Total Pageviews

Monday, 26 May 2014

PERANG DUNIA KEDUA: Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;



           PERANG DUNIA KEDUA


Pada pagi subuh 8 Disember 1941 heboh terdengar menerusi radio ia-itu Kerajaan Jepun telah memulakan peperangan dengan Kuasa Yang Bersekutu termasuk Amerika Syarikat dan Britain. Dikatakan jua ia-itu Jepun telah mula menyerang musuh sebelum peperangan diistiharkan dan kubu-kubu kepunyaan Amerika Syarikat di Pearl Harbour telah dibedil terok oleh Angkatan Laut Jepun.

Pada masa itu saya berkerja di pejabat Perbendaharaan Kecil (Sub-Treasury) Telok Anson dan pada pagi-pagi hari itu kami pergi ke pejabat dan telah dapat tahu tentera Jepun telah masuk mendarat di Kelantan sebelah utara.

Kejadian itu telah memeranjatkan keadaan kerana dimasa Perang Dunia yang Pertama tahun 1914-18 pihak Jepun adalah disebelah pihak Kuasa Yang Bersekutu. Oleh itu tidaklah terjadi peperangan disebelah sini, kecuali di Pulau Pinang dimana kapal Perang Inggeris semasa belayar di situ telah dibedil oleh kapal perang Jerman bernama “EMDEN”.

Peperangan Dunia yang Kedua telah bermula di Eropah semenjak tahun 1939 tetapi oleh kerana dimasa itu Jepun belum lagi menyebelahi dimana-mana kuasa maka tidaklah berlaku peperangan disebelah sini hingga 8 Disember 1941 sebagaimana yang telah disebutkan. Bagaimanapun pemerintah Inggeris telah mengambil langkah untuk bersedia bagi sebarang kemungkinan        

 bersambung


Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday, 19 May 2014

KEMBARAN 1(Sambungan 2):SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI PARIT PERAK



Setelah terdengar kepada Demang Lebar Daun Raja negeri itu bahawa Wan Empun dan Wan Malini telah dapat anak raja daripada anak-cucu Raja Iskandar Dzulkarnain telah turun di Bukit Seguntang maka Demang Lebar Daunpun datang mengadap dengan membawa persembahan terlalu banyak. Aneka yang indah-indah maka selamat dipermuliakan oleh Sang Sapurba,  Telah masyhurlah kepada segala negeri bahawa anak raja daripada anak-cucu Raja Iskandar Dzurkarnain telah turun di Bukit Seguntang Mahameru maka mereka itu datang mengadap raja itu serta membawa persembahan masing-masing.

Arakian tersebutlah kisah dua anak Raja Chulan daripada tiga beradik yang tinggal dengan ninda mereka Raja Petrali.  Selepas sedikit masa maka Raja Petrali teringatlah pula akan janjinya bagi menghantar cucunda baginda ke dunia.  Tambahan pula baginda berasa khuartir apalah terjadi kepada cucundanya yang tua yang telah dihantar ke dunia lebih awal.

Baginda terus bersiap sedia bagi menghantar cucunda yang kedua bernama Bahta ke dunia.  Sebagaimana Raja Chulan dan anakandanya Sang Sepurba dapat balik ke dunia semasa dahulu. Oleh itu Raja Petrali pun melengkapkan cucundanya yang kedua dengan pakaian Diraja yang bertatahkan ratna mutu manikam.  Selain daripada itu pula, dikurniakan baginda bersama perkakas kerajaan baginda Raja Iskandar Dzurkarnain termasuk sebuah mahkota, pedang yang bernama Cura Si Manja kini, lembing dan cap kayu gempa.  Maka cucuanda baginda itu pun bermohonlah kepada ninda dan bondanya serta dengan peluk cium dan tangisan.

Sementara itu harus telah terlintas kepada hati Raja Petrali akan perinya sekiranya cucuandanya itu jadi belot atau tidak jujur terhadap abangnya kerana maklum saja perkakas kerajaan ada dalam tangannya.  Oleh itu ialah bersumpah dengan cucunda itu sebelah menyebelah tidak akan derhaka kepada kekandanya dan kandanya itu tidak akan khianat kepada adiknya.  Demikian juga anak-anak cucu kandanya tidak boleh khianat anak-cucu adiknya demikian juga sebaliknya sesiapa pun yang derhaka akan ditimpa atau menerima bala Allah, pendek umur atau sebagainya.

