Total Pageviews

Monday, 25 June 2012

MENGAJI SEKOLAH INGGERIS (Sambungan 10): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

Saya suka mengambil kesempatan meriwayatkan hal tanah dan rumah di seberang keretapi itu yang terjadi beberapa tahun sebelum saya sampai untuk mengaji di Sekolah Inggeris Kuala Kangsar.

Mereka telah diam di rumah besar yang mereka dirikan di situ beberapa tahun yang lalu.  Di dalam masa itu, Opah telah melahirkan dua orang anak iaitu seorang anak perempuan namanya Fatimah Tajul Razmah dan seorang lagi yang namanya saya sudah lupa.  Dengan takdir Tuhan kedua kanak-kanak itu telah ke rahmatullah semasa kecil.  Oleh itu telah terfikir kepada mereka yang tempat itu keras dan berdekatan dengan satu tempat namanya Busung yang mereka katakan tempat langsuir diam.

Dengan sebab itu, mereka telah memohon kurnia dan diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Al-marhum Sultan Idris untuk mendirikan sebuah teratak (rumah) di atas tanah kepunyaan baginda itu di Jalan Stesyen Kuala Kangsar.  Pada masa saya mula sampai ke situ, mereka baru saja berpindah ke rumah yang mereka baru saja dirikan.  Di masa itu tanah itu lagi penuh sesak dengan lalang dan pokok kayu hutan atau kayu kayan yang lain.

Saya tidak tahu benar atau tidak adakah tempat yang lama itu keras sebagimana sangkaan mereka.  Pada perasaan saya harus jadi disebabkan oleh penyakit deman kepialu (Malaria) keadaan di tanah lembah yang dibelakang rumah itu penuh dengan nyamuk tiruk yang tidak terhingga banyaknya sebab banyak air bertakung di situ.  Selepas saya tiba di rumah yang baru itupun saya sendiri terkena penyakit demam itu tetapi saya dipaksa memakan ubat quinin yang amat pahit.

Berkenaan dengan langsuir itu, apa yang dapati dan  fahamkan sebenarnya ialah satu jenis burung helang yang biasa jua, bukannya hantu tetapi yang suka diam di hutan belantara di tempat yang liku dan sunyi.  Kesukaannya berbunyi di waktu sunyi malam terkadang berbunyi semacam orang gelak-ketawa sebagaimana burung tiung yang dipilihara orang.  Bunyi itu datangnya ialah dari arah tempat (kampung) Busung yang telah disebutkan di tempat yang liku dan sunyi di masa itu.  Apabila orang mendengar suara itu, masing seram bulu-roma (langsuir) disangkakan hantu.  Kebanyakkan orang tidak pernah mendengar keadaan sebagaimana yang telah dikatakan burung itu diamnya di hutan belentara dan di tempat jauh daripada orang.  Saya teringat di masa kecil bagaimana orang-orang tua menakutkan budak-budak kecil dengan Gonggok-Alin – mengapa orang-orang tua pula takut kepada burung helang yang bunyi di waktu malam.




Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

No comments:

Post a Comment