Total Pageviews

Monday, 22 July 2013

PENDUDUK DARIPADA NEGERI-NEGERI ATAU TEMPAT LAIN (SAMBUNGAN 5): SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI, PARIT, PERAK


Dengan kejadian itu, maka pihak Mat Melaka adalah rondak sedikit, tetapi lama kelamaan ia mula lupa peristiwa yang telah berlaku dan mulalah berlagak seperti di masa dahulu.  Tidak pula siapa menghiraukan kepadanya kecuali bapa saudara saya Uda Kidin, iaitu adik kepada ibu saya yang tidak senang hati melihat lagak dan keadaannya.  Pada masa peristiwa itu dahulu berlaku ia baru orang muda.  Sekarang ia sudah dewasa dan dikatakan sudah pula menuntut ilmu kebal.  Untuk mencuba kehandalannya Mat Melaka itu, ia mula cuba lawan berpenca tangan dengan Mat Melaka.  Mulanya ia menahan dahulu tetapi nampaknya ia cerdik.  Ia menahan kekuatannya dengan berkelit tangan kanan kepada lututnya dengan ia menekan tangan kanannya keatas lututnya serta disuruhnya lawannya (Mat Melaka) memerca atau memusingkan lengan atau tangan kanannya tetapi lawannya tidak dapat berbuat apa-apa kemudian ia suruh pula Mat Melaka menahan dan ia pula memerca tangan Mat Melaka dan dengan senang saja ia dapat memusingkan tangan Mat Melaka.

Dengan kekalahan Mat Melaka itu, ia tahulah dan dapat mengagak ataupun upaya melawan Mat Melaka.  Dan daripada masa itu bertumbuk di mana-mana saja mereka bertemu muka keduanya bertumbuk (bergaduh) tetapi bukan bergaduh betul seolah olok-olok sebagaimana pepatah orang-orang tua “seloror bunga kelai” diibaratkan kepada kanak-kanak dan begitulah keadaan mereka bedua beberapa lama bertahun-tahun selepas itu sehingga sampailah masanya pada satu petang mereka bertemu pula berdua, pada kali ini pun seperti biasa pada mulanya mereka bertumbuk olok-olok tetapi sesudahnya masing-masing sudah jadi hangat dan terus bergaduh serta bersungguh-sungguh hendak menunjukkan kehandalan masing-masing sehingga Mat Melaka telah kena luka parah oleh kerana tumbuk.  Ia terus dibawa ke Parit (atau Batu Gajah) sayapun tidak tahu untuk dipereksa dan dirawat kerana cedera parah.  Selepas itu bapa saudara Uda Kidin ditangkap oleh polis untuk dibicarakan serta-merta di Mahkamah Parit. 

Perbicaraan telah dijalankan di Mahkamah Parit di atas tuduhan memukul cedera parah.  Pihak yang dituduh menolak tuduhan itu dengan alasan mereka kedua tidak bergaduh tetapi bermain silat.  Di dalam tangkis menangkis sementara bersilat itu untuk mengelakkan pukulan lawan Mat Melaka telah tergelincir dan jatuh terhempas ke pangkal pokok rambutan dihalamam rumah cedera berdarah itu ialah disebabkan iaitu terjatuh.  Yang dituduh membawa saksi dan saksi itu menerangkan sebagaimana keterangan yang dituduh.  Selepas tuan pengadil dapat tahu sebenarnya Mat Melaka adalah seorang pendekar dan guru silat, pengadil buang bicara dan bebaskan Uda Kidin.  Apa terjadi lepas itu tidaklah saya ketahui kerana saya telah bersekolah di Sekolah Inggeris Kuala Kangsar tetapi tidaklah terdengar apa-apapun berlaku selepas itu di antara mereka.

bersambung


Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

No comments:

Post a Comment