Adik akan menggelar atau mentabalkan abangnya dan abang akan menggelar adiknya.  Cucundanya itu bersumpah dengan ninda sebagaimana sumpah nindanya dengan tangis bertangisan.  Maka dengan itu, anak raja itu pun terus menunggang kuda samburaninya lalu ghaib.  Dengan takdir Allah Subha-nahu wata’ala yang maha kuasa terus ke Pelembanag.

Bahta tiba ke pintu kota istana raja sebelum tengahhari dan di situ berjumpa dengan seorang gembala lembu mengembala seekor lembu.  Ia menerangkan kepada gembala lembu itu yang ia datang daripada lain negeri hendak mengadap raja negeri itu.  Ia meminta gembala lembu itu memberi tahu raja itu ia hendak mengadap atau bawa ia mengadap sendiri.

Gembala itu menjawab yang ia tidak meninggalkan lembunya kerana padang itu luas dan lembu itu akan lari jauh serta susah hendak menangkapnya balik kerana lembu itu masih liar. 

Bahta menjawab ia akan menjaga lembunya itu.  Oleh yang demikian, maka gembala lembu itupun bersetuju masuk ke istana raja menyembah kepada raja iaitu seorang yang datang dari negeri lain hendak mengadap baginda dan ada menunggu di pintu kota.

Sepeninggalan gembala lembu itu pergi maka bahta dipijaknya tali lembu itu dengan kaki kirinya kerana kedua-dua tangannya memegang perkakas kerajaan yang dibawanya termasuk mahkota.  Tidaklah diketahui samada kepanasan kerana di masa itu panas terik ataupun sebab lama sangat menanti ataupun disebabkan lembu itu melihat dekat-dekat kepada orang muda yang dipandangnya amat berlainan daripada orang-orang lain yang ia biasa lihat maka dengan takdir Allah Subha-nahu wata’ala lembu itu lalu muntah sehingga berlumurlah Bahta dengan muntah lembu itu.

Apabila mendapat ketahui ada orang daripada lain negeri hendak mengadap raja, maka Sang Sapurba lalu keluar ke pintu kota istana itu maka di dapati adiknya sendiri yang telah berlumuran dengan muntah lembu daripada kaki ke kepalanya.  Maka dibawa adiknya itu masuk ke istana dimandikan serta dibedak langir kemudianlah baharulah dibawa mengadap semula.  Kebetulan pula kekanda Sang Sapurba akan ditabalkan menjadi Raja Pemerintah negeri itu untuk menggantikan Demang Lebar Daun yang sendiri telah bersetuju turun menjadi Mangkubumi.

Di dalam istilah pertabalan itu, maka Bahta adiknyalah yang meletakkan Mahkota serta membisikkan ke telinga abangnya pesanan dan kata sumpah daripada ninda mereka Raja Petrali sambil abangnya menganggukkan kepala dan bersumpah mengikut sebagaimana sumpah nindanya. 

Sekelian Orang-orang Besar dan orang-orang lain rakyat jelata tidaklah mengetahui apa bisik kedua beradik dan tidaklah mengetahui pula siapa orangnya yang mentabalkan Sang Sepurba itu.  Cuma yang mereka ketahui ialah orang kena muntah lembu.  Demikianlah tamatnya salasilah muntah lembu melainkan Allah Subhanahu Wata’ala sahaja yang mengetahui.

Wallah hualam.

TAMAT


Catatan: Dengan hormatnya dimaklumkan bahawa sambungan kepada buku karangan Allahyarham Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri bertajuk RIWAYAT HIDUP SEORANG ANAK KAMPUNG LAMBOR KIRI, PARIT, PERAK telah ditemui. Ianya akan dimasukkan berperingkat-peringkat dalam keluaran yang akan datang. Walau bagaimanapun buku tersebut masih dalam tulisan jawi dan perlu dirumikan terlebih dahulu sebelum ianya dapat disiarkan. Insyaallah ianya akan dilakukan sedikit demi sedikit jika keadaan mengizinkan.
Sekian, terima Kasih

Editor

 

Monday, 12 May 2014

KEMBARAN 1(Sambungan 1):SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI PARIT PERAK



Maka sahut Raja Chulan.  Bahawa alam ini terlalu banyak dan berbagai jenis manusia ada didalamnya.

Setelah Raja Petrali mendengar ujar Raja Chulan itu maka terlalulah ajaib ia serta mengucapkan Subha-nahu-wata’alla Al Malekul Jabar, maka dibawanya Raja Chulan itu naik duduk diatas takhta kerajaan.

Adapun Raja Petrali ada mempunyai seorang puteri ----------.  Terlalu baik parasnya maka dikahwinkan dengan Raja Chulan.  Antara tiga tahun lamanya, Raja Chulan duduk dengan Puteri ---------, maka dengan perkahwinan itu baginda mendapat tiga orang putera.  Setelah baginda melihat ketiga puteranya itu maka baginda terlalu masygul dan berfikir apakah kesudahannya puteranya itu duduk di bawah bumi ini dan apkah daya untuk membawa mereka keluar.

Setelah baginda berfikir itu dengan takdir Allah yang ampunya iradat dengan sekunyang-kunyang seketika itu datang Maharaja Jin Asmagiah Pari mengadap baginda dan lalu dikenal baginda.  Maka titah Raja Chulan apakah tujuan ia kemari maka sembahnya kedatangan ialah kerana sudah lama tidak mengadap.  Maka titah Raja Chulan jika demikian hendaklah tuan hamba perbuatkan mahkota bagi anak hamba supaya menjadi tanda Iskandar Dzulkarnain kepadanya kelak.  Maka berdatang sembah Maharaja Jin jika demikian mahkota yang di dalam perbendaharaan Raja Zulkarnain Alaihi Salam sajalah hamba ambil maka sahut baginda mana-mana bicaralah.

Maka Maharaja Jin pun bermohon lalu ghaib daripada mata lalu diambil mahkota itu daripada dalam perbendaharaan Raja Sulaiman dan dibawanya kepada Raja Chulan.  Setelah itu maka Maharaja Jin pun bermohon kembali.  Raja Chulanpun lalu mengadap Raja Petrali membawa mahkota itu serta bertitah iaitu apabila anak-anak hamba ketika itu sudah besar hendaklah mereka di hantar ke dunia supaya mahkota kerajaan Iskandar Dzulkarnain itu jangan berkepupusan dan mahkota itu akan pemakainya.  Maka Raja Petralipun mengakulah.

Maka pada hari dan saat yang baik maka Raja Chulanpun bermohon kepada Raja Petrali hendak kembali ke dunia.  Maka bagindapun bertangisan-tangisan dengan isteri baginda.  Setelah itu Raja Petrali menyuruh hamba-hambanya mengambil seekor kuda samburani jantan dan diberikannya kepada Raja Chulan. Maka baginda itupun menunggang kuda dan kuda itupun membawa Raja Chulan keluar daripada dalam laut.  Setelah Raja Chulan sampai ke tepi daratan, maka kuda samburani itupun kembalilah semula ke dalam laut.

Diriwayatkan ada sebuah negeri tanah Andalas, Palembang namanya, dan Demang Lebar Daun nama rajanya. Asalnya daripada anak-anak cucu Raja Sulan Muara Tatang nama sungainya.  Maka dahulu sungai itu adalah sebatang sungai pula iaitu Melayu namnya.  Dalam sungai itu ada satu bukit bernama Bukit Seguntang dahulunya Gunung Mahameru.

Maka ada dua orang perempuan berladang Wan Empok seorang namanya dan Wan Malini seorang namanya dan keduanya itu berhuma di Bukit Seguntang terlalu luas humanya itu dan amat jadi padinya fan telah hampir masak padi itu pula.

Sebermula maka tersebutlah pula kisah putera Raja Chulan tiga bersaudara yang dipelihara oleh ninda mereka Raja Petrali.  Setelah besar terlalu baik paras mereka dan selalulah mereka bertanya siapa ayah mereka.  Sebagaimana pula ditanya oleh rakan-rakan sepermainan mereka yang mengatakan pokok tebu pisang dan ubipun ada beribu, berbapa iaitu yang menanam dan yang menghidupkan mereka.

