Selepas itu tinggallah saya di rumah datuk saudara saya itu di Jalan Stesyen Keretapi Kuala Kangsar di tempat di mana istana Almarhum Tuanku Raja Bendahara Raja Abdul Rashid sekarang terdiri.
Datuk saudara saya dan anak-anaknya semuanya baik orangnya dan suka mengajar dan tunjuk ajar kepada saya yang saya tidak boleh lupakan tetapi isteri datuk saudara saya itu juga baik dan saya panggil Opah adalah garang orangnya dan saya takut kepadanya serta saya mengikut saja apa katanya. Namanya ialah Puteh Fatimah tetapi orang banyak panggil Puteh Gemuk sebab gemuk orangnya. Semasa bertugas di Parit, mereka duduk di rumah kerajaan yang semasa dahulu dipakai sebagai rumah rehat (Rest House) berdekatan dengan jeti Parit dan sekarang itu di tempat itu orang-orang berniaga (stall). Tetapi, oleh kerana ia terpaksa bergerak ke sana-sini, ke hulu dan ke hilir, ia dibenarkan satu sampan sagur yang ada beratap dan berbilik dengan digaji oleh kerajaan beberapa orang untuk bergalah dan berdayung sampan. Semasa ia pergi, orang-orang yang dibayar gaji itu di antaranya ialah kaum keluarga atau kaum kerabat yang rapat yang dapat dibuat apa-apa saja untuk disuruh membuat apa-apa saja pekerjaan di sampan dan di rumah. Masing-masing taat kerana berkehendakkan kerja dan gaji.
Apabila ia (Tok Aki) ditukarkan balik ke Kuala Kangsar, maka keadaan sudah banyak berubah. Opah terdengar merungut mengapa tidak bawa orang daripada opis untuk membuat kerja di rumah sebagaimana di Parit dahulu. Tok Aki menjawab katanya “di sini semua orderly, peon, notis-server adalah orang kerajaan belaka, serupa dengannya tidak boleh dibawa bakerja di rumah. Tambahan pula, kebanyakan mereka itu duduk di rumah sendiri di Sayong di seberang sungai dan mereka tidak balik makan tengah-hari. Oleh itu selepas saja masa kerja pada petang, mereka bersegera balik ke rumah hendak makan. Oleh itu, Opahpun berdiam saja.
bersambung
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA
No comments:
Post a Comment