Guru darjah saya berturut-turut hari minta wang itu tidak dapat saya bayar hendak minta ke kampung pun akan memakan masa. Mujur ada seorang budak yang kasihan kepada saya, iaitu Hashim namanya, anak kepada Cikgu Siti Hasnah, guru besar Sekolah Perempuan Kota Lama Kiri yang biasa sudah kenal kepada saya tempoh hari. Ia belikan bagi saya satu buku bacaan darjah dua iaitu yang sudah dipakai (second hand) dengan harga 17 sen dan dengan pertolongannya itu terus saya naik darjah dua. Malangnya hingga masa ini belum saya dapat berjumpa dengannya atau membalas budinya yang baik itu kerana saya telah tamat bersekolah terlebih dahulu daripadanya dan bekerja di beberapa pejabat dan tempat.
Di akhir tahun 1912, saya telah memasuki peperiksaan dan lulus darjah dua. Di awal tahun 1913, saya telah dinaikkan ke darjah tiga dan diakhir tahun itu saya telah memasuki peperiksaan tahunan dan lulus darjah empat.
Pada awal tahun 1914, saya telah dinaikkan ke darjah lima tetapi di tahun itulah telah terjadi peristiwa perselisihan faham yang hampir mengkaramkan pelayaran bahtera hidup saya. Peristiwa itu ialah ialah pada awal tahun itu atau akhir tahun yang baharu lepas (1913) telah berbangkit soalan hendak menoreh getah lebih kurang 60 pokok di keliling rumah datuk saudara saya itu yang mereka duduk tempoh hari sebelum berpindah ke rumah di Jalan Stesyen Kuala Kangsar. Sebelum itu mereka duduk di rumah mereka yang awal di sebelah jalan keretapi di hadapan stesyen keretapi Kuala Kangsar.
Mulanya mereka mengambil tanah kerajaan di sebelah jalan keretapi di situ dan mendirikan sebuah rumah besar di situ. Di sebelah belakang rumah itu ialah lembah tanah bendang yang sentiasa berair dan di sebelah belakangnya lagi adalah tinggi sedikit tempat berkebun sayur. Di sekeliling rumah besar itulah ditanam lebih kurang enam puluh pokok getah yang termaklum yang di masa itu sudah cukup besar untuk ditoreh. Hendak dipajakkan atau dipawahkan dengan orang tidak cukup, sedikit sangat pokoknya dan di masa itu harga getah melambung tinggi. Oleh itu, bermuafakatlah di antara bapa-bapa saudara untuk meneruskannya dengan bergilir-gilir. Saya tidak dijemput sama sekali pada mulanya. Tetapi saya sudah agak pekerjaan itu saya perlu membantu kerana maklumlah adakah patut bapa-bapa saudara itu yang sedang mengaji Inggeris di darjah tinggi dan di Malay College pula tempat mengaji putera-putera raja dan anak-anak orang besar, tentu sekali mereka malu dan segan membuat kerja itu. Mereka jalankan selama seminggu dan selepas itu, masing-masing telah jemu. Tinggal lagi bapa saudara saya Tajul Mulok yang bungsu yang sedang mengaji di Sekolah Melayu Kuala Kangsar saja yang suka meneruskan pekerjaan itu dengan harapan akan mendapat bahagian yang lebih apabila getah itu dijual kelak. Pekerjaan itu akan dijalankan sebelum pergi ke sekolah. Oleh itu, pada mulanya saya diajak untuk menjadi temannya. Tanah itu adalah jauh daripada rumah tempat kami tinggal. Oleh itu, pekerjaan itu elok berjalan tetapi tidak berapa lama selepas itu, bapa saudara saya itu telah mula culas. Apabila ia sampai ke situ, ia pergi duduk mengantuk dan terkadang lalu tertidur di pangkal tangga rumah itu. Oleh itu saya terpaksalah bekerja seorang diri. Keadaan itu kerapkali sudah menjadi saya lambat tiba ke sekolah dan pada satu pagi sebuah sekolah itu telah riuh rendah denga gelak ketawa daripada guru-guru dan murid-muridnya jadi gemuruh kerana saya tiba lambat sangat ke sekolah dengan memakai pakaian di masa menoreh getah pagi itu iaitu satu uniform kadet kepunyaan seorang bapa saudara saya yang sudah buruk dan tiada boleh dipakai lagi semasa berlatih. Ini telah terjadi ialah oleh kerana sudah lambat dan tidak sempat lagi hendak menukar pakaian biasa hendak sekolah. Oleh itu saya berasa amat malu.
bersambung
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA
No comments:
Post a Comment