Total Pageviews

Monday 29 July 2013

PENDUDUK DARIPADA NEGERI-NEGERI ATAU TEMPAT LAIN (SAMBUNGAN 6): SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI, PARIT, PERAK


(4).       Seorang yang lain pula namanya Dalil atau Tok Dalil.  Iaitu bukanlah seorang daripada negeri lain tetapi ialah daripada Kampung Pulau Padang Mukim Bota berdekatan dengan Pekan Parit.  Begitu juga satu masa ia datang duduk dan beranak isteri di Lambor Kiri.  Ia orangnya gemuk tidak beberapa tinggi dan perutnya buncit.  Ia adalah seorang tua yang suka sangat menyakat atau menakuti budak-budak lelaki perempuan dan gaya dan tingkah-lakunya yang luar biasa.  Semua budak-budak sungguh takut kepadanya terutama budak-budak kecil yang bersekolah semasa mereka pergi dan balik daripada sekolah sehingga mereka lalu merendah semak-samun dan hutan untuk menyimpang jalan atau menyimpangkan diri masing-masing daripada bertemu dengannya di jalan jika mereka nampak dari jauh ia ada lalu-lintas di jalan itu.

Ia ada bermacam-macam cara untuk menakuti kanak-kanak kecil di antaranya dibuncitkan perutnya ke kiri katanya “tengok kome budak-budak di dalam perut aku di sebelah kiri itu ialah kepala anak sianu yang aku sudah makan tadi”.  Demikian juga sebaliknya jika dibuncitkannya perutnya disebelah kanan katanya “itu kepada seorang budak yang telah dimakannya,  Ia acu-acukan mata pisau dikilir-kilirnya ke atas perutnya dengan tidak luka.

            Lagi pula gerak-geri ia dengan keruit (gerak) mulut dan matanya semua manakuti budak-budak.  Ia boleh menggerakkan dahi atau kulit kepalanya yang separuh sudah botak.  Bagaimana pula ia boleh berbuat demikian tidak lah diketahui dan harus dengan jalan cubaan (practise) dengan cubaan beberapa lama sehingga ia boleh berbuat demikian untuk menakutkan budak-budak kecil.

            Saya sendiri sungguh pun di dalam hati saya berasa takut gerun dan ngeri kepadanya, tetapi saya berani-beranikan dan tidak dinampakkan takut saya kepadanya.  Iapun tidak cuba menakukan saya kerana harus ia berasa segan kepada keluarga-keluarga saya kerana di mana-mana di dalam mana-mana perkumpulan atau perhimpunan kenduri-kendara yang di zaman itu, budak-budak kecilpun turut sama dengan datuk nenek mereka.  Maka, di masa-masa itu, sayapun bersama-sama dengan datuk saya tetapi keadaan itu berubah apabila saya telah masuk sekolah.

            Pada masa saya sudah bersekolah, saya terpaksa berjalan kaki hampir sebatu ke hilir daripada rumah saya.  Pada satu pagi di dalam perjalanan saya ke sekolah, apabila tiba berbetulan di tanah kampong pusaka datuk saya, saya tidak sangka ia (Tok Dalil) ada mengendap di sebalik pokok-pokok di situ.  Aapabila saya sampai dekat dengannya di situ, ia kecutkan saya.  Katanya “Kali ini aku baru berjumpa,”  saya terkejut tidak sedar lalu melompat sebatang parit dan menembusi pagar sasak dua lapis di atas parit itu.  Nasib baik pagar itu sudah lama (tua) dan tidak kuat lagi.  Saya berlari terus kepada bapa saudara saya Kulob Deris iaitu abang dan saudara yang tunggal kepada bapa saya Ngah Abas yang saya panggil “Ayah Tua”.  Ia terkejut melihat keadaan saya dan ia bertanya “Apa pasalnya?”  Saya pun ceritakan halnya.  Selepas itu, ia nasihatkan “lain kali jikalau bertemu dengan musuh, jangan lari tetapi hendaklah ditentang musuh itu.”  Ia terus beri fatwa bila saya menemui Tok Dalil kelak.

            Berselang beberapa hari kemudian daripada itu, ia cuba lagi menakutkan atau mengugut saya di tempat yang sama.  Saya jalankan lah sebagaimana fatwa bapa saudara saya itu.  Saya jawab, “Tok Aki tak boleh ganggu saya.  Ini Jalan Kompeni, lepaskan saya.”

            Ia seolah terperanjat serta mendekati saya.  Ditepuknya belakang saya.  Katanya, “Syabas anak, inilah cara anak jantan.”  Dalam hati saya, tuhan sahajalah yang mengetahui bagaimana kecutnya tetapi diberanikan jua.

            Kedua peristiwa ini telah saya jadikan pedoman hidup,  Selepas itu, di Sekolah Melayu saya berjaya terus naik kepada darjah lima di dalam setahun (1908) yang belum pernah terjadi di dalam satu-satu sekolah dan saya tamat di dalam Sekolah Inggeris di dalam masa kurang daripada empat tahun (3 1/2 tahun),  Di dalam jawatan pula saya tidak takut memasuki apa-apa peperiksaan di dalam jawatana dan saya lebih berjaya daripada rakan-rakan sejawat saya samaada daripada orang-orang Melayu  atau bangsa-bangsa asing.  Maklum sajalah di masa itu peluang bagi orang Melayu sangat tersekat bukan sebagaimana sekarang.  Bagaimanapun saya berbangga kerana saya adalah orang yang awal sekali meninggalkan kampong laman saya di Lambor Kiri pergi belajar di Sekolah Inggeris.  Nampaknya adik-beradik, saudara-mara dan anak-cucu saya ada memakai fatwa seumpama itu sungguhpun saya tidak pernah menurunkan fatwa itu kepada mereka.

bersambung


Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

No comments:

Post a Comment