Total Pageviews

Monday, 4 February 2013

BERTUKAR KERJA KE BATU GAJAH DALAM MASA MELESET: Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;


BERTUKAR KERJA KE BATU GAJAH
DALAM MASA MELESET

            Tahun 1932-1933 ialah masa meleset (slump) yang begitu terok atau buruk pernah terjadi di negeri ini oleh kerana kekurangan hasil negeri disebabkan kejatuhan harga pasaran getah, bijih dan lain-lain.  Kerajaan terpaksa mengurangkan perbelanjaan pentadbiran, pertamanya mengurangkan pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan (retrenchment).

Saya di masa itu bekerja di Rumah Sakit Teluk Anson di bawah seorang doktor kulit putih bangsa Australia – Doktor A.B. yang sangat garang orangnya pernah saya jumpa.  Seorang orderly budak Melayu (Tak) sudah diberi notis kerja, seorang Penolong Kerani saya sudah dikurangkan.  Maka pejabat tinggallah saya seorang dengan seorang India Mister M.K. sebagai Steward.  Kakitangan yang lain pula dikurangkan jua.

Saya tidak ketahui iaitu masih jua lagi hendak mengurangkan kakitangan Kerajaan.  Sementara itu saya nampak Mister M.K. yang telah lama berkenal dengan Doktor A.B. semasa ia bekerja di tempat lain, selalu saje membawa hadiah-hadiah barang yang ganjil seperti binatang landak, pelanduk dan lain-lain selain daripada itu beberapa raga telur ayam yang baharu, tidak terkira.  Saya tidaklah tahu samada Doktor itu bayar harganya atau tidak.  Doktor itu mula bengis kepada saya dan suka mencari salah yang saya sudah bosan menerimanya.  Oleh itu saya sudah pakai ilmu “apa jadi”.  Saya jawab apa juga yang fikir betul.  Di situ saya terkenal sebagai pembela pekerja-pekerja yang sebangsa dengan saya pertamanya.  Oleh itu, saya dipanggilnya “Malay Ghandi”.

Pada mulanya saya dapat hukum ditukar ke Kroh (sekali lagi) dan di dalam sedikit masa pula berubah ditukar ke tempat-tempat lain ke Grik dan lain dan pada akhirnya saya ditukarkan ke Pejabat Ukur (Survey Department) Batu Gajah.  Tetapi malangnya pula pada masa saya sudah bersiap hendak melangkah tukar ke Batu Gajah maka Mister M.K. pun dapat notis dibersarakan dengan sebab itu doctor itu sudah berbalik hati bekerhendakkan saya pula tidak bertukar dan petukaran itu ditangguhkan sementara.  Bagaimanapun, pertukaran itu diteruskan juga dan sayapun bertukar ke Batu Gajah pada 30.10.1933.  Sebelum saya pergi maka Doktor itu panggil saya dan berkata kepada saya sekiranya saya bekerja di bawah Tuan Mr. F saya akan merasa kepahitan yang amat sangat.  Katanya didalam bahasa Inggeris, “If you happen to work under Mr. F, you will be in a hell of trouble!”

Sedia maklum ketua-ketua pejabat Ukur-Mengukur di masa itu semuanya daripada bangsanya orang Australia dan tuan yang saya sebutkan itu ialah Ketua Pejabat di situ.  Sebagaimana yang saya telah sebutkan ketua-ketua Pejabat itu di masa itu dan Pegawai Ukur-Mengukur kebanyakkannya daripada bangsa mereka.  Bagitupun saya jawab jualah lebih kurang.

“The worse he can do is to sack me, he cannot shoot me, I need not have to pay for my passage home.”


bersambung



Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

No comments:

Post a Comment