Total Pageviews

Monday, 18 February 2013

BERTUKAR KERJA KE BATU GAJAH DALAM MASA MELESET (Sambungan 2): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

 

(3)   Pada satu hari selepas itu, ia menulis sepucuk surat kepada Tuan Setiausaha British Resident Perak dan saya ingatkan kepadanya tidak boleh berbuat begitu.  Hendak menerusi Ketua Jabatan “Senior Superintendent of Survey” Perak mengikut Perintah ‘Am (G.O.).  katanya diluluskan bagi Pejabat Tanah dan Pejabat Ukur-Mengukur (Survey) dan di masa ia di Pahang ia selalu berbuat demikian.  Saya ingatkan kepadanya harus dibenarkan di Pahang sebagai ianya Ketua Pejabat Negeri di sana dan yang dibenarkan tidak menerusi Ibu Pejabat ialah surat di antara Pejabat Tanah dan Pejabat Ukur-Mengukur saja berkenaan dengan perkara tanah.  Ia berdegil jua berbuat demikian dan sesudahnya ia mendapat teguran daripada Setiausaha British Resident dan Ketua Pejabat Besar di Taiping.  Kali ini baharu ia panggil saya dan mengucapkan terima kasih “Thank you, you are right.”

(4)   Pada satu hari lain pula, Encik Mohd Yunus, Juru Audit Kerajaan telah datang ke pejabat untuk memeriksa kira-kira wang.  Bila ia tiba ia terus periksa wang “Petty Cash”.  Saya beritahu ia di pejabat itu wang Petty Cash ada banyak dan Tuan Besar sendiri menyimpannya kerana setiap-tiap masa Juru-Ukur Kerajaan datang meminta wang Patty Cash daripadanya.

Encik Mohd Yunus terus pergi berjumpa dengan Tuan Watson untuk menjalankan tugasnya.  Apabila diperiksa maka didapati wangnya kurang $10.00 berkali-kali telah diperiksa tetapi terkurang jua.  Tuan itu telah berpeluh-peluh dan gelisah dan Juru Audit tidak pusa hati.  Didalam masa yang cemas itu saya pergi bertanya jika ada apa-apa yang tidak betul.  Tuan itu berterus-terang menyatakan wangnya sudah terkurang $10.00.  Saya tahu wang itu sudah diberikannya untuk sementara kepada orang gaji daripada rumahnya untuk belanja pergi ke market pagi tadi.  Oleh itu, untuk menyelamatkannya maka saya unjukkan wang saya sendiri $10.00 dengan menerangkan kalau ia sudah lupa wang itu diberikannya kepada saya untuk belanja pos dan lain-lain pada pagi tadi.  Ia terima wang itu dengan sepenuh minat tetapi pada petang itu jua diberikannya balik wang itu kepada saya dengan ucapan terima kasih “Thank you very much.”

Bukan ia tidak boleh ganti wang itu di masa peperiksaan dijalankan tetapi harus jadi berasa malu hendak menerangkan yang sebenarnya dan harus pula jadi kesalahan kerana menggunakan wang itu.

Selepas itu, tuan itu nampaknya amat sayang dan bertimbang-rasa kepada saya dan kebetulan pula dengan tidak disangka-sangka pada masa itu pula kerajaan berkehendakkan satu penyata sulit khas di atas pekerjaan saya bagi temuduga untuk menaiki gred satu di dalam jawatan saya.  Saya belum sampai 3 bulanpun di bawahnya dan mengikut Peraturan ‘Am ia belum boleh member apa-apa sokongan kepada saya dan penyata itu dikehendaki daripada ketua saya yang terdahulu.  Tetapi ia terus beri sokongan yang tinggi dan selepas temuduga saya dinaikkan kegred satu daripada tarikh yang terbelakang pada masa saya belum lagi bertugas di situ.


bersambung
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

No comments:

Post a Comment