Total Pageviews

Monday, 15 July 2013

PENDUDUK DARIPADA NEGERI-NEGERI ATAU TEMPAT LAIN (SAMBUNGAN 4 ): SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI, PARIT, PERAK


(3)                Seorang yang lain namanya Mat Melaka.  Boleh  jadi ada lain namanya tetapi oleh kerana ia datang daripada negeri Melaka maka orang panggil ia Mat Melaka. Iapun beranak beristeri di Lambor Kiri.  Ia adalah seorang pendekar dan guru bersilat dan berbangga dengan kehandalannya .  Jika tidak, katanya, ia tidak merantau ke negeri orang dan begitu lagaknya di dalam tahun 1930, ia telah menyebabkan satu peristiwa yang buruk berlaku di dalam satu termasya atau perhimpunan didalam satu masa perkahwinan yang besar di Lambor Kiri.  Perkahwinan itu ialah di antara ibu saudara saya Teh Asiah binti Anjang Talib dengan Ahmad bin Haji Sulaiman dari Belanja.  Pengantin perempuan ialah anak Tok Penghulu Lambor Kiri di masa itu dan pengantin lelaki ialah anak guru kepada keluarga di Raja Belanja, oleh itu istiadat besar-besaran telah dijalankan beberapa hari dan malam dan dihadiri oleh sekelian puak-puak kelaurga di Raja daripada Belanja.  Mereka datang dengan berpuluh-puluh ekor gajah kenaikkan mereka dan mereka terpaksalah tinggal beberapa hari dan malam di situ.
Peristiwa buruk yang berlaku itu ialah pada hari yang akhir istiadat perkahwinan   itu, iaitu temasya mandi sampat yang telah diadakan pada satu petang di tepi pantai tebing Sungai Perak yang dia masa itu pantai sungai itu berpasir jauh ke tengah sungai.  Sebagaimana yang termaklum telah menjadi adat resam di masa itu, iaitu keluarga pengantin yang rapat akan membawa air serta itu kepada sudara mara dan kerabat handai yang dekat yang ada beserta di situ di masa itu, apatah lagi kepada mereka yang memakai kain baju yang elok dan demikianlah dilakukan dengan berbalas-balas kejar mengejar diantara mereka.

Diantara mereka yang mengambil bahagian itu termasuk Mat Melaka yang tersebut.  Pada mulanya, tidaklah berlaku apa-apa yang ganjil seperti biasa yang diperbuat oleh orang-orang lain tetapi rupanya ia telah terlebih dahulu sediakan sebotol air kantau (buah kabung yang muda yang amat gatal) dan di akhirnya ia percikkan air itu ke atas orang yang memukul rebana di situ.  Yang awal terkena ialah Megat Bongsu (Cu Kedah)  dan apabila terasa amat gatal tidak tertahan lagi ia sudah hilang akal fikiran.   Oleh itu, pergaduhan telah berlaku dan ada di antara mereka yang hadir telah sebelah menyebelah.  Pergaduhan itu telah berlaku semasa hadir bersama-sama di situ pihak keluarga di Raja dan yang lain daripada pihak pengantin laki-laki.  Bagaimanapun, pergaduhan itu telah dapat diselesaikan tetapi akibatnya pula sebelum itu sekelian orang-orang perempuan samada anak-anak bini orang atau bukan dan jua kanak-kanan laki-laki perempuan telah tergempar dan ketakutan.  Setengah daripada mereka terus lari ke hulu dan yang lain telah lari ke sebelah hilir berbatu-batu jauhnya melarikan diri dengan tidak tentu arah.  Di masa itu, hari hampir petang dan malam tiba, hebohlah sebuah mukim dan kampung kerana masing-masing mencari anak-bini masing-masing hingga larut malam.  Saya yang masih kecil bersamalah cabut lari ke hulu berbatu-batu jauhnya bila saya dijumpai datuk dan bapa saudara saya saya bertanya kalau saya terkena apa-apa untuk mereka mengambil bela tetapi mujurlah saya tidak terkena apa-apa.  Apa yang berlaku selepas itu tidaklah saya tahu tetapi saya fahamkan entah benar atau tidak, pihak keluarga di Raja malam itu telah menuntut dan menjatuhkan sedikit denda-denda atau bayaran kerana kekacauan itu yang difikirkan tidak sopan yang mereka terasa malu.  Tuan rumah pun membayar wang denda itu sebagai ganti atau menutup malu.  Pada pagi besoknya sekelian keluarga di Raja dan lain-lain daripada pihak pengantin laki-laki masing-masing pulang ke tempat masing-masing.

bersambung


Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

No comments:

Post a Comment