Total Pageviews

Monday, 27 January 2014

SEJARAH AWAL NEGERI PERAK (Sambungan 4): SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI PARIT PERAK


Kebetulan pula Raja Mudzaffar Shah serta pengiring dan orang-orang ramai yang bersamanya sampai ke situ.  Setelah itu Raja Mudzaffar lalu menerangkan yang pemuda itu telah membunuh abangnya dengan teraniaya dan dengan tidak cukup usul-periksa.  Tambnya lagi maksud abangnya ialah nama buluh itu ialah “Buluh Apa”.  Dengan itu pemuda itu terus pengsan dengan tidak sedarkan diri lagi oleh memikirkan perbuatannya yang kejam dan kehilangan saudara tuanya sendiri yang ia amat kasih dan tempat berharap.  Mayat pemuda itupun terus dikuburkan di situ jua.  Oleh yang demikian, banyak orang menyangka iaitu itulah sebab tempat itu dipanggil “Tanah Abang” tetapi bagaimanapun tempat atau tanah itu bukanlah tempat atau kepunyaan abang yang terbunuh oleh pemuda adiknya itu.

Selepas itu, maka Raja Mudzaffar Shah telah pergi melihat sekeliling tempat itu dan didapati tempatnya lapang subur dan di tepi sungai pula.  Oleh itu, ia dan pengikut-pengikutnya telah mengambil keputusan untuk membuka negeri di situ dan di situ juga ia ditabalkan sebagai Sultan Perak yang pertama dengan gelaran Sultan Mudzaffar Shah oleh Tun Khamis.  Daripada satu riwayat menyatakan itulah punca tempat itu dipanggil “Tanah Abang” bagi mengingatkan iaitu tanah atau negeri abang saudaranya Tun Khamis yang terlebih dahulu telah membuka negeri Perak dan telah menjadi pemerentahnya yang awal dan apabila Al-Marhum Sultan Muzaffar Shah mangkat baginda telah dimakamkan di situ dengan gelaran Al-Marhum “Tanah Abang” – daripada riwayat lain maknanya Tanah Merah (Abang Merah).



bersambung
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
 HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday, 20 January 2014

SEJARAH AWAL NEGERI PERAK (Sambungan 3): SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI PARIT PERAK




Mereka telah pergi menjemput Raja Mudzafar dan perangkatan tiba kenaikkan Raja Muzaffar telah disambut dengan meriah oleh orang Perak setiba di Beting Beras Basah di Kuala Sungai Perak.  Perangkatan itu mudik melalui Sungai Perak yang semasa itu  iaitu hampir 500 tahun dahulu keadaan Sungai Perak belumlah begitu luas sebagaimana sekarang kerana ada tempat-tempat yang genting di mana tebing Sungai Perak lagi bertaup oleh pokok-pokok rotan daripada satu pohon ke satu pohon yang lain merentang sungai yang terpaksa dipotong lebih dahulu baru boleh lepas mudik.

Perangkatan itu mudik ke hulu seberapa yang boleh hingga sampai ke satu tempat di atas tebing sungai di mana didapati atau dijumpai mayat seorang pemuda dengan pemuda yang lain sedang menangis disisinya dan di tempat itu tidak ada orang duduk di situ.

Setelah melihat keadaan itu, maka Raja Muzaffar serta pengiring-pengiringnya dan orang-orang yang bersama langsung singgah di situ dan Raja Mudzaffar Shah lalu bertanya kepada pemuda yang menangis bagaimana kejadian itu berlaku dan orang muda itu menceritakan lebih kurang seperti berikut:-

Mereka berdua adalah adik-beradik.  Mereka mudik dengan sampan pada hari itu dan singgah di situ di mana mereka berjumpa dengan serumpun buluh yang adiknya tidak tahu nama buluh itu.  Adiknya bertanya Abang:-


Adik – “Apa nama buluh itu Abang?”
Abang Menjawab – “Buluh apa Adik.”
Adik bertanya lagi – “Buluh apa ini abang.”
Abang menjawab – “Buluh apalah adik.”

Tidak juga mengerti adiknya, lalu ia bertanya lagi.

