Total Pageviews

Monday, 28 May 2012

MENGAJI SEKOLAH INGGERIS (Sambungan 6): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

Saya terus masuk belajar dalam darjah satu di bawah Cikgu Mohd Arshad dan selepas dua bulan daripada tarikh saya masuk belajar, seorang guru lagi ditambah iaitu Miss Kolmeyer daripada Ceylon untuk mengajar darjah kanak-kanak kecil (infant) dan darjah satu.  Di masa itu, saya masih belajar dalam darjah satu.  Cikgu Mohd Arshad pula mengajar darjah dua dan tiga.  Guru Besar mengajar darjah empat hingga darjah tujuh.

Pada masa itu, saya sudah boleh baca buku semua daripada bawah sampai habis buku bacaan darjah satu dan sudah ingat (hafal) sekalian nyanyian di dalamnya.  Ilmu Alam belum diajar lagi dan saya pun sudah sedia tahu. Ilmu Hisab (Kira-kira) pula tidak payah diajar dan cuma hendak belajar bahasa saja.  Guru yang baru tiba Miss Kolmeyer baharu mengajar seminggu.  Saya tidak tahu apa hendak belajar lagi darjah itu.  Oleh itu saya tanya seorang budak yang sudah tinggi darjahnya iaitu M. Valipuram a/l V. Nadason yang duduk berdekatan dengan rumah saya menumpang di masa itu, apa yang saya patut buat.  Katanya mintak naik darjah dua.  Saya kata tidak tahu cakap bagaimana hendak minta.  Katanya, cakap mulutlah dengan cikgu itu.  Saya tidak berani cakap mulut sebagaimana yang diajarnya kerana takut dimarah oleh guru itu yang perempuan pula takut malu jika tidak berjaya.  Oleh itu selepas membuat kira-kira hari itu saya tulis di hujung papan batu itu,  "Teacher, please promote me to Std II”.

Apabila cikgu itu lihat tulisan saya itu, ia terus jumpa guru besar dan guru besar itu terus panggil saya.  Disuruhnya tulis “Dictation” bersama-sama dengan budak-budak yang sudah lama dalam darjah itu.  Apabila disemak saya didapati salah 16 perkataan tetapi ada diantara budak-budak yang sudah lama dalam darjah itu yang didapati salah sebanyak 24 perkataan.  Oleh itu, saya terus dinaikkan ke darjah dua dan saya disuruhnya bawa wang tunai sebanyak $1.00 untuk buku bacaan darjah dua.

Saya terus minta wang itu daripada Tok Aki pada besoknya daripada wang $40.00 yang diberikan oleh ayah saya kepadanya pada masa mulai saya tiba tempoh hari.  Saya pun bawa wang itu ke sekolah tetapi malang tidak berbau.  Wang itu terus diseluk orang daripada kocek (pocket) saya.  Bila guru besar berkehendakkan wang itu, saya terpaksa berkata benar dan semua murid-murid di sebuah sekolah itu lebih kurang seratus orang diperiksanya satu-satu, tetapi wang itu tidak juga dapat balik.

Dengan perasaan yang serba-salah, saya terus-terang khabarkan kejadian kepada Tok Aki dan Opan dan minta lagi $1.00.  Barang kali harus mereka sudah tidak percaya benarkah saya sudah dapat naik darjah kerana baru mengaji dua bulan saja dan benarkah wang itu hilang.  Oleh itu mereka tidak mahu lagi beri wang.

bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday, 21 May 2012

MENGAJI SEKOLAH INGGERIS (Sambungan 5): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

Pada masa saya mula masuk belajar (1912), sekolah itu dipanggil; orang Sekolah Hogan mengikut sempena nama guru besarnya Tuan John Peter Conway Hogan dan Maktab Melayu (Malay College) dipanggil orang Hargrib mengikut nama guru besarnya yang awal.

Sekolah Hogan yang saya baru masuki belajar itu pada masa itu (1912) mempunyai cuma dua orang guru iaitu guru besarnya dan seorang penolong iaitu Mohd Arshad yang mengajar tiga darjah iaitu infant darjah kanak-kanak kecil hingga darjah dua – darjah Special Malay Class belum diadakan.  Guru Besarnya mengajar lima darjah iaitu darjah tiga hingga tujuh (setinggi-tinggi darjah di masa itu).  Darjah tujuh telah dimulakan di tahun itu.  Seorang bangsa Sikh yang namanya saya sudah lupa, seorang budak China Tan Hong Teik dan dua orang budak-budak Melayu, namanya Ali dan Haji Abdul Karim.

