Total Pageviews

Monday, 30 January 2012

MELAWAT KEPALA NEGERI PERAK (Sambungan 2): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

Apa yang sebenarnya menyebabkan kami tidak meneruskan perjalanan di hari itu ke Taiping ialah oleh sebab Cikgu kami sudah berasa malu hendak berjumpa dengan orang-orang kawannya kerana bau pakaian dan badan kami sudah jadi hapak sebab perjalanan yang begitu jauh.  Kami hendak mandi di Sungai Kangsar sambil membasuh pakaian yang kami pakai untuk menghilangkan bau kami yang sudah begitu hapak.

Apabila kami sampai ke pekan Kuala Kangsar, maka kami ikut sungai itu ke hulu jauh di mana tidak ada orang di situ.  Mereka yang ketika itu lalu turun ke sungai mandi sambil membasuh kain dan baju yang mereka pakai.  Saya masih kecil lagi dan tidak amat pedulikan fasal itu tetapi sempat jua saya membasuh kaki saya yang telah melecur dengan air sungai yang sejuk.  Mereka campakkan kain baju mereka yang mereka sudah basuh itu kepada saya yang tinggal di atas tebing dan suruh saya jemur di atas tebing sungai itu sehingga kering.  Sementara itu mereka tinggal di dalam air sungai dengan tidak berkain (bertelanjang) di dalam air.  Demikianlah keadaan dimasa itu bukan sebagaimana masa sekarang yang masing ada mempunyai banyak pakaian masing-masing.  Mereka terpaksa menanti di dalam air sehingga kering pakaian yang mereka basuh dan jemur kerana mereka tidak boleh naik ke darat disebabkan tidak ada pakaian yang lain.  Apabila kain baju mereka sudah kering sekurang hampir kering mereka suruh saya unjukkan kepada mereka dan selepas itu barulah mereka memakainya dan naik ke atas tebing sungai dengan terus dengan berjalan kaki jua ke Kota Lama Kiri dan kami tidur malam itu di rumah Cik Siti Hasnah, guru besar perempuan Sekolah Perempuan Melayu Kota Lama Kiri, seorang lagi daripada keluarga Cikgu kami itu.  Saya seorang tidak mandi dan membasuh kain baju kerana jika saya berbuat begitu, siapa pula hendak menjemur kain-baju mereka itu dan siapa pula hendak mengambilnya balik untuk masing-masing memakainya bila pakaian-pakaian itu kering kelak kerana saya pun sudah tahu malu bertelanjang di atas pantai.

Pada esoknya, iaitu di hari yang keempat didalam perjalanan atau pengembaraan itu, maka kami bertolak dengan jalan kaki jua ikut balik jalan Padang Asam untuk pergi ke Taiping.  Kami singgah sekali lagi di rumah Cikgu Ulong di Padang Asam dan ia jamu kami makan dengan potong ayam sebelum kami bertolak ke Taiping.  Tapak kaki saya yang sudah melecur terpaksa dibalut kerana amat sakit dipijakkan keatas jalan batu. 

bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA
 

Tuesday, 24 January 2012

MELAWAT KEPALA NEGERI PERAK (Sambungan 1): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

Pada petang hari pertama kami sampai di Sekolah Melayu di seberang Pekan Parit bermalam di situ.  Pada pagi besoknya, berjalan kaki jua bertolak ke Kuala Kangsar ikut jalan sebelah kiri Sungai Perak.  Di masa itu, (tahun 1909) belum ada jalan enam kaki terus menerus lagi.  Jalan raya jauh sekali tetapi kami berasa hairan bagaimana Cikgu Kechil dapat memandu kami.  Dalam perjalanan di hari itu kami bertemu dengan tahi-tahi gajah liar yang baharu dan di tengah-tengah hutan belantara kami dapati kampung kecil di sana sini ada pokok durian tetapi tidak ada orang-orang duduk.  Di atas pokok-pokok yang tinggal kami dapati pelantar-pelantar tempat orang-orang berjaga-jaga pada malam hari pada musim buah-buah durian itu gugur, di sana sini ada kampung-kampung kecil, Pekan Manong yang sekarang belum ada lagi dan di situ masih hutan.  Dalam sebuah rumpun semak di situ kami bertemu dengan seekor harimau akar tetapi harimau itu harus tidak sangka kami lalu kerana kami lihat ekornya saja yang nampak keluar daripada celah-celah rumpun semak itu menggerakkan ekornya seolah-olah mengibas nyamuk yang harus mengigitnya.  Yang mula sekali nampak ialah Cikgu kami yang telah lepas jauh ke hadapan.  Katanya “harimau” ponggol seolah-olah binatang itu takut pada manusia.  Yang gelisah sekali ialah abang saudara saya Alang Mat Jali yang di belakang sekali seolah-olah sudah tidak berupaya melangkah berjalan kaki sambil berkata “Moh la” dengan nafas yang panjang.  Saya yang sebelah hadapannya pun amat berasa tidak bersemangat lagi tambahan pula tapak-kaki saya sudah melecur berdarah disebabkan sudah berjalan jauh dengan kaki ayam, tidak berkasut.

Selepas itu tidaklah apa-apa gangguan lagi tetapi amat letih oleh kerana berdekatan dengan sebuah kampong kami berhenti untuk masak nasi kerana hari sudah lebih tengah hari dan kami belum makan semenjak bertolak daripada seberang Parit pada pagi itu.  Selepas itu kami terpaksa berjalan di tepi-tepi bukit untuk melalui Bukit Candan, Anda Malai Kuala Kangsar pada petang itu.  Saya fikir sudah sampailah perjalanan pada hari itu tetapi rupanya kami terpaksa berjalan kaki ke Sekolah Melayu Pokok Asam untuk tidur pada malam itu di rumah Cikgu Ulong iaitu buru besar sekolah itu, iaitu keluarga guru kami itu.

Pada pagi esoknya, iaitu di dalam perjalanan di hari yang ketiga saya berasa tidak lalu lagi berjalan bukan sahaja sebab sudah sangat letih tetapi tapak kaki saya sudah jadi nipis dan melecur.  Oleh itu, bersetujulah tidak meneruskan perjalanan itu ke Taiping pada hari itu.  Masing-masing bersetuju mematah balik ke Kuala Kangsar untuk menziarahi dan melihat Bandar DiRaja.  Saya sebenarnya berasa tidak lalu lagi berjalan tetapi berasa takut pula hendak ditinggalkan di Padang Asam oleh itu mahu-tak mahupun ikut juga dan dengan berjalan kaki juga.
bersambung
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday, 16 January 2012

MELAWAT KEPALA NEGERI PERAK: Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

MELAWAT KEPALA  NEGERI PERAK

Dengan kejayaan yang tercapai di akhir tahun yang pertama ia mengajar di Sekolah Melayu Lambor Kiri itu, maka guru besar kami Cikgu Kechil amat bergembira kerana maklum sajalah pada masa mula ia tiba ke sini, orang-orang Lambor Kiri seolah menjalankan mogok terhadapnya.  Oleh itu ia cadangkan membuat lawatan ke ibu-kota dan kepala Negeri Perak di masa itu iaitu Taiping kerana katanya kami boleh sendiri naik keretapi yang berjalan di bawah tanah yang baru ditebuk.

Oleh itu, di dalam masa cuti sekolah penggal pertama di awal tahun 1909, kami murid iaitu abang saudara Alang Mat Jali bin Kulop Deris, seorang budak lain Anjang Wain bin Ngah Bah, seorang budak yang mengaji sekolah dan Quran dengan guru besar yang lama dan saya sendiri bersetujulah pergi melawat keluar bersama-sama dan diketuai oleh guru besar kami Cikgu Kechil.  Masing-masing kami telah diberi oleh ayah kami masing-masing $10.00 pada seorang dan wang itu kesemuanya diserahkan kepada guru besar kami untuk perbelanjaan di dalam perjalanan atau pengembaraan itu.

