Kami lama tinggal di Jajahan Kerian. Di masa itu peladang-peladang telah mula memajak bendang kepunyaannya. Tengku sibuk mengarahkan orang-orang menajak bendang kepunyaannya yang luas di jajahan itu. Saya tidak tahu samada orang itu dikerah atau diupah. Tetapi dihari akhir sebelum kami bertolak daripada situ, berjanji akan memberi mereka makan dengan sekenyang-kenyangnya kerana pekerjaan itu hendak disiapkan pada hari itu jua sebab hendak ke tempat lain. Tetapi saya berasa hairan kerana di rumah tempat menumpang pun tidak ada persiapan untuk menjamui orang-orang itu. Saya berfikir di masjid pulalah agaknya dan di situ pun saya dapati begitu juga. Saya tahu kerana saya pergi bersama dengannya.
Di waktu tengah-hari ia pergi lagi melihat orang bekerja di bendangnya dan demikian jua sekali lagi berjanji. Pada waktu lebih kurang jam 3.00 petang sekali lagi saya pergi dan sayapun pergi pula bersama untuk membawakan satu bungkus berbalut kertas. Bendangnya hampir siap dan selepas menanti setengah jam baharu siap dan iapun hendak menjamu orang itu sebagaimana janjinya. Disuruhnya orang-orang itu berbaris dan daripada bungkusan yang disuruhnya saya bawa itu dikeluarkannya roti kepal seberat lebih kurang dua kati. Ia beri tiap-tiap seorang dua keping roti yang nipis itu dan bulat rupanya. Ada pula orang-orang yang dikenalnya yang diberinya tiga keping pada seorang selepas itu barulah masing-masing bersurai.
Pada pagi besoknya, kami bertolak terus ke Kuala Kangsar dan menumpang sebuah bilik di Istana Negara. Selama kami di sana beberapa hari dan malam, Tengku pergi ke sana kerana melihat keadaan kebun-kebun getahnya di belakang Changkat Negara, Bukit Chandan di lereng-lereng bukit itu dan saya bersamalah pergi membuat kawannya menaiki bukit itu.
bersambung
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA
No comments:
Post a Comment