Total Pageviews

Monday, 28 May 2012

MENGAJI SEKOLAH INGGERIS (Sambungan 6): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

Saya terus masuk belajar dalam darjah satu di bawah Cikgu Mohd Arshad dan selepas dua bulan daripada tarikh saya masuk belajar, seorang guru lagi ditambah iaitu Miss Kolmeyer daripada Ceylon untuk mengajar darjah kanak-kanak kecil (infant) dan darjah satu.  Di masa itu, saya masih belajar dalam darjah satu.  Cikgu Mohd Arshad pula mengajar darjah dua dan tiga.  Guru Besar mengajar darjah empat hingga darjah tujuh.

Pada masa itu, saya sudah boleh baca buku semua daripada bawah sampai habis buku bacaan darjah satu dan sudah ingat (hafal) sekalian nyanyian di dalamnya.  Ilmu Alam belum diajar lagi dan saya pun sudah sedia tahu. Ilmu Hisab (Kira-kira) pula tidak payah diajar dan cuma hendak belajar bahasa saja.  Guru yang baru tiba Miss Kolmeyer baharu mengajar seminggu.  Saya tidak tahu apa hendak belajar lagi darjah itu.  Oleh itu saya tanya seorang budak yang sudah tinggi darjahnya iaitu M. Valipuram a/l V. Nadason yang duduk berdekatan dengan rumah saya menumpang di masa itu, apa yang saya patut buat.  Katanya mintak naik darjah dua.  Saya kata tidak tahu cakap bagaimana hendak minta.  Katanya, cakap mulutlah dengan cikgu itu.  Saya tidak berani cakap mulut sebagaimana yang diajarnya kerana takut dimarah oleh guru itu yang perempuan pula takut malu jika tidak berjaya.  Oleh itu selepas membuat kira-kira hari itu saya tulis di hujung papan batu itu,  "Teacher, please promote me to Std II”.

Apabila cikgu itu lihat tulisan saya itu, ia terus jumpa guru besar dan guru besar itu terus panggil saya.  Disuruhnya tulis “Dictation” bersama-sama dengan budak-budak yang sudah lama dalam darjah itu.  Apabila disemak saya didapati salah 16 perkataan tetapi ada diantara budak-budak yang sudah lama dalam darjah itu yang didapati salah sebanyak 24 perkataan.  Oleh itu, saya terus dinaikkan ke darjah dua dan saya disuruhnya bawa wang tunai sebanyak $1.00 untuk buku bacaan darjah dua.

Saya terus minta wang itu daripada Tok Aki pada besoknya daripada wang $40.00 yang diberikan oleh ayah saya kepadanya pada masa mulai saya tiba tempoh hari.  Saya pun bawa wang itu ke sekolah tetapi malang tidak berbau.  Wang itu terus diseluk orang daripada kocek (pocket) saya.  Bila guru besar berkehendakkan wang itu, saya terpaksa berkata benar dan semua murid-murid di sebuah sekolah itu lebih kurang seratus orang diperiksanya satu-satu, tetapi wang itu tidak juga dapat balik.

Dengan perasaan yang serba-salah, saya terus-terang khabarkan kejadian kepada Tok Aki dan Opan dan minta lagi $1.00.  Barang kali harus mereka sudah tidak percaya benarkah saya sudah dapat naik darjah kerana baru mengaji dua bulan saja dan benarkah wang itu hilang.  Oleh itu mereka tidak mahu lagi beri wang.

bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

No comments:

Post a Comment