Total Pageviews

Monday, 25 March 2013

BERTUKAR KERJA KE BATU GAJAH DALAM MASA MELESET (Sambungan 7): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;



(2)   Perbendaharaan Kecil – diakhir tiap-tiap bulan di pejabat saya itu selalu sibuk kerana hendak menutup dan menghantar kira-kira bulanan kepada Bendahari Negeri.  Oleh itu saya terpaksalah bekerja hingga malam hari.

Pada satu malam saya bekerja hingga pukul 10.00 malam dan saya tutup opis hendak pulang.  Sebelum berapa jauh di tengah jalan, saya teringat saya tinggalkan di dalam opis ubat nyamuk yang sudah berpasang api yang saya telah lupa hendak padamkan.  Oleh itu, saya berasa khuatir kalau-kalau api itu jatuh merebak ke atas kertas-kertas di situ dan terbakar pula kelak pejabat itu.  Saya patah balik ke belakang kerana hendak memadamkan api itu.  Saya sangka orang Banggali Guard yang menjaga di situ kenal atau nampak saya balik kerana baru saja beberapa minit saya tinggalkan tempat itu.  Saya ambil kunci pejabat daripada kocek saya hendak buka pintu pejabat.  Bila orang Benggali Guard itu nampak saya dari sedikt jauh ia meluru menuju saya dengan senapang benet yang sedia berpasang (Fixed Bayonet) dan bersuara lebih kurang “Huru sta kamus dey”.  Barangkali sebetulnya perkataan Inggeris “Who comes over there?”  (siapa yang mari di sana tu) dan benet senapangnya terus menuju dada saya.  Saya cuba sekuat-kuat hati hendak menjawab tetapi mulut saya telah tidak boleh bercakap lagi.  Nasib baik saya, guard itu selepas itu baru kenal saya dan sedikit demi sedikit baru saya boleh bercakap selepas beberapa minit.  Selepas itu saya bersumpah tidak hendak lagi pergi ke situ di waktu malam.

bersambung


Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday, 18 March 2013

BERTUKAR KERJA KE BATU GAJAH DALAM MASA MELESET (Sambungan 6): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;


Sebagaimana yang saya sebutkan saya telah bertukar balik bekerja di Teluk Anson pada 1.5.1934 dan bertugas di Pejabat Bendahari Kecil Hilir Perak.

Enam bulan sebelum itu iaitu sebelum saya ditukarkan daripada Teluk Anson ke Batu Gajah, saya berkhidmat di Rumah Sakit Teluk Anson lebih daripada 10 tahun.  Terlebih dahulu pula saya telah berkhidmat di ketiga-tiga Rumah Sakit Kuala Kangsar (1) Rumah Sakit Melayu (2) Rumah Sakit Umum (3) Rumah Sakit Perempuan dan jua di Rumah Sakit Kampar.  Sebagaimana termaklum selama lebih daripada tujuh tahun.  Oleh itu saya telah berkhidmat lebih daripada 17 tahun di rumah-rumah sakit semenjak saya mula bekerja.  Oleh yang demikian pengetahuan serta pengelaman pun tersekat begitu saja.  Apabila saya telah ditukarkan ke Batu Gajah dan kemudiannya ke Teluk Anson saya telah dapat pengelaman yang agak berlainan samada didalam atau diluar jawatan saya.  Saya suka mencatitkan sedikit pengelaman saya selepas saya ditukarkan ke Telok Anson di antaranya ialah:-

(1)   Aapabila saya mula sampai untuk berkhidmat di Perbendaharaan kecil (Sub-Treasury) Telok Anson, saya dapati bersepah di sana-sini, di tepi dinding di ceruk-ceruk lantai simen beberapa banyak keping wang-ringgit dan syilling yang telah dipotong (clipped) hampir pecah dua.