Adik bertanya -  “ Buluh ini apa namanya abang.”
Abang menjawab – “Buluh apa adik,”

Demikianlah mereka kedua adik-beradik bersoal-jawab dan diakhirnya adik memikirkan yang abangnya itu mengolok-olokkan adiknya lalu ia meradang atau marah yamg amat sangat serta ditikamnya abangnya terus mati.



bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
 HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday, 13 January 2014

SEJARAH AWAL NEGERI PERAK (Sambungan 2): SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI PARIT PERAK



Sebelum Sultan Mahmud Shah mangkat maka Raja Mudzaffar Shah sepatutnya diura-urakan menjadi bakal menggantikan ayahandanya Sultan Mahmud Shah yang pertama, tetapi diakhirnya pula dimasa itu baginda itulah beroleh pula seorang putera lelaki yang ketiga dengan isterinya Tun Fatimah, Raja Ali namanya.  Maka dengan desakan atau kehendak Tun Fatimah maka Raja Ali pula dilantik jadi bakal Sultan bergelar Sultan Muda.

Berkenaan dengan Raja Mudzaffar pula iaitu kekanda yang tua kepada Raja Ali beberapa riwayat pula telah timbul diantaranya ialah apabila Raja Ali telah dilantik sebagai bakal raja maka ia telah merajuk dan ada pula meriwayatkan iaitu ia telah terhalau ketika di Kampar iaitu selepas mangkat ayahandanya Sultan Mahmud Shah.  Oleh itu ia telah meninggalkan negeri dan kampung halaman tetapi banyak pula meriwayatkan iaitu perkara yang berlaku ke atas Raja Mudzaffar itu telah sampai kepada pengetahuan Tun Khamis yang di masa iaitu sebagai pembesar dan pemerintah negeri Perak.  Ia telah teringat janji-janji dan sumpah setia diantara ayahnya Bahta dengan Sang Sepurba ninda mereka Raj Petrali iaitu di antara lain anak-cucu Bahta tidak boleh durhaka kepada anak-cucu Sang Sepurba atau juga sebaliknya dan di masa itu sebagai saudara yang tua sekali maka telah terlintas di hatinya iaitu dengan keadaan atau pendirian sebagai seorang pembesar dan pemerintah negeri Perak sementara itu Raja Mudzaffar seolah menjadi merana, adakah itu satu perkara derhaka sebagaimana sumpah setia bapanya.  Oleh itu, ia telah memikirkan tertanggung ke atas bahunya bagi mentabalkan Raja Mudzaffar sebagai Raja Pemerintah dan ia taat kepadanya.  Dengan hal yang demikian, maka ia telah bermesyuarat dengan orang-orang pengikutnya dan mereka bersetuju menjemput dan membawa Raja Mudzaffar masuk ke Perak untuk ditabalkan sebagai Sultan yang pertama bagi negeri Perak dan teluk rantaunya.

bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
 HAK CIPTA TERPELIHARA




Monday, 6 January 2014

SEJARAH AWAL NEGERI PERAK (Sambungan 1): SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI PARIT PERAK


“Tanah Abang”


Sebagaimana sekarang “Tanah Abang” adalah nama satu tempat kecil yang terpencil pula di Kampung Air Mati, sempadan sebelah hulu Mukim Lambor Kanan (bukan di dalam Mukim Bota).  Maka terdahulu daripadanya telah disebutkan satu daripada riwayat bagaimana asalnya tempat ini dinamakan “Tanah Abang”.  Bagaimanapun, tidaklah diketahui dengan jelas bagaimana riwayat yang sebenarnya maka tempat ini dipanggil “Tanah Abang”.  Ada beberapa riwayat yang lain daripada nenek moyang dan orang-orang tua yang dahulu menceritakan asal usul dinamakan demikian diantaranya ialah:-

Setealah negeri Melaka dikalahkan oleh oarang-orang Portugis di dalam tahun Masehi 1511 maka Sultan Mahmud Shah yang pertama iaitu Sultan negeri Melaka yang akhir telah berundur daripada negeri Melaka dengan dua orang puteranya Raja Ahmad dan Raja Muzaffar dan isteri baginda Tun Fatimah serta Orang-orang Besar dan pengiring-pengiring baginda mulanya ke Batu Hampar di Johor.  Putera baginda yang tua iaitu Raja Ahmad berbuat negeri di situ dan ditabalkan dengan gelaran Sultan Ahmad Shah.

Manakala masyhur negeri itu maka datanglah orang-orang Portugist melanggar dan membinasa negeri itu.  Sekali lagi mereka berundur ke Pahang dan daripada sana ke Bintan, Sultan Mahmud Shah berangkat ke Kampar di mana baginda dilantik menjadi pemerintah menggantikan Sultan Abdullah yang telah ditawan oleh orang-orang Portugis dan dibawa ke Goa.  Anakanda Sultan Ahmad Shah akhirnya mangkat di Kupah.

bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
 HAK CIPTA TERPELIHARA