Total Pageviews

Sunday, 24 February 2013

BERTUKAR KERJA KE BATU GAJAH DALAM MASA MELESET (Sambungan 3): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;



Saya amat bersyukur kerana sekiranya saya belum bertukar di masa itu atau dimintanya penyata itu daripada ketua saya yang lama, maka sudah tentu saya tidak akan berjaya.  Tambahan pula sekiranya saya tidak bertukar daripada tempat saya bekerja yang dahulu daripada itu bagaimana corak nasib saya hingga masa itu.

Semasa saya bertugas di Pejabat Ukur-Mengukur Batu Gajah gelora mengurangkan perbelanjaan dan kakitangan kerajaan belum jua lagi selesai dan pada akhirnya pejabat yang di Batu Gajah pun langsung ditutup dan berpindah ke Taiping.  Saya telah siasat daripada ketua saya di atas untung nasib saya pula dan saya diberitahu yang saya tidak dikehendaki di Ibu Pejabat Taiping dan kerajaan akan menukarkan saya ke pejabat yang lain dan ditempat yang lain.  Oleh kerana tuan ketua saya itu nampaknya ikhlas dan kasihan kepada saya maka saya telah meminta supaya saya ditukarkan ke Teluk Anson, tempat lama saya di mana-mana pejabat pun.  Dan dengan takdir tuhan serta sokongan yang kuat daripada ketua saya itu, maka saya telah ditukarkan balik untuk bertugas di Pejabat Bendahari Kecil Teluk Anson pada 1.5.1934 dan sekembalinya balik maka sekelian jawatan-jawatan yang saya jalankan sebelum saya ditukarkan enam bulan dahulu telah balik saya pegang.

Di dalam masa yang sebegitu singkat selama enam bulan di Batu Gajah beberapa pengelaman telah saya dapati.  Di situ pergaulan di antara orang-orang Melayu khasnya orang-orang Islam amnya amat rapat.

   Sepintas lagi saya suka mencatitkan sedikit pengelaman saya semasa saya berkhidmat di Pejabat Ukur-mengukur (Survey) di Batu Gajah.  Sungguhpun saya rasa bernasib baik di situ tetapi sebagaimana yang dipesan oleh Doktor A.B. sama saya hendak bertukar ke situ saya dapati keadaan di situ amatlah sedih.

Sebagaimana yang saya telah sebutkan maka Tuan Ketuan Pejabat itu baru tiba di situ sehari dengan saya.  Oleh itu nampaknya ia hendak menduga kebolehan pegawai-pegawai yang di bawah perintahnya.  Seorang daripadanya ialah seorang pegawai yang sudah lama berkerja dan oleh kerana kebolehannya ia telah dinaikkan ke pangkat Assistant Surveyor I/C di Perak Selatan bertugas atau ditempatkan di Telok Anson.

Nampaknya tuan itu tidak berpuas hati dengan pegawai itu sungguhpun tuan-tuan yang terdahulu daripadanya memuji pegawai itu sehingga ia dinaikkan ke pangkat “super-scale”.  Pada satu hari ia panggil pegawai ini ke Batu Gajah dan dengan dihimpunkannya pegawai-pegawai dan kakitangan yang kanan itu bersama pegawai yang tersebut ia mula marahkan pegawai yang tersebut dengan menunjukkan kesilapan pegawai itu di situ dan di sini sehingga katanya mengikut buku rekod “Field Book” yang diperbuat oleh pegawai yang tersebut tidak boleh dapat diperbuat pelan daripadanya.  Semasa ia berceloteh itu pegawai yang tersebut tidak berkata apa tetapi ia tersenyum saja.  Apabila tuan itu berhenti bercakap ia menjawab.  Katanya rekodnya itu  betul kerana katanya lagi rantai ukuran yang dipakainya adalah terkurang sekian inci di dalam satu rantai.  Rupanya rantai ukuran adalah berbeza panjang pendeknya mengikut keadaan cuaca, panas sejuk hari dan hendaklah diukur setiap masa dengan tempat ukuran yang disediakan dipejabat dengan ukuran yang tidak berubah-ubah yang ditanda dengan simen.  Dengan jawapannya itu maka tuan itu telah berasa amat malu kepada pegawai-pegawai dan kakitangan yang dihimpunkannya di situ (saya pun ada bersama) dan terus ia meninggalkan mereka serta-merta tetapi akibat daripadanya ia telah perintahkan pegawai itu membuat kerja di jajahan Kinta untuk menyukat tanah-tanah lombong yang berair yang ia terpaksa meranduk air setiap-tiap masa dan dengan sebab itu dalam tempoh tiga bulan saja ia jatuh sakit dan terpaksa  bersara “Boarded Out”.


bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday, 18 February 2013

BERTUKAR KERJA KE BATU GAJAH DALAM MASA MELESET (Sambungan 2): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

 

(3)   Pada satu hari selepas itu, ia menulis sepucuk surat kepada Tuan Setiausaha British Resident Perak dan saya ingatkan kepadanya tidak boleh berbuat begitu.  Hendak menerusi Ketua Jabatan “Senior Superintendent of Survey” Perak mengikut Perintah ‘Am (G.O.).  katanya diluluskan bagi Pejabat Tanah dan Pejabat Ukur-Mengukur (Survey) dan di masa ia di Pahang ia selalu berbuat demikian.  Saya ingatkan kepadanya harus dibenarkan di Pahang sebagai ianya Ketua Pejabat Negeri di sana dan yang dibenarkan tidak menerusi Ibu Pejabat ialah surat di antara Pejabat Tanah dan Pejabat Ukur-Mengukur saja berkenaan dengan perkara tanah.  Ia berdegil jua berbuat demikian dan sesudahnya ia mendapat teguran daripada Setiausaha British Resident dan Ketua Pejabat Besar di Taiping.  Kali ini baharu ia panggil saya dan mengucapkan terima kasih “Thank you, you are right.”

(4)   Pada satu hari lain pula, Encik Mohd Yunus, Juru Audit Kerajaan telah datang ke pejabat untuk memeriksa kira-kira wang.  Bila ia tiba ia terus periksa wang “Petty Cash”.  Saya beritahu ia di pejabat itu wang Petty Cash ada banyak dan Tuan Besar sendiri menyimpannya kerana setiap-tiap masa Juru-Ukur Kerajaan datang meminta wang Patty Cash daripadanya.

Encik Mohd Yunus terus pergi berjumpa dengan Tuan Watson untuk menjalankan tugasnya.  Apabila diperiksa maka didapati wangnya kurang $10.00 berkali-kali telah diperiksa tetapi terkurang jua.  Tuan itu telah berpeluh-peluh dan gelisah dan Juru Audit tidak pusa hati.  Didalam masa yang cemas itu saya pergi bertanya jika ada apa-apa yang tidak betul.  Tuan itu berterus-terang menyatakan wangnya sudah terkurang $10.00.  Saya tahu wang itu sudah diberikannya untuk sementara kepada orang gaji daripada rumahnya untuk belanja pergi ke market pagi tadi.  Oleh itu, untuk menyelamatkannya maka saya unjukkan wang saya sendiri $10.00 dengan menerangkan kalau ia sudah lupa wang itu diberikannya kepada saya untuk belanja pos dan lain-lain pada pagi tadi.  Ia terima wang itu dengan sepenuh minat tetapi pada petang itu jua diberikannya balik wang itu kepada saya dengan ucapan terima kasih “Thank you very much.”

Bukan ia tidak boleh ganti wang itu di masa peperiksaan dijalankan tetapi harus jadi berasa malu hendak menerangkan yang sebenarnya dan harus pula jadi kesalahan kerana menggunakan wang itu.