Saya tanya Peon Mohd Zain namanya mengapa dibiar begitu.  Katanya wang-wang itu tidak laku kerana saduran (counterfeit) dan sudah dipotong hampir pecah dan dikembalikan balik oleh Ibu Pejabat Perbendaharaan apabila wang-wang itu dihantar ke sana.  Saya bisikkan kepadanya wang itu d pejabat kerajaan memanglah atau tentulah tidak laku lagi dengan keadaan sekarang tetapi di pasar-pasar boleh laku, kedai-kedai emas atau perak tentu mahu beli.  Tetapi bukanlah penuh harga seratus sen.  Mengapa begitu jadi bodoh?  Rupanya bisik kami itu di dengar oleh Bendahari Kecil.  Pada petang itu jua peon itu bawakan dua atau tiga ringgit itu dan rupanya tukang emas/perak di pekan mahu beli dengan harga 97 sen tiap-tiap seringgit.  Apatah lagi iapun kumpulkan semua wang yang mereka sangka tidak berguna itu dan berpuluh-puluh ringgit ia dapat daripadanya.  Tidak berapa lama daripada itu, Bendahari Kecil terdengar bertanya apa telah jadi wang-wang itu dan Mat Zain mengaku ia sudah jual di kedai kerana Baba sudah buang wang itu dan tidak mahu lagi sudah beberapa lama.  Bendahari Kecil kata, ia yang punya dan betul atau tidak betul ia boleh buat apa suka (ia tidak mengaku bodoh) dan ia berkuasa buat apa-apa.  Pada perasaan kami selesailah sudah perkara itu.

Tidak berapa lama kemudian daripada itu, pada satu petang Kerani Besar atau Ketua Kerani Pejabat Sanitary Board (di tingkat atas) telah terlupa hendak menyimpan peti tempat simpan wang petty cash di pejabatnya di dalam peti besi bila tutup pejabat pada petang itu.  Pada pagi besoknya, peti itu telah dijumpai tetapi tidak sesiapapun terlibat dan di akhirnya Peon Pejabat Sanitary Board dan juga Peon Mohd Zain diberi sebulan notis diberhentikan kerja.  Saya pun berasa hairan mengapa Mohd Zain pun terlibat.

bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday, 11 March 2013

BERTUKAR KERJA KE BATU GAJAH DALAM MASA MELESET (Sambungan 5): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

 
Saya ingat satu kejadian iaitu seorang daripada kakitangan pejabat itu telah lima tahun berturut-turut memasuki peperiksaan untuk menaiki tingkat (grade) gajinya (Bar) dan di masa saya bekerja di pejabat itu, ia tidak mahu lagi memasuki pepereksaan itu kerana katanya ia sudah jemu dan begitupun beberapa tahun yang lepas maka tidak jua dia berjaya.  Perkara itu telah sampai ke Ibu Pejabat di Taiping tetapi apa yang sangat mengecewakan ialah di masa itu baru diberitahu yang sebenarnya.  Kononnya ialah telah menjadi sedikit kesilapan iaitu orang atau pegawai itu telah lulus di dalam peperiksaannya didalam tahun yang awal lima tahun dahulu.  Oleh itu ia terus dinaikan gred itu sekarang.  Apa yang diketahui ialah di dalam masa yang lepas ia tidak mendapat rekod yang baik oleh sebab kad pekerjaannya “Job Card” tidak begitu baik.  Dan apabila saya asingkan kad-kad yang tidak elok itu daripada dosairnya maka Tuan Ketua Pejabat itu yang baharu telah bersetuju membuat penyata yang baik ke atasnya.  Oleh itu, ia telah rugi kenaikkan gajinya selama lima tahun yang mana tidak ada ubat hendak membaikinya.

Jika saya sendiri tidak melihat kejadian ini dengan mata kepala saya sendiri, maka harus saya tidak percaya tetapi sebenarnya perkara-perkara itu berlaku yang saya sendiri saksikan.  Di masa itu kakitangan Pejabat Ukur-Mengukur atau sukat-menyukat amat tidak puas hati di atas sikap yang dikenakan ke atas mereka di masa itu yang berlainan daripapa pejabat-pejabat kerajaan yang lain sehingga mereka berani menyebarkan katun (cartoon) di dalam surat-surat khabar tempat yang menunjukkan seekor lembu yang kurus (diibaratkan diri mereka) menarik sebuah kereta yang amat sarat muatannya dengan barang-barang yang amat banyak dan amat berat sehingga tidak upaya lembu iyu menarik kereta itu.  Oleh itu lelmbu itu dipukul sekuat-kuatnya oleh pemandunya berjelejeh air mulut dan mata dan seolah-olah nampak nafasnya yang sesak melalui hidungnya.  Tetapi lembu itu terpaksa jua sekuat-kuatnya menarik kereta itu.  Selepas itu dan sekarang ini saya fahamkan keadaan di situ telah berubah dan jeadaan semacam itu tidak berlaku lagi.


bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA


Monday, 4 March 2013

BERTUKAR KERJA KE BATU GAJAH DALAM MASA MELESET (Sambungan 4): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;


Untuk meklumat Pejabat Ukur-mengukur (Survey Department) Batu Gajah di masa itu ialah Ibu Pejabat bagi Perak Selatan dan banyak bilangan kakitangannya.  Saya mula sampai di pejabat itu di akhir bulan hari bayar gaji dan saya terperanjat melihat ramai orangnya kerana di hari itu mereka yang bekerja di luarpun datang menerima gaji masing-masing.  Saya nampak daripada hujung ke pangkal pejabat orang-orangnya semacam pokok hutan.  Oleh sebab ramainya dan pada mulanya saya merasa cemas.

Selain daripada ketua-ketua pejabatnya dan kakitangan-kakitangannya maka pejabat itu terbahagi pula kepada tiga cawangan yang besar iaitu:- Revisionary Branch, Computing and Drafting yang masing-masing dijagai atau diketuai oleh seorang Ketua Penolong Teknikal - Teknikal yang kanan yang akan memeriksa dan memerhatikan pekerjaan yang diperbuat oleh kakitangan yang di bawah jagaannya.

Ketua-ketua cawangan itu akan memeriksa dan menjaga yang amat rapi pekerjaan yang dibuat oleh orang-orang dibawah jagaannya.  Tiap-tiap orang diberi satu “Job Card” yang menunjukkan masa, minit, jam dan haribulan satu-satu pekerjaan itu dimulakan.  Demikian juga masa ia menyudahkan kerja yang ditugaskan baginya.  Masing-masing tidak dibenarkan membuang masa sehingga hendak pergi dan balik ke bilik air atau jambanpun hendak ditulis dengan dakwat merah di dalam “Job Card” itu dan disaksikan dengan tandatangan kecil (initial) diakhir pekerjaan atau pada tiap-tiap hari deberi unit di atas pekerjaan dengan di hitung seorang mesti buat kerja sekurang-kurang sebanyak unit yang ditetapkan yang mereka masing-masing tidak ketahui bagaimana dihitung dan berapa banyaknya.  Oleh kerana takutkan jatuh unit mereka, maka orang bangsa asing yang bekerja di situ beli perkakas mereka sendiri untuk bekerja di rumah pada malam hari untuk mencukupi unit yang dikehendaki.  Oleh itu yang selalu terkena marah atau ditahan kenaikkan gaji tahunan adalah pekerja-pekerja daripada orang-orang Melayu yang tidak berbuat demikian.  Oleh yang demikian tidaklah hairan didapati jarang sangat yang boleh mendapat kenaikkan tahunan (annual increment) tiap-tiap tahun melainkkan ada yang sampai dua, tiga dan sehingga lima tahun tidak dapat naik gaji. 

Kejadian ini adalah disebabkan oleh sekelian “Job Card” bagi masing-masing diri di situ di masukkan ke dalam dosair masing-masing iaitu fail riwayat seorang pekerja.  Pada masa saya bekerja di situ barulah masing-masing dapat kenaikkan gaji (increnment certificate) dan saya sertakan dosair masing-masing selepas saya asingkan atau sebelahkan untuk sementara sekelian kad kerja (Job Card) yang tidak elok.  Saya dapat berbuat demikian kerana kandungan dosair itu tidak diberi nombor “not docketed” dan Tuan Ketua Pejabat itu sudah cukup percaya kepada saya.


bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA