Total Pageviews

Monday, 18 March 2013

BERTUKAR KERJA KE BATU GAJAH DALAM MASA MELESET (Sambungan 6): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;


Sebagaimana yang saya sebutkan saya telah bertukar balik bekerja di Teluk Anson pada 1.5.1934 dan bertugas di Pejabat Bendahari Kecil Hilir Perak.

Enam bulan sebelum itu iaitu sebelum saya ditukarkan daripada Teluk Anson ke Batu Gajah, saya berkhidmat di Rumah Sakit Teluk Anson lebih daripada 10 tahun.  Terlebih dahulu pula saya telah berkhidmat di ketiga-tiga Rumah Sakit Kuala Kangsar (1) Rumah Sakit Melayu (2) Rumah Sakit Umum (3) Rumah Sakit Perempuan dan jua di Rumah Sakit Kampar.  Sebagaimana termaklum selama lebih daripada tujuh tahun.  Oleh itu saya telah berkhidmat lebih daripada 17 tahun di rumah-rumah sakit semenjak saya mula bekerja.  Oleh yang demikian pengetahuan serta pengelaman pun tersekat begitu saja.  Apabila saya telah ditukarkan ke Batu Gajah dan kemudiannya ke Teluk Anson saya telah dapat pengelaman yang agak berlainan samada didalam atau diluar jawatan saya.  Saya suka mencatitkan sedikit pengelaman saya selepas saya ditukarkan ke Telok Anson di antaranya ialah:-

(1)   Aapabila saya mula sampai untuk berkhidmat di Perbendaharaan kecil (Sub-Treasury) Telok Anson, saya dapati bersepah di sana-sini, di tepi dinding di ceruk-ceruk lantai simen beberapa banyak keping wang-ringgit dan syilling yang telah dipotong (clipped) hampir pecah dua.

Saya tanya Peon Mohd Zain namanya mengapa dibiar begitu.  Katanya wang-wang itu tidak laku kerana saduran (counterfeit) dan sudah dipotong hampir pecah dan dikembalikan balik oleh Ibu Pejabat Perbendaharaan apabila wang-wang itu dihantar ke sana.  Saya bisikkan kepadanya wang itu d pejabat kerajaan memanglah atau tentulah tidak laku lagi dengan keadaan sekarang tetapi di pasar-pasar boleh laku, kedai-kedai emas atau perak tentu mahu beli.  Tetapi bukanlah penuh harga seratus sen.  Mengapa begitu jadi bodoh?  Rupanya bisik kami itu di dengar oleh Bendahari Kecil.  Pada petang itu jua peon itu bawakan dua atau tiga ringgit itu dan rupanya tukang emas/perak di pekan mahu beli dengan harga 97 sen tiap-tiap seringgit.  Apatah lagi iapun kumpulkan semua wang yang mereka sangka tidak berguna itu dan berpuluh-puluh ringgit ia dapat daripadanya.  Tidak berapa lama daripada itu, Bendahari Kecil terdengar bertanya apa telah jadi wang-wang itu dan Mat Zain mengaku ia sudah jual di kedai kerana Baba sudah buang wang itu dan tidak mahu lagi sudah beberapa lama.  Bendahari Kecil kata, ia yang punya dan betul atau tidak betul ia boleh buat apa suka (ia tidak mengaku bodoh) dan ia berkuasa buat apa-apa.  Pada perasaan kami selesailah sudah perkara itu.

Tidak berapa lama kemudian daripada itu, pada satu petang Kerani Besar atau Ketua Kerani Pejabat Sanitary Board (di tingkat atas) telah terlupa hendak menyimpan peti tempat simpan wang petty cash di pejabatnya di dalam peti besi bila tutup pejabat pada petang itu.  Pada pagi besoknya, peti itu telah dijumpai tetapi tidak sesiapapun terlibat dan di akhirnya Peon Pejabat Sanitary Board dan juga Peon Mohd Zain diberi sebulan notis diberhentikan kerja.  Saya pun berasa hairan mengapa Mohd Zain pun terlibat.

bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

No comments:

Post a Comment