Total Pageviews

Monday, 21 May 2012

MENGAJI SEKOLAH INGGERIS (Sambungan 5): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

Pada masa saya mula masuk belajar (1912), sekolah itu dipanggil; orang Sekolah Hogan mengikut sempena nama guru besarnya Tuan John Peter Conway Hogan dan Maktab Melayu (Malay College) dipanggil orang Hargrib mengikut nama guru besarnya yang awal.

Sekolah Hogan yang saya baru masuki belajar itu pada masa itu (1912) mempunyai cuma dua orang guru iaitu guru besarnya dan seorang penolong iaitu Mohd Arshad yang mengajar tiga darjah iaitu infant darjah kanak-kanak kecil hingga darjah dua – darjah Special Malay Class belum diadakan.  Guru Besarnya mengajar lima darjah iaitu darjah tiga hingga tujuh (setinggi-tinggi darjah di masa itu).  Darjah tujuh telah dimulakan di tahun itu.  Seorang bangsa Sikh yang namanya saya sudah lupa, seorang budak China Tan Hong Teik dan dua orang budak-budak Melayu, namanya Ali dan Haji Abdul Karim.

Sungguhpun saya telah masuk belajar di sekolah Inggeris yang tersebut, maka sekelian kerja di rumah yang saya telah diajar dan sudah biasa diperbuat sebelum itu terus saya jalankan.  Masa belajar di sekolah di masa itu ialah daripada jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari dan 1.00 hingga 3.00 petang.  Daripada jam 12.00 tengah hari hingga 1.00 petang, murid-murid balik pulang ke rumah untuk makan tengah hari.

    Daripada sekolah balik ke rumah makan tengah hari lebih kurang sebatu.  Pada ghalibnya, apabila saya sampai balik ke rumah barulah saya membasuh beras hendak bertanak dan jika malangnya kayu api basah atau tidak cukup kering, maka susahlah hendak memasang api dan ketika itu baliklah ke sekolah dengan tidak sempat makan nasi kerana nasi belum masak.  Oleh itu balik selepas pukul tiga petang baharulah makan.

Perkara yang lebih merumitkan di masa itu ialah mengakat air.  Pada satu masa dan ketika itu jadilah Opan beranak kecil beranakkan ayahanda Tajul Azlan dan Wan Jenab (Zainab) isteri ayahanda Tajul Ariffin pun beranakkan anaknya yang tua sekali Wazinah sama satu ketika.  Pada masa itu saya terpaksa angkat diantara 10 dan 20 pengandar air tiap-tiap hari untuk mereka kedua dan lain-lain mandi di rumah.  Air itu diangkat daripada paip air di belakang rumah Tuan M. Valipuram di seberang jalan.  Pada mulanya, jelas nampak tidak ada sekatan untuk mengambil air daripada paip air yang disebut itu tetapi lama-kelamaan, sayapun tidak perhatikan yang tuan punya paip itu letakkan anjingnya yang bernama “Gondo” yang biasanya bertambat siang hari.  Tahu-tahu saya, rupanya anjing itu datang mengigit sebelah belakang kaki kanan saya yang parutnya pun tidak hilang hingga masa ini.

Selepas itu, saya tidak berani lagi hendak pergi mengambil air daripada paip itu dan terpaksalah beredar ke tempat lain.  Saya cuba mengambil air daripada paip air di belakang rumah sakit Melayu yang jauh.  Bila saya mula pergi ke situ, tukang masak di situ tutup pintu pagar buluh di situ.  Saya meminta-minta bersungguh-sungguh kepadanya dan baharu ditetasnya balik pagar buluh itu dan dibenarnya saya ambil satu pengandar air sekali sehari.  Maklum sajalah satu pengandar air sehari untuk minum dan lain-lain tidak cukup.  Bila saya datang ambil dua pengandar, tukang masak itu marah pada saya dan jika saya mengambil tiga pengandar dihalaunya saya mentah-mentah.  Maklum sajalah sebagaimana jimat sekalipun dua pengandar air paip tidaklah mencukupi bagi sebuah rumah yang ramai orangnya untuk sehari.  Oleh itu saya terpaksa ambil lagi-lagi ke situ dengan mencuri-curi di masa tukang masak itu tiada di situ di waktu malam.

bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

No comments:

Post a Comment