Selepas itu, tuan itu nampaknya amat sayang dan bertimbang-rasa kepada saya dan kebetulan pula dengan tidak disangka-sangka pada masa itu pula kerajaan berkehendakkan satu penyata sulit khas di atas pekerjaan saya bagi temuduga untuk menaiki gred satu di dalam jawatan saya.  Saya belum sampai 3 bulanpun di bawahnya dan mengikut Peraturan ‘Am ia belum boleh member apa-apa sokongan kepada saya dan penyata itu dikehendaki daripada ketua saya yang terdahulu.  Tetapi ia terus beri sokongan yang tinggi dan selepas temuduga saya dinaikkan kegred satu daripada tarikh yang terbelakang pada masa saya belum lagi bertugas di situ.


bersambung
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday, 11 February 2013

BERTUKAR KERJA KE BATU GAJAH DALAM MASA MELESET (Sambungan 1): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;


Dengan takdir tuhan, maka tuan itu pula telah ditukarkan ke Pahang dan digantikan oleh seorang pegawai lain daripada sana “Oswald Watson” namanya yang sebangsa dengannya.  Semasa bertukar anak-anak dan isteri saya telah saya hantar untuk sementara ke rumah adik saya di Ipoh sementara saya mencari rumah dan saya duduk menumpang di rumah rehat di Batu Gajah.  Kebetulan di masa itu, tuan yang baru tiba daripada Pahang itupun berada di rumah rehat itu jua.  Maka pada hari besoknya, baharulah saya tahu tatkala saya melaporkan kerja kepadanya.

Tuan inipun garang orangnya sebagaimana orang-orang bangsanya tetapi tidak berapa lama selepas kami bekerja bersama-sama maka ia pula amat baik kepada saya disebabkan oleh beberapa perkara yang terjadi selepas itu di antaranya:-

(1)   Selepas kami tiba di Batu Gajah, maka kami masing-masing buatlah baucer tuntutan bagi belanja tukaran masing-masing

Bagi diri saya termasuklah tuntutan bagi belanja makan sebelum bertukar, belanja   makan di jalan dan selepas sampai ke Batu Gajah selama tujuh hari.  Ia tidak mahu luluskan kerana katanya belanjanya tinggi dan lama hingga tujuh hari.  Saya jawab saya tuntut ialah sebagaimana yang diluluskan oleh Peraturan ‘AM (GO) dan Peraturan Kewangan (F.G.O.).  Baru ia luluskan dan saya terus dibayar.

Tuan itu pula membuat tuntutan bagi dirinya dan termasuk belanja tambang bagi suami orang gajinya.  Saya beri ia tahu belanja itu tidak diluluskan dan ia marah.  Katanya apa orang gajinya hendak buat?  Itu senang saja iaitu jika suami hendak mengikut bininya, maka suaminya kena membayarnya dan jika isterinya pula sebaliknya berkehendakkan suaminya maka pihak isterinya akan menanggung perbelanjaan itu.  Jika tuan pula berkehendakkan mereka bersama mari maka tuanlah membayar tambang suami orang gaji tuan dan inipun telah lebih dariapad sekian orang.  Ia berdegil juga dengan tuntutan itu dan apabila tuntutan itu diterima di Pejabat Perbendaharaan belanja itu tidak dibenarkan.

(2)   Pada satu pagi ia meminta telipon kepada pejabat yang ia bekerja dahulu di Pahang sebelum ia bertukar ke Batu Gajah.  Ia minta nombor “Pahang23”.  Telipon Operator jawab tidak ada nombor itu.  Ia bertempik menyebutkan nombor itu yang katanya itulah nombor yang ia pakai hari-hari di masa ia di sana.  Operator begitu jua menjawab.  Oleh itu, tuan itu jadi lebih lagi hangat dan ia mengugut ia akan report perkara itu kepada Ketua Jabatan Telekom.

Saya mari dekat kepadanya dan bertanya apa telah jadi.  Katanya ia minta nombor yang dikehendakinya dan operator tidak mahu bagi.  Saya jawab benarlah nombor itu tentu tiada kerana Pahang ialah nama negeri dan hendaklah disebutkan nama pekan (Exchange) tempat itu.  Dan dengan itu barulah ia mengerti sebab yang ia tidak boleh dapat nombor dimintanya.  Dan apabila ia sebutkan nama “Exchange” itu maka dengan serta-merta ia dapat bercakap.

bersambung
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday, 4 February 2013

BERTUKAR KERJA KE BATU GAJAH DALAM MASA MELESET: Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;


BERTUKAR KERJA KE BATU GAJAH
DALAM MASA MELESET

            Tahun 1932-1933 ialah masa meleset (slump) yang begitu terok atau buruk pernah terjadi di negeri ini oleh kerana kekurangan hasil negeri disebabkan kejatuhan harga pasaran getah, bijih dan lain-lain.  Kerajaan terpaksa mengurangkan perbelanjaan pentadbiran, pertamanya mengurangkan pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan (retrenchment).

Saya di masa itu bekerja di Rumah Sakit Teluk Anson di bawah seorang doktor kulit putih bangsa Australia – Doktor A.B. yang sangat garang orangnya pernah saya jumpa.  Seorang orderly budak Melayu (Tak) sudah diberi notis kerja, seorang Penolong Kerani saya sudah dikurangkan.  Maka pejabat tinggallah saya seorang dengan seorang India Mister M.K. sebagai Steward.  Kakitangan yang lain pula dikurangkan jua.

Saya tidak ketahui iaitu masih jua lagi hendak mengurangkan kakitangan Kerajaan.  Sementara itu saya nampak Mister M.K. yang telah lama berkenal dengan Doktor A.B. semasa ia bekerja di tempat lain, selalu saje membawa hadiah-hadiah barang yang ganjil seperti binatang landak, pelanduk dan lain-lain selain daripada itu beberapa raga telur ayam yang baharu, tidak terkira.  Saya tidaklah tahu samada Doktor itu bayar harganya atau tidak.  Doktor itu mula bengis kepada saya dan suka mencari salah yang saya sudah bosan menerimanya.  Oleh itu saya sudah pakai ilmu “apa jadi”.  Saya jawab apa juga yang fikir betul.  Di situ saya terkenal sebagai pembela pekerja-pekerja yang sebangsa dengan saya pertamanya.  Oleh itu, saya dipanggilnya “Malay Ghandi”.

Pada mulanya saya dapat hukum ditukar ke Kroh (sekali lagi) dan di dalam sedikit masa pula berubah ditukar ke tempat-tempat lain ke Grik dan lain dan pada akhirnya saya ditukarkan ke Pejabat Ukur (Survey Department) Batu Gajah.  Tetapi malangnya pula pada masa saya sudah bersiap hendak melangkah tukar ke Batu Gajah maka Mister M.K. pun dapat notis dibersarakan dengan sebab itu doctor itu sudah berbalik hati bekerhendakkan saya pula tidak bertukar dan petukaran itu ditangguhkan sementara.  Bagaimanapun, pertukaran itu diteruskan juga dan sayapun bertukar ke Batu Gajah pada 30.10.1933.  Sebelum saya pergi maka Doktor itu panggil saya dan berkata kepada saya sekiranya saya bekerja di bawah Tuan Mr. F saya akan merasa kepahitan yang amat sangat.  Katanya didalam bahasa Inggeris, “If you happen to work under Mr. F, you will be in a hell of trouble!”

Sedia maklum ketua-ketua pejabat Ukur-Mengukur di masa itu semuanya daripada bangsanya orang Australia dan tuan yang saya sebutkan itu ialah Ketua Pejabat di situ.  Sebagaimana yang saya telah sebutkan ketua-ketua Pejabat itu di masa itu dan Pegawai Ukur-Mengukur kebanyakkannya daripada bangsa mereka.  Bagitupun saya jawab jualah lebih kurang.

“The worse he can do is to sack me, he cannot shoot me, I need not have to pay for my passage home.”


bersambung



Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA