Peristiwa yang berlaku selepas itu telah tercatit di
dalam buku-buku tawarikh atau sejarah maka tidaklah payah diulangi bagaimana
pun disebutkan juga serba ringkas yang ada sedikit dengan riwayat ini.
Diantara peristiwa yang terjadi ialah, Raja Muda Abdullah telah
meminta bantuan daripada Kerajaan Inggeris dan dengan sebab itu Gabenor Negeri
Selat Sir Andrew Clarke yang baru sampai telah datang ke Pangkor pada 15
Januari 1874 kerana berjumpa dan bermesyuarat dengan Raja Muda Abdullah dan
Orang-orang Besar negeri Perak. Sebagai
hasil perjumpaan itu pada 20 Januari 1874, Perjanjian Pangkor (Pangkor Treaty)
telah diperbuat di antara Kerajaan Inggeris dengan pihak Raja Muda Abdullah
yang telah mengangkat Raja Muda Abdullah menjadi Sultan Perak. Bendahara
Ismail bekas Sultan dibenarkan memakai gelaran Sultan Muda dengan bersara.
Kerajaan Inggeris telah menghantar seorang pegawai bernama
J.W.W. Birch sebagai Resident British yang pertama. Tidak berapa lama kemudian telah bangkit
perselisihan di antara Sultan Abdullah dan Tuan Birch dan diakhirnya Tuan Birch
telah terbunuh di Pasir Salak pada 2 November 1875.
Peperangan telah berlaku selepas itu dan akibat
daripada peperangan itu Sultan Abdullah telah tertawan dan diasingkan ke Pulau
Syechellis berdekatan dengan Benua Afrika bersama Orang Kaya Menteri dan Orang
Kaya-kaya Laksamana dan Shahbandar.
Bekas Sultan Ismail telah diasingkan ke Johor dan
bersama-sama mengiringi baginda ialah Toh Nara Diraja Dayan dan Toh Maharaja
Paduka Alang Abu Kassim keduanya daripada keluarga kami daripada Lambor
Kiri. Bekas Sultan Ismail telah mangkat dan dimakamkan di sana sebagai Al-Marhum
mangkat di Skudai. Toh Seri Nara Diraja
Dayan pun telah meninggal dunia serta berkubur di Johor tidak balik ke Perak
tetapi anaknya Mohd Yatim dan balunya Toh Nara Suri Long Madin balik ke Perak
selepas itu.
bersambung
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas
Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA