Dengan takdir
tuhan, maka tuan itu pula telah ditukarkan ke Pahang dan digantikan oleh
seorang pegawai lain daripada sana
“Oswald Watson” namanya yang sebangsa dengannya. Semasa bertukar anak-anak dan isteri saya
telah saya hantar untuk sementara ke rumah adik saya di Ipoh sementara saya mencari rumah dan saya
duduk menumpang di rumah rehat di Batu Gajah.
Kebetulan di masa itu, tuan
yang baru tiba daripada Pahang itupun berada di rumah rehat itu jua. Maka pada hari besoknya, baharulah saya tahu
tatkala saya melaporkan kerja kepadanya.
Tuan inipun garang orangnya sebagaimana
orang-orang bangsanya tetapi tidak berapa lama selepas kami bekerja
bersama-sama maka ia pula amat baik kepada saya disebabkan oleh beberapa
perkara yang terjadi selepas itu di antaranya:-
(1) Selepas
kami tiba di Batu Gajah, maka kami masing-masing buatlah baucer tuntutan bagi
belanja tukaran masing-masing
Bagi diri
saya termasuklah tuntutan bagi belanja makan sebelum bertukar, belanja makan di jalan dan selepas sampai ke Batu
Gajah selama tujuh hari. Ia tidak mahu
luluskan kerana katanya belanjanya tinggi dan lama hingga tujuh hari. Saya jawab saya tuntut ialah sebagaimana yang
diluluskan oleh Peraturan ‘AM (GO) dan Peraturan Kewangan (F.G.O.). Baru ia luluskan dan saya terus dibayar.
Tuan itu pula
membuat tuntutan bagi dirinya dan termasuk belanja tambang bagi suami orang
gajinya. Saya beri ia tahu belanja itu
tidak diluluskan dan ia marah. Katanya
apa orang gajinya hendak buat? Itu
senang saja iaitu jika suami hendak mengikut bininya, maka suaminya kena
membayarnya dan jika isterinya pula sebaliknya berkehendakkan suaminya maka
pihak isterinya akan menanggung perbelanjaan itu. Jika tuan pula berkehendakkan mereka bersama
mari maka tuanlah membayar tambang suami orang gaji tuan dan inipun telah lebih
dariapad sekian orang. Ia berdegil juga
dengan tuntutan itu dan apabila tuntutan itu diterima di Pejabat Perbendaharaan
belanja itu tidak dibenarkan.
(2) Pada
satu pagi ia meminta telipon kepada pejabat yang ia bekerja dahulu di Pahang
sebelum ia bertukar ke Batu Gajah. Ia
minta nombor “Pahang23”. Telipon Operator
jawab tidak ada nombor itu. Ia bertempik
menyebutkan nombor itu yang katanya itulah nombor yang ia pakai hari-hari di
masa ia di sana. Operator begitu jua menjawab. Oleh itu, tuan itu jadi lebih lagi hangat dan
ia mengugut ia akan report perkara itu kepada Ketua Jabatan Telekom.
Saya mari dekat kepadanya dan bertanya apa
telah jadi. Katanya ia minta
nombor yang dikehendakinya dan operator tidak mahu bagi. Saya jawab benarlah nombor itu tentu tiada
kerana Pahang ialah nama negeri dan hendaklah disebutkan nama pekan (Exchange)
tempat itu. Dan dengan itu barulah ia
mengerti sebab yang ia tidak boleh dapat nombor dimintanya. Dan
apabila ia sebutkan nama “Exchange” itu maka dengan serta-merta ia dapat
bercakap.
bersambung
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA
No comments:
Post a Comment