Persiapan pun disediakan dan bapa saya telah menyewa sebuah perahu besar yang beratap dan berdinding sebagaimana sampan-sampan yang disewakan di masa itu untuk menghantar saya ke Kuala Kangsar. Ibu saya telah panggil ayahnya Ngah Kenta daripada Selat Pulau dan juga ninda saya Anjang Talib bin Toh Dewa yang di masa itu baru bersara daripada jawatan Penghulu Lambor Kiri pergi bersama untuk menyerahkan saya kepada datuk saudara saya Tok Aki Mohd Yatim di Kuala Kangsar. Bapa saudara saya, Uda Kidin pergi bersama untuk mengemudikan sampan dan seorang lain diupah untuk menolong bapa saya bergalah sampan mudik ke Kuala Kangsar.
Kami bertolak daripada Lambor Kiri pada pagi 1.11.1911 dan sampai di Kuala Kangsar selepas dua malam di jalan. Selepas berada di Kuala Kangsar selama tiga hari dan dua malam, masing-masing bertolak balik ke hilir ke kampung kecuali ninda saya Anjang Talib yang tidak lalu hati meninggalkan saya begitu begitu cepat.
Pada 11.11.1911, ninda Anjang Talib pula berkhabar kepada saya yang ia pun hendak balik dan di masa itu baharulah saya terharu tidak tertahan airmata sebab itulah kalinya baharu bercerai dengan ibu-bapa dan saudara-mara dan saudara daging dan akan tinggal jauh daripada kampung halaman pula di rantau orang. Dengan keadaan yang begitu, maka ninda saya tidak lalu hati hendak meninggalkan saya tetapi sebaliknya dibawanya saya ke Bendang Kering Sayong ke rumah bapa saudaranya Ismail (bin Alang Ra’in). Kami tinggal dua malam di rumahnya dan orang tua itu himpunkan pula sekelian anak-anak cucunya dan keluarganya ke rumahnya untuk diperkenalkan kepada kami. Selepas itu pula, anak-anak cucu dan keluarganya pula menjemput kami ke rumah mereka, bergilir. Kami pun pergi bermalam daripada satu rumah ke satu rumah hingga 30 malam berturut-turut, selain pula yang kami lawat pada siang hari. Sementara itu, kami jua dapat menghadhiri beberapa perkahwinan di antara kaum-kerabat di situ. Jadi selepas 33 hari dan 32 malam baharu kami pulang daripada menziarahi kaum-kaum kerabat yang ramai di Sayong. Selepas itu, selama 1½ bulan baharulah ninda Anjang Talib balik ke Lambor Kiri. Sekarang ini, orang-orang tua di masa itu sudah tidak ada lagi, maka hilanglah cerita kaum-kerabat kami di Sayong dan jua di tempat-tempat lain seperti di Singgang, Simat, Lempor kerana masing-masing tidak berkenalan lagi kerana oleh sebab adat purbakala ziarah-menziarahi daripada masa ke semasa sudah hapus.
bersambung
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA
No comments:
Post a Comment