Saya tertarik hati kepada satu kejadian yang mengelikan hati iaitu cerita tiga serangkai daripada orang kita Melayu. Berlakunya cerita ini ialah di masa di Cangkat Melintang mula-mula menanam pokok getah para di situ. Pada kali pertama getah mereka ditoreh dan dibekukan jadi getah berkeping-keping, mereka ketiga itu bermuafakat telah hendak menjualkan getah mereka ke bandar (pekan) pekan yang terdekat ialah Tronoh. Jalan kapal ke Teluk Anson atau Parit belum lagi ada, mereka bawalah getah mereka dengan berkandar ke Tronoh. Di masa itu, harga getah para amat tinggi sehingga dua ratus ringgit sepikul atau hampir sebanyak itu maka ketiganya orang gagah belaka, besar dan tinggi orangnya.
Selepas mereka jual getah mereka maka wang yang mereka dapat daripada jualan itupun beroleh sedikit wang kerana tinggi harga. Oleh itu mereka berhajatlah hendak menjamu selera mereka. Mereka ketiga pergi bersama-sama ke sebuah kedai nasi di pekan itu. Mereka dibawa oleh tuan kedai itu ke dalam di mana ada satu meja dan empat kerusi. Mereka tidak tahu apa hendak dibuat. Seorang daripada mereka berkata “mika pergilah dahulu” dan begitulah berdolak-dalik di antara mereka dan sesudahnya seorang daripada mereka yang lebih berani, besar dan tinggi orangnya masuk dahulu. Ia berasa serba salah adakah benda yang empat (kerusi) itu sebagai tangga hendak naik ke atas meja atau tempat berjuntai kaki bila sudah naik ke atas. Demikianlah seorang demi seorang naik. Sementara itu, tuan kedai pergi keluar untuk membawa juadah-juadah yang mereka kehendaki. Mereka tidak terfikir yang kerusi itu ialah tempat meletakakn hidangan (untuk makluman kedai-kedai nasi di masa itu di situ memberi orang makan di atas pelantar dengan bersila. Apabila mereka ketiga-tiga telah duduk di atas meja itu, ada yang bersila dan ada yang berjuntai, maka meja itu lalu roboh dan mereka ketiga jatuh tersepuh ke lantai oleh kerana meja itu tidak tertahan oleh keadaan keberatan mereka ketiga, sebagaimana yang telah dikatakan besar, tinggi orangnya dan kuat badan tubuh masing-masing. Apatah lagi riuh rendah dan hebohkah tuan kedai itu.
Mereka ketiga simpan rahsia itu beberapa lama. Orang tidak tahu tetapi orang-orang lain perhatikan apabila mereka ketiga bertemu di mana-mana selalulah mereka gelak-ketawa di antara mereka dan sesudahnya pecah jua rahsia itu. Saya sendiri dapat tahu dalam satu masa di dalam perhimpunan kenduri di satu perkahwinan di rumah seorang bapa saudara saya yang telah berkahwin di situ dan di masa itu mereka ketiga bertembung dan gelak ketawa sama-sama mereka sebagaimana biasa maka baharulah seorang daripada mereka menceritakan peristiwa yang sudah lama itu, peristiwa meja roboh namanya. Di masa ini, tentulah orang tidak dapat mempercayai ini tetapi perkara ini sebenar berlaku 60 tahun yang lalu.
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA
No comments:
Post a Comment