Total Pageviews

Monday, 11 June 2012

MENGAJI SEKOLAH INGGERIS (Sambungan 8): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

Pada pagi besoknya, saya tidak pakai lagi uniform itu tatkala hendak pergi menoreh getah.  Ayah Cu saya terus duduk di pangkal tangga sebagaimana biasa dan tidak mahu buat apa-apa.  Saya kata “Ayah Cu tolonglah supaya kita boleh cepat siap dan balik”.  Ia berdiam diri saja tidak apa jawabnya, oleh itu, saya teruskan lagi, “Ayah Cu, saya dihantar oleh ayah saya ke sini hendak mengaji, jika dengan ini saya tidak dapat mengaji lebih baik saya balik pulang saja.”  Ia terus pulang dengan tidak berkata apa-apa.  Apa dicakapnya kepada Opah tidaklah saya tahu tetapi apabila saya balik saya telah dimarah oleh Opah dengan perkataan yang saya anggap tidak patut.  Untuk memendekkan perkara itu, saya terus belari ke sekolah.  Bila saya balik tengah hari dan petang itu, saya tidak dibenarkan bertanak nasi atau membuat apa-apa kerja.  Pada pagi besoknya saya teruskan juga nenoreh getah dengan seorang diri.  Saya terus pergi ke sekolah dan pada petangnya, saya tidak balik ke rumah tetapi terus ke Bukit Chandan kepada seorang bapa saudara saya Pandak Manan yang pada masa itu bekerja di Istana Al-Marhum Sultan Idris.  Saya tidak ingat lagi berapa hari dan malam saya tinggal bersamanya sebelum saya dihantar balik ke rumah Tok Aki.  Bila saya balik nampaknya tidaklah pula mereka berkata apa-apa.  Barangkali mereka pun suka saya sudah balik kerana selama saya tidak berada bersama mereka, maka terpaksa mengupah orang-orang Hindu untuk mengambil atau mengangkat air.

Untuk mengelakkan daripada salah faham kerana mengingat peristiwa ini, saya suka menjelaskan iaitu saya tidak berniat  apa-apa terhadap bapa saudara saya itu atau sesiapa di atas apa yang terjadi yang harus jadi kerana salah faham dan boleh jadi kerana kesilapan saya sendiri kerana saya tidak dapat memberi ia faham maksud saya yang sebenarnya dan saya masih ingat dan berterima kasih kepadanya kerana dengan mengikut ianya ke sekolah, maka saya dapat masuk belajar di sekolah Inggeris.  Tetapi apa yang saya kesalkan ialah bagaimana sekalipun saya rasa patutlah ditanya pula daripada saya apa sebenarnya yang telah berlaku dan tidak mendengar daripada sebelah pihak sahaja.

Selepas itu, saya telah berasa tidak lagi lalu hendak meneruskan pelajaran saya kerana selain daripada kerja-kerja yang saya terpaksa buat, saya pula sudah tidak dapat membaca buku-buku sekolah di rumah sehingga semua orang telah tidur jauh malam.  Tambahan pula, di masa itu sudah pula dapat seorang lagi bapa saudara yang kecil dan yang suka mengoyakkan buku-buku jika saya hendak baca buku-buku semasa ia masih jaga.  Tambahan lagi pula, saya tidak lagi berani membaca buku-buku di waktu larut malam sangat.  Oleh kerana, pada satu malam, pelita gas yang saya letakkan di sebelah kepala saya sambil berbaca di atas lantai membaca buku-buku, maka pelita itu terjatuh serta membakar bantal dan separuh rambut saya tatkala saya tidak sengaja terlina dan mengantuk sambil membaca buku-buku.  Mujurkah pula saya tidur di serambi rumah sebelah luar dan bantal yang belum habis hangus itu dapat saya hantar ke tempat jauh malam itu jua untuk memelihara diri daripada kena marah.  Bagaimanapun, mereka dapat juga tahu tidak berapa lama kemudian daripada itu, bagitupun saya bersyukur kepada Allah kerana sebuah rumah tidak terbakar kerana itu.

Dengan keadaan demikian, saya telah menulis sepucuk surat yang panjang lebar kepada Tok Aki Anjang Talib di Lambor Kiri.  Iapun tidak berbuat apa-apa tetapi diakhir penggal pertama tahun itu, bapa saya telah datang mengambil saya semasa cuti sekolah di hujung penggal itu untuk balik pulang ke kampung dengan semua tikar-bantal dan tilam saya.  Opah bertanya mengapa diambil bersama-sama barang-barang itu, dan bapa saya menjawab untuk mengganti semuanya.


bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

No comments:

Post a Comment