Apabila sekolah buka kembali bagi penggal dua, saya tidak balik dan tidak mengaji lagi dalam penggal sekolah yang kedua. Di masa itu telah dijalankan peraturan cuti baharu sebagaimana sekarang. Sebelum itu cuti sekolah adalah sebagaimana dirangka kepada iaitu cuti tengah musim panas (Mid-summer) dan cuti tengah musim sejuk (Winter). Kebetulan pula, di awal bulan Ogos 1914, peperangan dunia yang pertama telah meletus dan kapal Jerman bernama “EMDEN” baru lepas menyerang pelabuhan Pulau Pinang dan menenggelamkan dua buah kapal perang British di pelabuhan itu di masa berakhir cuti sekolah penggal dua.
Dengan keadaan yang demikian pula, bapa saudara saya yang tua Tajul Ariffin telah berulang-alik menulis surat kepada saya di Lambor Kiri bertanya mengapa saya tidak balik mengaji sudah satu penggal. Saya jawab takut huru-hara perang dan seorang Tok Aki Panjang Rantau namanya, memberi ibu dan kami sekelian tahu iaitu semasa di dalam perjalanan balik ke Lambor Kiri keretapi telah dipakai oleh angkatan perang membawa askar-askar ke arah Utara. Bapa saudara saya itu jawab lagi, katanya, jangan jadi bodoh. Perang itu bukan berlaku di sini tetapi ialah jauh 8,000 batu daripada sini. Tidak apa yang hendak ditakutkan dan perjalanan di merata-rata tempat di negeri ini berjalan seperti biasa. Ia suruh jua saya balik mengaji. Oleh itu, sayapun baliklah bersekolah lagi tetapi malangnya, itulah masa yang akhir saya melihat ibu saya kerana ia telah meninggal dunia selepas saya balik mengaji.
Saya telah berfikir jika saya tidak teruskan mengaji harus jadi tidak ada orang lain daripada tempat saya akan mengaji di sekolah Inggeris. Oleh kerana itu, di masa itu saya seorang saja budak yang julung pertama mengaji di sekolah Inggeris mukim Lambor Kiri, dan tidak ada budak lain seorangpun berbuat begitu. Jika saya terbantut tentulah atau harus jadi tidak akan ada budak-budak yang lain hendak mencuba lagi.
Apabila saya sampai ke sekolah pada pagi-pagi lagi sebelum budak-budak yang lain sampai, saya dapati luar biasa kerana di pagi itu dan tidak pernah di masa yang lalu sebagaimana pendapatan saya, iaitu guru besar Tuan Hogan menanti di tangga sekolah dengan rotan yang panjang. Harus juga oleh kerana ia nampak saya daripada jauh. Apabila saya tiba di sekolah tidak dibenarkan ke sekolah. Disekatnya saya dengan rotan yang panjang itu. Saya minta jua dan baru ia bertanya mengapa saya tidak datang mengaji sebegitu lama. Dengan terkeliru, tuhan terlintas di hati saya dengan sekejab ketika itu, dan saya jawab saya tidak dapat datang mengaji sebegitu lama oleh kerana saya tersekat di jalan, tidak boleh lalu lintas kerana sebenarnya di masa itu telah merebak sakit cacar (small pox) di Pasir Tok Jom dan di Kuchai di mana bapa saya Ayah Uda Kidin pun terkena penyakit itu dan hukum karantina dijalankan tidak boleh hilir mudik ke Parit (tetapi ikut Teluk Anson boleh). Harus jadi juga ia telah dengar pasal karantina itu. Ia benarkan saya mengaji balik dan nama saya yang sudah dipotong daripada daftar dimasukkan balik. Tetapi di tahun itu, tidaklah saya dapat “double promotion” seperti di tahun-tahun yang lalu. Hingga masa ini, saya tidaklah lupa ikhtiar dan nasihat bapa saudara saya itu.
bersambung
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA
No comments:
Post a Comment