Sungguhpun saya telah masuk belajar di sekolah Inggeris yang tersebut, maka sekelian kerja di rumah yang saya telah diajar dan sudah biasa diperbuat sebelum itu terus saya jalankan.  Masa belajar di sekolah di masa itu ialah daripada jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari dan 1.00 hingga 3.00 petang.  Daripada jam 12.00 tengah hari hingga 1.00 petang, murid-murid balik pulang ke rumah untuk makan tengah hari.

    Daripada sekolah balik ke rumah makan tengah hari lebih kurang sebatu.  Pada ghalibnya, apabila saya sampai balik ke rumah barulah saya membasuh beras hendak bertanak dan jika malangnya kayu api basah atau tidak cukup kering, maka susahlah hendak memasang api dan ketika itu baliklah ke sekolah dengan tidak sempat makan nasi kerana nasi belum masak.  Oleh itu balik selepas pukul tiga petang baharulah makan.

Perkara yang lebih merumitkan di masa itu ialah mengakat air.  Pada satu masa dan ketika itu jadilah Opan beranak kecil beranakkan ayahanda Tajul Azlan dan Wan Jenab (Zainab) isteri ayahanda Tajul Ariffin pun beranakkan anaknya yang tua sekali Wazinah sama satu ketika.  Pada masa itu saya terpaksa angkat diantara 10 dan 20 pengandar air tiap-tiap hari untuk mereka kedua dan lain-lain mandi di rumah.  Air itu diangkat daripada paip air di belakang rumah Tuan M. Valipuram di seberang jalan.  Pada mulanya, jelas nampak tidak ada sekatan untuk mengambil air daripada paip air yang disebut itu tetapi lama-kelamaan, sayapun tidak perhatikan yang tuan punya paip itu letakkan anjingnya yang bernama “Gondo” yang biasanya bertambat siang hari.  Tahu-tahu saya, rupanya anjing itu datang mengigit sebelah belakang kaki kanan saya yang parutnya pun tidak hilang hingga masa ini.

Selepas itu, saya tidak berani lagi hendak pergi mengambil air daripada paip itu dan terpaksalah beredar ke tempat lain.  Saya cuba mengambil air daripada paip air di belakang rumah sakit Melayu yang jauh.  Bila saya mula pergi ke situ, tukang masak di situ tutup pintu pagar buluh di situ.  Saya meminta-minta bersungguh-sungguh kepadanya dan baharu ditetasnya balik pagar buluh itu dan dibenarnya saya ambil satu pengandar air sekali sehari.  Maklum sajalah satu pengandar air sehari untuk minum dan lain-lain tidak cukup.  Bila saya datang ambil dua pengandar, tukang masak itu marah pada saya dan jika saya mengambil tiga pengandar dihalaunya saya mentah-mentah.  Maklum sajalah sebagaimana jimat sekalipun dua pengandar air paip tidaklah mencukupi bagi sebuah rumah yang ramai orangnya untuk sehari.  Oleh itu saya terpaksa ambil lagi-lagi ke situ dengan mencuri-curi di masa tukang masak itu tiada di situ di waktu malam.

bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday, 14 May 2012

MENGAJI SEKOLAH INGGERIS (Sambungan 4): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

 
Oleh yang demikian, perlulah saya membantu untuk memenuhi keperluan bekerja di rumah.  Awal-awal lagi saya diajar bagaimana membasuh beras untuk bertanak nasi.  Tidak berapa lama saya jadi pandai (expert) dalam perkara ini.  Nasi yang saya tanak tidak bergentel tetapi sedu dan sebu saja, tidak lembik, tidak mentah dan tidak berkerak ataupun tidak banyak berkerak.  Petuanya ialah masa bertanak itu lebihkan sedikit air, biar lama sikit nasi itu mengelegak kemudian buangkan  air daripada periuk itu.  Selepas itu, jerangkan balik periuk itu ke atas dapur.  Padamkan apinya, jangan dibiarkan banyak bara api di bawah periuk itu dan seelok-eloknya diketepikan bara itu sekeliling periuk, jadi nasi masak elok dan tidak banyak atau tidak ada berkerak.

Selepas itu saya diajar pula mengukur nyior baharulah saya tahu yang nyior itu hendaklah dikukur daripada sebelah tepi supaya nyior itu tidak lekang.  Kemudian saya diajar pula memotong kayu api yang berkehendakkan sedikit tenaga oleh kerana kapak atau parang itu tumpul sebab tidak pernah berjumpa batu asah semenjak ditempa atau dibeli.  Terkadang terpaksa pula saya cari kayu api sendiri disebabkan orang Hindu daripada kebun-kebun getah yang berdekatan tidak datang berjaja kayu api atau harganya mereka berkehendakkan mahal.

