Total Pageviews

Monday, 14 May 2012

MENGAJI SEKOLAH INGGERIS (Sambungan 4): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

 
Oleh yang demikian, perlulah saya membantu untuk memenuhi keperluan bekerja di rumah.  Awal-awal lagi saya diajar bagaimana membasuh beras untuk bertanak nasi.  Tidak berapa lama saya jadi pandai (expert) dalam perkara ini.  Nasi yang saya tanak tidak bergentel tetapi sedu dan sebu saja, tidak lembik, tidak mentah dan tidak berkerak ataupun tidak banyak berkerak.  Petuanya ialah masa bertanak itu lebihkan sedikit air, biar lama sikit nasi itu mengelegak kemudian buangkan  air daripada periuk itu.  Selepas itu, jerangkan balik periuk itu ke atas dapur.  Padamkan apinya, jangan dibiarkan banyak bara api di bawah periuk itu dan seelok-eloknya diketepikan bara itu sekeliling periuk, jadi nasi masak elok dan tidak banyak atau tidak ada berkerak.

Selepas itu saya diajar pula mengukur nyior baharulah saya tahu yang nyior itu hendaklah dikukur daripada sebelah tepi supaya nyior itu tidak lekang.  Kemudian saya diajar pula memotong kayu api yang berkehendakkan sedikit tenaga oleh kerana kapak atau parang itu tumpul sebab tidak pernah berjumpa batu asah semenjak ditempa atau dibeli.  Terkadang terpaksa pula saya cari kayu api sendiri disebabkan orang Hindu daripada kebun-kebun getah yang berdekatan tidak datang berjaja kayu api atau harganya mereka berkehendakkan mahal.

Selain daripada itu pula, saya mengangkut air atau mengambil air telaga daripada perigi di bawah lembah atau daripada paip air di belakang Hospital Melayu Kuala Kangsar yang jauh.  Kerja suruh-menyuruh yang lain seperti pergi ke pekan Kuala Kangsar atau di pasar (market) di bandar itu dan lain-lagi kerja saya buat.  Sama sekali dan sudah berakhir lebih tiga bulan, November, Disember 1911 dan Januari 1912 yang masa untuk masuk belajar iaitu tahun itu sudah hampir berlewatan, sudah bertengah bulan Februari 1912.

Dengan keadaan yang terharu itu, saya telah pergi berjumpa seorang bapa saudara saya Pandak Manan yang di masa itu masih bujang dan duduk bekerja sebagai seorang kundang Almarhum Sultan Idris Murshidul Azzam Shah, di Istana Hulu Bukit Chandan.  Pada pagi esoknya, saya pergi ke Sekolah Melayu Kuala Kangsar serta duduk sama sebangku dengan bapa saudara saya Tajul Muluk yang di masa itu sedang belajar di sekolah itu.  Bagitulah saya lakukan beberapa hari dengan tidak berbuat apa-apa.  Saya pakai “ilmu apa jadi”.

Pada satu pagi Cikgu Endut, guru besar sekolah itu bertanya kepada bapa saudara, itu budak yang ikut “hang” itu hendak masuk belajarkah?  Jawabnya, tidak cikgu, dia sudah pas (tamat) darjah lima tiga kali.  Bapa saya hendak minta masukkan ke Malay College, kata Cikgu Enduk lagi.  “Aku pikiq (fikir) itu amat membuang masa saja, baik aku masukkan ia ke sekolah Hogan jikalau ia dapat masuk Malay Collage kelak lagi bagus.  Dan dengan itu, saya di bawanya terus berjumpa dengan guru besar sekolah Inggeris itu yang berdekatan dengan sekolahnya.  Ia mengaku yang saya adalah seorang muridnya dan ia meminta saya diterima masuk mengaji di situ sungguhpun masanya sudah terlewat – di dalam bulan Februari 1912 saya terus diterima masuk belajar.
bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

No comments:

Post a Comment