Untuk mengurangkan perbelanjaan di jalan, kami bersetuju pergi berjalan kaki seberapa jauh yang boleh dan membawa perkakas bermasak di jalan untuk berkelah.  Oleh itu masing-masing terpaksalah mendukung periok rompong untuk memasak nasi dan pinggan ayan untuk makan.   


bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday, 9 January 2012

BELAJAR DI SEKOLAH MELAYU: Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

BELAJAR DI SEKOLAH MELAYU

Sebagaimana yang telah disebutkan pada awal tahun 1908, Cikgu Alang Maarof telah ditukar ke tempat lain dan digantikan oleh Cikgu Kechil.  Selepas peristiwa yang telah disebutkan maka mengajarlah ia bersungguh-sungguh.  Pada masa itu rumah sekolah masih lagi bangsal atap.  Cikgu Kechil menumpang di rumah abang saudara saya sebelah bapa iaitu Megat Pakeh bin Megat Kechil.  Ia mengajar bukan saja siang hari di sekolah tetapi pula mengajar pada malam hari di rumah tempat ia menumpang.  Ia mengajar hingga larut malam dan pada masa sekolah tutup siang hari ia mengajar hingga hampir waktu subuh.  Terkadang jadi budak-budak tidur mengigau hampir memanjat tiang rumah sebab kurang tidur dan pada satu malam terpaksa memanggil Tok Bomoh Ngah Makah untuk menjampi seorang budak yang seolah telah jadi tidak sedarkan diri lagi.

Pada masa Cikgu Kechil mula sampai saya mengaji baru masuk darjah dua maka dengan penuh lelah ia mengajar kami tidak kira siang atau malam.  Saya telah dinaikkan darjah daripada darjah dua beransur-ansur sehingga dihujung tahun itu juga saya telah dinaikkan bersama-sama dengan tiga orang murid yang lain yang telah masuk belajar dua tahun terdahulu daripada saya telah masuk di dalam peperiksaan darjah lima yang pada tahun itulah mula-mula diadakan peperiksaan darjah itu bagi murid-murid sekolah-sekolah Melayu.

Keadaan saya meningkat naik darjah-darjah itu sebegitu cepat daripada darjah dua beransur-ansur hingga ke darjah lima dalam masa setahun (1908) telah memeranjatkan atau mengemparkan keluarga saya kerana belum pernah terjadi begitu cepat di mana-mana sekolahpun.  Perkhabaran itu sehingga sampai kepada datuk saudara saya Uda Shukor yang kami panggil Tok Aki Sareh iaitu tempat ia duduk iaitu Teluk Sareh.  Pada satu petang ke rumah kami di Lambor Kiri dan langsung bermalam di rumah tua.  Pada malam itu dipanggilnya saya tidur bersama sekelambu dengannya sebagaimana kelazimannya bila ia datang ke rumah pusaka nenek-moyang kami.  Pada pagi esoknya, apabila ia hendak bertolak balik ke Teluk Sareh saya dengar ia membuat pesan kepada emak saya katanya “Long! Long! Berhentikan anak kamu padahnya kerana aku dengar semalam di dalam masa ia tidurpun ia mengingau mengeja apa ia kaji!”  Bagaimanapun tidak pula emak saya suruh saya berhenti daripada mengaji dan di akhir tahun itu juga saya dan tiga orang murid yang lain telah memasuki peperiksaan darjah lima iaitu julung kali darjah itu diadakan.

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday, 2 January 2012

GURU BERTUKAR (Sambungan 5): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

Selepas itu senyap-sunyilah perkara itu sehingga pada masa itu iaitu di masa berlaku perkahwinan Kulop Mat Ali di Pasir Kubu.  Sebagaimana kelaziman di zaman itu apabila satu perkahwinan diadakan, maka berhimpunlah sekelian kaum-kerabat saudara-mara dan termasuklah pula budak-budak.  Pada malam itu bulan terang-menerang dan cuaca pun bagus.  Oleh itu sekelian budak-budak dan pemuda-pemuda yang datang di masa perkahwinan itu pergi ke tepi sungai yang hampir dari situ yang pantainya berpasir jauh ke tengah.  Mereka bermain berbagai-bagai permainan yang mereka sukai tetapi yang ganjil dan menarik perhatian saya ialah satu macam permainan olok-olok dengan kata atau jampi seolah-olah olok-olok pula.  Saya sekarang tidak ingat lagi kata-kata atau jampi itu yang boleh membuatkan seseorang budak yang kena jampi itu hilang peringatan dan boleh disuruh ia membuat apa-apa yang disuruh saja semacam berok, disuruh panjat pokok ia panjat, disuruh ia bergantung didalam pokok bergayut kaki keatas dan kepala kebawah, ia perbuat tetapi apabila dipanggil namanya ia balik sedar dan menyesal tetapi nyata letihnya dan air peluhnya yang banyak.

Di antara budak-budak yang ramai itu termasuklah beberapa budak dan orang muda yang sudah besar daripada Lambor Kanan iaitu yang berkaum-kerabat dengan keluarga yang berkahwin.  Mereka itu menggayakan lagak mereka bercakap di antara mereka dengan ejaan huruf roman atau rumi.  Mereka menyagka mereka sahajalah yang tahu huruf rumi.  Masing-masing ada “pocket-book” dalam kocek sambil bereja-ejaan di antara mereka seorang daripada mereka memanggil kawannya dengan ejaan roman.  Katanya “S,O,D,A G,A,B,S”.  kawannya itu menjawab “aku tahu kamu eja nama aku “Uda Gabis” dengan huruf roman.  Nampaknya mereka belum erti sangat dengan huruf saksi.  Hendak buku pocket-book pun eja tidak cukup terang.  Saya berasa geli hati tetapi tidak berani gelak-ketawa kerana saya masih lagi kecil dan amat terlebih kecil daripada mereka.  Biasanya mereka memandang rendah kepada budak-budak Lambor Kiri kerana mereka bersekolah lebih dahulu kerana di kampong mereka sudah lama ada Sekolah Melayu samada bagi kanak-kanak laki-laki atau kanak-kanak perempuan yang berasingan beberapa tahun lebih dahulu.

Di masa atom dan spuknik ini dan masa manusia sudah naik ke bulan tentulah ada orang yang memikirkan keadaan semacam ini ganjil dan tidak diterima oleh akal tetapi keadaan itu sebenarnya berlaku di antara 60 atau 70 tahun dahulu.  Bagitulah keadaan dan kesusahan terutama yang duduk di kampung-kampung di masa itu hendak mencari ilmu pengetahuan.  Di masa orang-orang terutama pemuda-pemuda sekarang sepatutnya bersyukur kepada tuhan ke atas ikhtiar-ikhtiar dan kemudahan-kemudahan yang diberi oleh kerajaan yang sedang membelanjakan lebih daripada 1/3 hasil negara untuk pelajaran anak-anak negeri di dalam macam-macam bidang pelajaran.

Berbalik kepada ayam pengeras yang telah disebutkan kami murid-murid di masa itu, terpaksalah sibuk mencari makanannya untuk memelihara ayam-ayam itu.  Terkadang Cikgu kami belikan jagung bertongkol kami budak-budak berdamping dengannya terpaksa pergi ke hutan ataupun ke atas pulau di tengah sungai yang berdekatan dengan sekolah kami mencari kayu api untuk merebus jagung itu supaya kembang dan gemuk kerana hendak dijadikan banyak jagung itu.  Oleh itu sedikitlah belanja untuk membelanya.  Kami jalankan cara ini bertahun-tahun lamanya selama Cikgu Kechil mengajar di Sekolah Lambor Kiri.  Ini katanya telah melegakan hidupnya dan dapat ia mengansur hutangnya sebelum bertukar ke Lambor Kiri.  Saya telah masuk ke sekolah Inggeris di Kuala Kangsar di tahun 1912.  Oleh itu, saya pun terlepas daripada bebanan itu.  

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA