Total Pageviews

Monday, 1 July 2013

PENDUDUK DARIPADA NEGERI-NEGERI ATAU TEMPAT LAIN (SAMBUNGAN 2): SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI, PARIT, PERAK.


 Ini telah berlaku di masa yang lebih dahulu, sekarang diterangkan pula sedikit  sebanyak yang telah berlaku di masa yang lebih dekat iaitu di antara 60 dan 70 tahun yang lalu, iaitu kisah-kisah beberapa keluarga yang telah datang atau berhijrah di Lambor Kiri lalu berkahwin dengan perempuan-perempuan atau gadis-gadis tempatan beranak-cucu dan mereka langsung berputus dengan kaum keluarga mereka tinggal di tempat mereka asal.  Mereka itu di antaranya ialah:-

(1)               Orang Tua – Tok Omar- berasal daripada Terengganu.  Dua kali kahwin dengan orang tempatan dan dengan kedua isteri ada belaka beranak cucu yang masih tinggal di Lambor Kiri dan jua di Lambor Kanan.  Ia adalah seorang yang pandai membuat usaha berbanding dengan tenaga yang kurang sebaliknya pendapatannya yang lebih daripada orang-orang lain.  Ia menggunakan akal fikiran, masa dan cuaca yang sesuai dan tidak pula diketahui samaada dengan pengetahuan atau dengan fikiran atau dengan perhatian untuk ia memulakan usaha.  Mulanya ia turun benih semai dan selepas itu ia menajak bendangnya semasa belum atau hampir musim hujan seolahnya ia tahu bila masanya hendak turun hujan.  Ia menajak tanah pula dengan caranya sendiri iaitu ia menajak ikut jalur-jalur atau lorong-lorong dan rumput atau pokok-pokok yang ditajaknya itu maka ia sebarkan atau tindihkan ke kiri dan ke kanan diatas jalur yang tidak ditajaknya dan jalur-jalur yang lain hendak ditajaknya pun dibuatnya begitu jua disebelah jalur tanah yang hendak ditajaknya dan ditajaknya jalur yang hendak ditajaknya itu.  Maka cara menindih tanah yang tidak ditajaknya apabila sudah siap menajak dengan cara itu maka hujan pun turunlah atau masa hujan pun sampai seolah ia mengetahu masanya maka dengan turun hujan itu hapuslah kesemua bendangnya dan kesemua rumputnya atau pokok-pokok samada diatas jalur yang ditajak dan yang tidak ditajak hapuslah kesemuanya dibawah rumput yang ditajak itu lalu mati busuk dan menjadi baja.  Ia dengan serta-merta tanam padi daripada anak padi semainya.  Dengan cara ini, anak-anak padi lekas hidup dengan subur dan kelazimannya tidak payah merempih lagi sebagaimana orang lain.
Dengan cara ini, nampaknya masapun tidak terbuang dan rumput pun tidak atau kurang naik kerana anak padi dengan cepat hidup sebelum rumput-rumput mula tumbuh.  Cara ia menuai padi pun berlainan daripada orang-orang lain sebagaimana cara di masa sekarang.

            Peladang-peladang yang lain biasanya tidak mengikut apa-apa peraturan.  Mereka tajak daripada pangkal ke hujung bendang, kesemuanya seluas-luasnya.  Biasanya, mereka menajak tanah sebelum tiba hujung bendang maka rumput yang mereka sudah tajak daripada di pangkal bendang sudah balik mula hidup dan kadang-kadang pula tergendala hendak menanam padi kerana anak-anak padi belum ada sedia atau sudah rosak akibatnya padi tidak berapa menjadi dan susah pula merumputnya dengan berkehendakkan tenaga yang berlebehan apatah pula mereka mengerjakan bendang mereka dengan tidak mengikut masa yang ditetapkan dan berlawanan pula dengan keadaan musim.  Oleh itu, amatlah payahnya.  Mereka tidak mahu menjalankan fikiran atau mahu mengikut cara yang lebih senang sebagaimana cara yang diperbuat oleh Tok Omar yang telah terdahulu disebutkan.
bersambung


Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

No comments:

Post a Comment