya mula sampai di pejabat itu di akhir bulan hari bayar gaji dan saya terperanjat melihat ramai orangnya kerana di hari itu mereka yang bekerja di luarpun datang menerima gaji masing-masing.  Saya nampak daripada hujung ke pangkal pejabat orang-orangnya semacam pokok hutan.  Oleh sebab ramainya dan pada mulanya saya merasa cemas.

Selain daripada ketua-ketua pejabatnya dan kakitangan-kakitangannya maka pejabat itu terbahagi pula kepada tiga cawangan yang besar iaitu:- Revisionary Branch, Computing and Drafting yang masing-masing dijagai atau diketuai oleh seorang Ketua Penolong Teknikal - Teknikal yang kanan yang akan memeriksa dan memerhatikan pekerjaan yang diperbuat oleh kakitangan yang di bawah jagaannya.

Ketua-ketua cawangan itu akan memeriksa dan menjaga yang amat rapi pekerjaan yang dibuat oleh orang-orang dibawah jagaannya.  Tiap-tiap orang diberi satu “Job Card” yang menunjukkan masa, minit, jam dan haribulan satu-satu pekerjaan itu dimulakan.  Demikian juga masa ia menyudahkan kerja yang ditugaskan baginya.  Masing-masing tidak dibenarkan membuang masa sehingga hendak pergi dan balik ke bilik air atau jambanpun hendak ditulis dengan dakwat merah di dalam “Job Card” itu dan disaksikan dengan tandatangan kecil (initial) diakhir pekerjaan atau pada tiap-tiap hari deberi unit di atas pekerjaan dengan di hitung seorang mesti buat kerja sekurang-kurang sebanyak unit yang ditetapkan yang mereka masing-masing tidak ketahui bagaimana dihitung dan berapa banyaknya.  Oleh kerana takutkan jatuh unit mereka, maka orang bangsa asing yang bekerja di situ beli perkakas mereka sendiri untuk bekerja di rumah pada malam hari untuk mencukupi unit yang dikehendaki.  Oleh itu yang selalu terkena marah atau ditahan kenaikkan gaji tahunan adalah pekerja-pekerja daripada orang-orang Melayu yang tidak berbuat demikian.  Oleh yang demikian tidaklah hairan didapati jarang sangat yang boleh mendapat kenaikkan tahunan (annual increment) tiap-tiap tahun melainkkan ada yang sampai dua, tiga dan sehingga lima tahun tidak dapat naik gaji. 

Kejadian ini adalah disebabkan oleh sekelian “Job Card” bagi masing-masing diri di situ di masukkan ke dalam dosair masing-masing iaitu fail riwayat seorang pekerja.  Pada masa saya bekerja di situ barulah masing-masing dapat kenaikkan gaji (increnment certificate) dan saya sertakan dosair masing-masing selepas saya asingkan atau sebelahkan untuk sementara sekelian kad kerja (Job Card) yang tidak elok.  Saya dapat berbuat demikian kerana kandungan dosair itu tidak diberi nombor “not docketed” dan Tuan Ketua Pejabat itu sudah cukup percaya kepada saya.


bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

No comments:

Post a Comment