Saya amat
bersyukur kerana sekiranya saya belum bertukar di masa itu atau dimintanya
penyata itu daripada ketua saya yang lama, maka sudah tentu saya tidak akan berjaya. Tambahan pula sekiranya saya tidak bertukar
daripada tempat saya bekerja yang dahulu daripada itu bagaimana corak nasib
saya hingga masa itu.
Semasa saya
bertugas di Pejabat Ukur-Mengukur Batu Gajah gelora mengurangkan perbelanjaan
dan kakitangan kerajaan belum jua lagi selesai dan pada akhirnya pejabat yang
di Batu Gajah pun langsung ditutup dan berpindah ke Taiping. Saya telah siasat daripada ketua saya di atas
untung nasib saya pula dan saya diberitahu yang saya tidak dikehendaki di Ibu
Pejabat Taiping dan kerajaan akan menukarkan saya ke pejabat yang lain dan
ditempat yang lain. Oleh kerana tuan
ketua saya itu nampaknya ikhlas dan kasihan kepada saya maka saya telah meminta
supaya saya ditukarkan ke Teluk Anson, tempat lama saya di mana-mana pejabat
pun. Dan dengan takdir tuhan serta
sokongan yang kuat daripada ketua saya itu, maka saya telah ditukarkan balik
untuk bertugas di Pejabat Bendahari Kecil Teluk Anson pada 1.5.1934 dan
sekembalinya balik maka sekelian jawatan-jawatan yang saya jalankan sebelum
saya ditukarkan enam bulan dahulu telah balik saya pegang.
Di dalam masa
yang sebegitu singkat selama enam bulan di Batu Gajah beberapa pengelaman telah
saya dapati. Di situ pergaulan di antara orang-orang Melayu
khasnya orang-orang Islam amnya amat rapat.
Sepintas lagi saya suka mencatitkan sedikit pengelaman saya semasa saya
berkhidmat di Pejabat Ukur-mengukur (Survey) di Batu Gajah. Sungguhpun saya rasa bernasib baik di situ
tetapi sebagaimana yang dipesan oleh Doktor A.B. sama saya hendak bertukar ke
situ saya dapati keadaan di situ amatlah sedih.
Sebagaimana yang saya telah sebutkan maka
Tuan Ketuan Pejabat itu baru tiba di situ sehari dengan saya. Oleh itu nampaknya ia hendak menduga
kebolehan pegawai-pegawai yang di bawah perintahnya. Seorang daripadanya ialah seorang pegawai
yang sudah lama berkerja dan oleh kerana kebolehannya ia telah dinaikkan ke
pangkat Assistant Surveyor I/C di Perak Selatan bertugas atau ditempatkan di
Telok Anson.
Nampaknya tuan itu tidak berpuas hati dengan
pegawai itu sungguhpun tuan-tuan yang terdahulu daripadanya memuji pegawai itu
sehingga ia dinaikkan ke pangkat “super-scale”.
Pada satu hari ia panggil pegawai ini ke Batu Gajah dan dengan dihimpunkannya pegawai-pegawai dan kakitangan yang kanan itu bersama
pegawai yang tersebut ia mula marahkan pegawai yang tersebut dengan menunjukkan
kesilapan pegawai itu di situ dan di sini sehingga katanya mengikut buku rekod
“Field Book” yang diperbuat oleh pegawai yang tersebut tidak boleh dapat diperbuat
pelan daripadanya. Semasa ia berceloteh
itu pegawai yang tersebut tidak berkata apa tetapi ia tersenyum saja. Apabila tuan itu berhenti bercakap ia
menjawab. Katanya rekodnya itu betul kerana katanya lagi rantai ukuran yang
dipakainya adalah terkurang sekian inci di dalam satu rantai. Rupanya rantai ukuran adalah berbeza panjang
pendeknya mengikut keadaan cuaca, panas sejuk hari dan hendaklah diukur setiap
masa dengan tempat ukuran yang disediakan dipejabat dengan ukuran yang tidak
berubah-ubah yang ditanda dengan simen.
Dengan jawapannya itu maka tuan itu telah berasa amat malu kepada
pegawai-pegawai dan kakitangan yang dihimpunkannya di situ (saya pun ada
bersama) dan terus ia meninggalkan mereka serta-merta tetapi akibat daripadanya
ia telah perintahkan pegawai itu membuat kerja di jajahan Kinta untuk menyukat
tanah-tanah lombong yang berair yang ia terpaksa meranduk air setiap-tiap masa
dan dengan sebab itu dalam tempoh tiga bulan saja ia jatuh sakit dan
terpaksa bersara “Boarded Out”.
bersambung
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA
No comments:
Post a Comment