Sebagaimana yang telah saya sebutkan iaitu akibah daripada pelarian kebanyakkan penduduk di pekan ke kampung yang berpindah daripada peperangan yang datang mengejut oleh tentera Jepun melanggar negeri ini untuk menyelamatkan diri masing-masing dengan meninggalkan rumah dan harta benda masing-masing. Maka rumah saya yang saya tinggalkan untuk sementara sebagaimana rumah-rumah orang-orang yang lari ketempat lain telah dibuka oleh siapa saja yang suka dan barang-barang didalamnya habis diambil. Daripada rumah saya sahaja dikatakan tidak kurang daripada tujuh buah sampan telah dimuatkan kerana dimasa itu berbetulan pula dengan air sungai naik pasang rabung dan rumah saya ialah ditepi sungai dijalan ke Batak Rabit maka barang itu dibawa dengan sampan kesebelah hilir seperti Sungai Durian dan lain-lain yang dekat sebelah hilir sungai kerana barang-barang itu susah hendak dibawa mudik ke hulu oleh kerana terpaksa melingkung tanjung yang jauh jika hendak dibawa mudik ke hulu. Bagaimana pun saya telah terjumpa dua keping gambar besar saya sendiri dan gambar ayah saya saya di tepi sungai disebelah rumah saya itu dan gambar-gambar itu masih ada sekarang untuk ingatan peristiwa itu.
Selepas Telok Anson diduduki oleh tentera Jepun maka pihak tentera telah membuat peristiharan iaitu mereka yang mengambil barang-barang orang lain hendaklah pulangkan atau serah balik barang-barang itu kepada tuannya yang punya dan jika tidak atau sesiapa yang melanggar peristiharan itu akan dikenakan hukum berat. Akibah daripada pengistiharan itu atau oleh sebab ketakutan maka barang-barang itu kesemuanya telah dibuang kedalam Sungai Perak dan berbulan-bulan kemudian daripada itu sekelian barang-barang yang ringan yang tidak terus tenggelam dapat kelihatan terapung-terapung hilir mudik dibawa arus sungai pasang surut dan tidaklah siapa pun yang berani mengambilnya. Demikian jua pemerintah dimasa itu pun tidak pula mengumpulkannya - demikianlah kejadian didalam masa yang tidak ada pemerintahan, masing-masing jadi raja dihatinya.
bersambung
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA
No comments:
Post a Comment