Selain daripada itu pula, saya mengangkut air atau mengambil air telaga daripada perigi di bawah lembah atau daripada paip air di belakang Hospital Melayu Kuala Kangsar yang jauh.  Kerja suruh-menyuruh yang lain seperti pergi ke pekan Kuala Kangsar atau di pasar (market) di bandar itu dan lain-lagi kerja saya buat.  Sama sekali dan sudah berakhir lebih tiga bulan, November, Disember 1911 dan Januari 1912 yang masa untuk masuk belajar iaitu tahun itu sudah hampir berlewatan, sudah bertengah bulan Februari 1912.

Dengan keadaan yang terharu itu, saya telah pergi berjumpa seorang bapa saudara saya Pandak Manan yang di masa itu masih bujang dan duduk bekerja sebagai seorang kundang Almarhum Sultan Idris Murshidul Azzam Shah, di Istana Hulu Bukit Chandan.  Pada pagi esoknya, saya pergi ke Sekolah Melayu Kuala Kangsar serta duduk sama sebangku dengan bapa saudara saya Tajul Muluk yang di masa itu sedang belajar di sekolah itu.  Bagitulah saya lakukan beberapa hari dengan tidak berbuat apa-apa.  Saya pakai “ilmu apa jadi”.

Pada satu pagi Cikgu Endut, guru besar sekolah itu bertanya kepada bapa saudara, itu budak yang ikut “hang” itu hendak masuk belajarkah?  Jawabnya, tidak cikgu, dia sudah pas (tamat) darjah lima tiga kali.  Bapa saya hendak minta masukkan ke Malay College, kata Cikgu Enduk lagi.  “Aku pikiq (fikir) itu amat membuang masa saja, baik aku masukkan ia ke sekolah Hogan jikalau ia dapat masuk Malay Collage kelak lagi bagus.  Dan dengan itu, saya di bawanya terus berjumpa dengan guru besar sekolah Inggeris itu yang berdekatan dengan sekolahnya.  Ia mengaku yang saya adalah seorang muridnya dan ia meminta saya diterima masuk mengaji di situ sungguhpun masanya sudah terlewat – di dalam bulan Februari 1912 saya terus diterima masuk belajar.
bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday, 7 May 2012

MENGAJI SEKOLAH INGGERIS (Sambungan 3): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

Selepas itu tinggallah saya di rumah datuk saudara saya itu di Jalan Stesyen Keretapi Kuala Kangsar di tempat di mana istana Almarhum Tuanku Raja Bendahara Raja Abdul Rashid sekarang terdiri.

Datuk saudara saya dan anak-anaknya semuanya baik orangnya dan suka mengajar dan tunjuk ajar kepada saya yang saya tidak boleh lupakan tetapi isteri datuk saudara saya itu juga baik dan saya panggil Opah adalah garang orangnya dan saya takut kepadanya serta saya mengikut saja apa katanya.  Namanya ialah Puteh Fatimah tetapi orang banyak panggil Puteh Gemuk sebab gemuk orangnya.  Semasa bertugas di Parit, mereka duduk di rumah kerajaan yang semasa dahulu dipakai sebagai rumah rehat (Rest House) berdekatan dengan jeti Parit dan sekarang itu di tempat itu orang-orang berniaga (stall).  Tetapi, oleh kerana ia terpaksa bergerak ke sana-sini, ke hulu dan ke hilir, ia dibenarkan satu sampan sagur yang ada beratap dan berbilik dengan digaji oleh kerajaan beberapa orang untuk bergalah dan berdayung sampan.  Semasa ia pergi, orang-orang yang dibayar gaji itu di antaranya ialah kaum keluarga atau kaum kerabat yang rapat yang dapat dibuat apa-apa saja untuk disuruh membuat apa-apa saja pekerjaan di sampan dan di rumah.  Masing-masing taat kerana berkehendakkan kerja dan gaji.

Apabila ia (Tok Aki) ditukarkan balik ke Kuala Kangsar, maka keadaan sudah banyak berubah.  Opah terdengar merungut mengapa tidak bawa orang daripada opis untuk membuat kerja di rumah sebagaimana di Parit dahulu.  Tok Aki menjawab katanya “di sini semua orderly, peon, notis-server adalah orang kerajaan belaka, serupa dengannya tidak boleh dibawa bakerja di rumah.  Tambahan pula, kebanyakan mereka itu duduk di rumah sendiri di Sayong di seberang sungai dan mereka tidak balik makan tengah-hari.  Oleh itu selepas saja masa kerja pada petang, mereka bersegera balik ke rumah hendak makan.  Oleh itu, Opahpun berdiam saja.


bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA