MELAWAT KEPALA NEGERI PERAK
Dengan kejayaan yang tercapai di akhir tahun yang pertama ia mengajar di Sekolah Melayu Lambor Kiri itu, maka guru besar kami Cikgu Kechil amat bergembira kerana maklum sajalah pada masa mula ia tiba ke sini, orang-orang Lambor Kiri seolah menjalankan mogok terhadapnya. Oleh itu ia cadangkan membuat lawatan ke ibu-kota dan kepala Negeri Perak di masa itu iaitu Taiping kerana katanya kami boleh sendiri naik keretapi yang berjalan di bawah tanah yang baru ditebuk.
Oleh itu, di dalam masa cuti sekolah penggal pertama di awal tahun 1909, kami murid iaitu abang saudara Alang Mat Jali bin Kulop Deris, seorang budak lain Anjang Wain bin Ngah Bah, seorang budak yang mengaji sekolah dan Quran dengan guru besar yang lama dan saya sendiri bersetujulah pergi melawat keluar bersama-sama dan diketuai oleh guru besar kami Cikgu Kechil. Masing-masing kami telah diberi oleh ayah kami masing-masing $10.00 pada seorang dan wang itu kesemuanya diserahkan kepada guru besar kami untuk perbelanjaan di dalam perjalanan atau pengembaraan itu.
Untuk mengurangkan perbelanjaan di jalan, kami bersetuju pergi berjalan kaki seberapa jauh yang boleh dan membawa perkakas bermasak di jalan untuk berkelah. Oleh itu masing-masing terpaksalah mendukung periok rompong untuk memasak nasi dan pinggan ayan untuk makan.
bersambung
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA
No comments:
Post a Comment