Tugas saya selama di dalam perjalanan itu yang memakan masa selama 21 hari itu ialah untuk membawa beg pakaiannya. Satu raga besar yang diisi sepenuh-penuhnya dengan lauk-pauk yang akan digunakan selama di dalam perjalanan itu iaitu daripada rendang pedas, sambal goreng dan lain yang boleh disimpan lama, untuk suruh-sarah pada umumnya. Pada malam hari pula saya disuruh memicit seluruh badannya yang terasa letih dan sakit sebab berjalan dan menjalankan tugas sehari itu. Maklumlah saja di masa seorang yang telah berumur tua dan apabila disuruh tidur barulah saya tidur. Dan terkadang-kadang ia tertidur dahulu dan apabila telah larut malam jam 1.00 atau 2.00 pagi, baru ia terjaga balik dan baharu saya disuruh tidur. Semua arahan saya perbuat dengan tidak mengelak, sayapun tidak tahu seolah-olah saya telah terkena ilmu dan cakapnya yang lemak-manis.
Di masa kami berada di pekan-pekan di masa kami tidak menumpang di rumah sesiapa, kami menumpang di atas loteng kedai orang India kedai kain, dan di masa itu saya biasa disuruh pergi beli sepinggan nasi untuk kami berikan dua dan lauknya ialah dihabiskan dahulu rendang pedas dan kemudian itu sambal goreng yang boleh lebih lama disimpan.
Daripada Kuala Kangsar baharu kami balik ke Taiping dan setiba saja di sana saya terus pulang ke tempat saya menumpang. Saya dipanggil balik dan pada mulanya diberi saya upah 54 sen dan selepas saya hampir ke tempat saya menumpang dipanggilnya saya balik selepas ia tonggang balik uncang duitnya diberinya saya tiga sen lagi berjumlah 57 sen. Saya berfikir bagaimana jadi saya dapat gaji atau upah sebanyak itu kerana jika saya dibayar tiga sen seharipun selama 21 hari daripada 10 Februari hingga 2 Mac 1916 tahun lompat (Leap Year), saya akan dapat 63 sen sekurang-kurangnya tidak kira overtime bekerja sampai jam 2 pagi jika ditolak saja, iaitu hari pergi atau hari balik. Bagaimanapun, saya teringat iaitu, tolak dua hari minggu iaitu satu Ahad dan satu hari Ahad di Bukit Chandan tidak pergi ke mana-mana. Wang tiga sen yang dibayar selepas saya dipanggil balik itu ialah bagi satu hari Ahad yang bekerja keras di Selinsing di masa ia menjamu pekerja-pekerjanya sebagaimana yang telah disebutkan.
Apabila saya sampai balik ke Taiping pada 2 Mac 1916, Tok Aki Tahir gaduh ke mana saya telah pergi, tidak balik begitu lama kerana sepeninggalan saya selama 22 hari itu telah diterimanya sepucuk surat untuk saya daripada Pejabat Setiausaha Residen dan surat itu bertarikh dua minggu yang telah lepas.
bersambung
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA
No comments:
Post a Comment