Raja Petrali ninda mereka sesudahnya memberikan mereka tahu iaitu ayahanda mereka ialah daripada anak-cucu Raja Iskandar Dzulkarnain Pancar Raja Masyrik dan Maghrib dan adalah pesanan ayahanda mereka apabila besar disuruhnya hantar ke dunia maka sekarang ini sudahlah sampai masanya untuk mereka kembali ke dunia.

Setelah mereka mendengar kata-kata ninda mereka Raja Petrali maka amatlah suka di hati mereka meminta berilah kami tahu jalan ke dunia itu.  Sebaliknya, pula apabila didengar oleh bonda mereka amat masygul dan berdukacita kerana ianya tidak lalu bercerai dengan mereka.  Sudahlah ayahanda mereka, suaminya meninggalkan mereka.  Tetapi sesudahnya bersetuju membenarkan seorang daripada mereka pergi dahulu.  Oleh itu, Raja Petrali pun cucundanya yang tua sekali Sang Sapurba namanya dengan pakaian Diraja yang bertatahkan mutu-manikam maka cucunda baginda itupun bermohonlah kepada ninda dan bondanya serta dengan peluk-cium dan tangisan. 

Maka baginda Raja Petrali pun menyediakan bagi cucundanya itu sebagaimana Raja Chulan di masa dahulu dapat balik ke dunia dengan menberikan cucundanya seekor kuda samburani jantan maka cucunda baginda itu keluarlah dengan menunggang kuda itu.  Dengan takdir Allah Subha-nahu wata’ala yang maha kuasa terus ke Bukit Seguntang pada waktu malam yang gelab gulita.  Putera Raja itu berasa takut dan dengan takdir Allah Subha-nahu wata’ala jua dunia yang begitu gelab gulita jadi terang benderang.

Maka malam itu dipandang oleh Wang Empuk dan Wan Malini dari rumahnya di atas Bukit Seguntang itu bernyala seperti api.  Maka kata mereka berdua apa gerangannya yang bernyala itu dan takut pula mereka melihatnya.  Maka kata Wan malini jangan kita ingar takut gemala naga besar gerangannya maka mereka keduapun diamlah dengan ketakutan lalu tidur.  Setelah hari siang maka Wan Empok dan Wan Malinipun bangun daripada tidur dan terus hendak pergi melihat yang bernyala semalam.

Maka keduanya terus naik ke Bukit Seguntang maka dilihat mereka padi mereka berbuahkan emas berdaunkan perak dan berbatangkan suasa.  Meraka berdua terus berjalan-jalan dan mereka jumpai seorang manusia lagi muda dan baik parasnya.  Maka Wan Empok dan Wan Malini pun amat hairan tercengang serta dengan takjubnya mereka melihat rupa orang muda itu dan mereka terus berfikir inilah gerangannya menyebabkan padi mereka berbuah emas berdaun perak dan berbatangkan suasa

Maka Wan Empok dan Wan Malini pun bertanya kepada orang muda itu siapakah ia dan dari mana ia datang, anak pari atau anak jin kah?  Ini kerana sudah beberapa lama mereka duduk di situ dan tidak pernah seorangpun manusi datang ke situ.

Maka sahut orang muda itu adapun nama dan bangsa hamba bukanlah daripada bangsa jin atau pari, bangsa manusia berasal daripada anak-cucu Raja Iskandar Dzulkarnain nasab Raja Nasrawan Adil anak Raja Kobat Sa’ir Raja Masyrik dan Maghrib.  Maka kata Wan Empuk dan Wan Malini jikalau tuan hamba daripada anak cucu Raja Isjandar Dzurkarnain apa sebabnya tuan hamba kemari.  Maka orang muda itu berceritalah seperti cerita ayahnya kepada Raja Petrali dan ayahandanya Raja Chulan masuk ke dalam laut dan peri duduk dengan bondanya berputrakan tiga bersaudara semuanya dihikayatkan kepada Wan Empun dan Wan Malini.

Wan Empun dan Wan Malini bertanya lagi, apa alamatnya seperti kata tuan hamba itu.  Sahut orang muda itu tandanya oleh kerana hamba jatuh ke mari maka padi bukit ini berbuahkan emas berdaunkan perak berbatangkan suasa.  Maka Wan Empun dan Wan Malinipun percaya akan kata-kata orang muda itu, maka amatlah sukacita mereka dan mereka bawa orang muda itu, anak raja itu ke rumah mereka.  Maka padi mereka itupun dituai oleh Wan Empun dan Wan Malini maka keduapun jadilah kaya raya.  

 bersambung

Monday, 5 May 2014

KEMBARAN 1:SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI PARIT PERAK



Kembaran (1)


Segala pujian bagi Allah tuhan sekelian alam, selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad Penghulu sekelian Rasul dan ke atas keluarga dan sahabatnya sakalain.

Amm-bakdu.  Adapun kemudian daripada itu adalah diriwayatkan pada zaman purbakala bahawa sebuah kerajaan telah wujud dengan mewahyunya di sebuah negeri di atas angin, iaitu Amdan Negara dan nama rajanya ialah Raja Suran.  Baginda adalah daripada  anak-cucu Raja Nazruah adik anak Raja Kobat Sa’ir Raja Masyuik dan Maghrib daripada nasab Iskandar Zulkarnain Raja Negeri Macedonia.

Kerajaan baginda tersangat besar, negeri-negeri di atas dan di bawah angin di sebelah matahari hidup dan matahari mati atau masyrik dan maghrib tertakluk di bawah perintahnya malainkan Allah Subha-Nahu-wata’ala yang mengetahuinya negeri itu sehingga tertakluk di bawah perintahnya.

Baginda beristeri Puteri Cendani Wasis iaitu Puteri atau anakanda kepada Raja Tsulan yang berkerajaan di Negeri Bija Negara dan dengan perkahwinan itu mereka mendapat tiga orang putera.

Apabila ketiga putera baginda itu telah besar dan oleh kerana wilayah pemerintahnnya amat luas di atas dan di bawah angin maka baginda letakkan putera yang tua sebagai Raja di Benua China dan putera yang kedua menjadi Raja di Benua Keling (India).  Maka petera yang bongsu Raja Chulan telah diura-urakan akan menganti baginda kelak dan sementara itu ialah akan menjadi dan melawat mera-rata negeri yang di bawah pemerintahan baginda.

Dalam lawatan Raja Chulan ke Benua Keling maka ia telah disambut setinggi-tinggi meriah dengan hormat kebesaran oleh kekandanya Raja Benua Keling dan selepas itu ia berhajat pula langsung hendak menziarahi dan melawat Benua China tetapi Tuhan sajalah yang mengetahui adakah kerana dengki atau benci atau lain maka Raja Benua China enggan menerima lawatan Raja Chulan ke negerinya kerana dikatan Raja Chulan adalah seorang raja atau wakil seorang raja besar daripada luar negeri dan adalah susah hendak mengendalikan lawatannya dan pula orang-orang besar tidak faham adat istiadat raja-raja besar.

Telah sampai ke Benua China berita iaitu perangkatan Raja Chulan sudah ke Temasek menuju ke Benua China maka Raja Benua China telah bermusyuarat dengan Orang-orang Besarnya untuk mencari jalan supaya perangkatan Raja Chulan tidak sampai ke Benua China.   Mareka telah dapat satu persetujaun bagi melengkapkan sebuah tongkang yang telah lama dan buruk dan diisi di dalamnya dengan pokok kayu dan pokok nyior sudah berbuah dengan cara mereka menggali pokok itu dengan tanah sekelilingnya dengan akan-umbinya sekali serta diletakkan seolah tertanam didalam tongkang itu.  Setelah itu pula mereka isikan pula dengan jarum-jarum yang sudah berkarat.  Selepas itu pula mereka kerah orang-orang tua yang sudah masing-masing cabut gigi sebagaimana nakhoda dan kakitangan seperti kelasi dan lain-lain dan diperintahkan mereka berlayar ke Temasek untuk menemui angkatan Raja Chulan.

Apabila mereka sampai ke Temasek maka mereka telah bertemu dengan kapal-kapal Raja Chulan iaitu ada sebuah tongkang baru tiba dari Benua China.  Raja Chulan telah bertitah kepada orangnya untuk bertanya kepada orang daripada Benua China itu berapa lama jauhnya Benua China daripada situ.  Mereka itu menjawab iaitu tatkala mereka belayar daripada Benua China mereka sekelian masih orang-orang muda lagi dan segala pokok-pokok buah yang ada itu ialah mereka tanam daripada biji-biji yang mereka makan.  Sekarang mereka masing sudah tua,  gigi mereka sudah cabut dan pokok yang mereka tanam daripada biji itu sekarang sudah berbuah yang sudah boleh dimakan maka sekelianlah lamanya baharu mereka sampai ke sini.  Mereka ambil pula jarum-jarum yang sudah haus itu dan mereka tunjukkan kepada orang Raja Chulan serta menerangkan adalah besi-besi itu yang mereka bawa daripada negeri mereka pada mulanya adalah besarnya seperti lengan tangan dan sekarang sudah haus.  Kata mereka lagi sekianlah peri lamanya mereka di jalan dan tidaklah mereka dapat mengagak berapa tahun dan bulan lamanya mereka di jalan dan berapa pula jauhnya.

Sekelian kata-kata orang cuma itu mereka sembahkan kepada Raja Chulan.  Setelah Raja Chulan mendengar berita itu, maka yakinnya jikalau benar sebagaimana kata-kata orang China amatlah jauh perjalanan untuk sampai ke Benua China.  Oleh itu, yakinnya baiklah kita kembali saja.  Maka sembah sekelian pengiringnya benar seperti titah Seri Paduka itu.

Setelah itu maka Raja Chulan telah berfikir didalam hatinya bahawa isi daratan telah sudah ia ketahui dan bagaimana pula rupanya isi lautan pula jikalau demikian katanya baiklah aku masuk ke dalam laut pula moga-moga aku dapat ketahui betapa halnya.

Setelah ia memutuskan fikirannya maka Raja Chulan pun bertitah bagi mengumpulkan sekelian bijak pandai dan utusan-utusan dan dititahkan mereka untuk membuat sebuah peti kaca, berpesawat dan berkunci dari dalam maka diperbuat oleh segala utusan-utusan itu sebuah peti kaca sebagaimana kehendak Raja Chulan serta diberi berantai emas sepuluh mutu. Setelah siap maka dibawa merekalah kehadapan Raja Chulan maka terlalulah sukacita Raja Chulan melihatnya dan baginda anugerah yang amat banyak tiada terhingga utusan-utusan itu.  Raja Chulan pun masuk ke dalam peti itu dan dikuncinya peti itu daripada dalam.  Dan dihulurkan orang peti ke dalam laut lalu tenggelam.  Daripada dalam peti kaca itu Raja Chulan dapatlah melihat beberapa perkara yang tidak dilihat daripada kekayaan Allah Subha-nahu-wata’alla yang maha kuasa.

Dengan kudrat Allah Subha-nahu-wata’alla maka Raja Chulan jatuh ke dalam bumi yang bernama Deka dan iapun keluarlah daripada dalam peti kaca itu lalu berjalan melihat segala yang indah-indah.  Di dalam perjalanannya maka Raja Chulan telah tiba kepada sebuah negeri yang besar lagi diduduki oleh satu kaum iaitu Bersim namanya.  Terlalu amat banyak bilangannya melainkan Allah Subha-nahu-wata’alla saja yang mengetahui tetapi mereka itu setengah kafir dan setengah berugama Islam.

Sekelian mereka itu amat hairan melihat Raja Chulan dan melihat pakaiannya.  Mereka bawa ianya mengadap raja negeri itu, iaitu Raja Petrali namanya.  Setelah Raja Petrali melihat Raja Chulan maka Raja Petrali bertanya kepada orang yang membawanya orang manakah ini.

Tuanku – Orang baru datang
Titah Raja lagi – Dari mana ia datang?
Sembah orang itu – Patek sekelian tidak dapat tahu

Maka terus Raja Petrali bertanya kepada Raja Chulan – Orang manakah kamu ini dan dari mana datang ke mari?

Maka jawab Raja Chulan – Hamba ini datang dari dunia.  Hamba Raja segala maknusia di dunia dan nama hamba Raja Chulan.  Maka Raja Petrali pun terlalu hairan serta bertanya lagi adakah dunia lain daripada dunia kami ini? 


bersambung

Catatan: Sumber tidak dinyatakan. Mahon maaf diatas sebarang kesilapan, sekiranya ejaan atau sebutan tidak mengambarkan perkataan yang sebenar kerana ianya ditulis kembali daripada naskhah asal tulisan jawi