BAHAGIAN YANG KEEMPAT
PERPISAHAN ANAK-ANAK KAMPUNG KE LAIN-LAIN TEMPAT
UNTUK BERKHIDMAT DIDALAM JAWATAN KERAJAAN ATAU LAIN-LAIN
Sebagaimana yang disebut di tempat lain oleh
kerana Di sebelah darat Mukim Lambor Kiri sehingga ke sempadan Gelong Gajah di
sebelah Bruas semata paya dan tidak dapat digunakan untuk bercucuk tanam dan
sebelah hulunya pula semakin lama semakin tirus di sebabkan oleh Sungai Perak
menelan kampung-kampung Kucai, Bakong, Kemenong Baru sehingga Kemenong Tua yang
dari semasa ke semasa tebingnya rebak dan jatuh ke sungai oleh sebab keruntuhan
tebing-tebing sungai di kampong yang tersebut.
Oleh itu, mukim ini yang sudah pun kecil semakin lama semakin tirus dan
tidaklah ada tempat yang baru yang dapat dibuka lagi untuk bercucuk tanam yang
akan dijadikan kampung untuk penduduk-penduduk mencarI nafkah hari-hari bagi
kehidupan yang biasa. Disebelah hulu
mukim ini telah ditelan oleh Sungai Perak sehingga boleh diingatkan lagi iaitu,
tebing sungai di Kampung Tanjung di dalam Mukim Lambor Kanan yang sekarang
adalah asalnya di tebing Kampung Baru di dalam Mukim Lambor Kiri di zaman
dahulu. Sebaliknya, pula bilangan
penduduk-penduduk Mukim Lambor Kiri sebagaimana di tempat-tempat lain semakin
bertambah.
Sungguhpun di zaman perbakala mukim
ini adalah tempat tumpuan orang-orang daripada negeri-negeri dan
jajahan-jajahan lain maka sekarang ini telah terbalik keadaanya. Dizaman dahulupun
ada juga anak-anak kampung ini terutamanya pemuda-pemudanya berhijrah ke negeri-negeri
atau tempat-tempat lain, maka lebih-lebih lagilah di masa yang akhir-akhir ini oleh
kerana keadaan di kampung memaksa mereka, Mereka terpaksa berhijrah ke
negeri-negeri atau tempat-tempat berselerak di merata-rata negeri di Malaysia
terutama ke Ibu Kota Kuala Lumpur semada bekerja di dalam jawatan-jawatan
kerajaan di merata-rata tempat di Malaysia.
Di gudang-gudang saudagar-saudagar kerja bersendirian atau lain mengikut
pelajaran, kebolehan dan taraf masing-masing.
Di antara mereka yang terpelajar di
dalam Bahasa Inggeris terutamanya yang berpengetahuan atau lulus Ilmu
Undang-undang baik pula yang telah bersara atau masih memegang jawatan-jawatan pentadbiran
negeri yang tertinggi sehingga ada daripada keluarga kampung ini yang telah
menduduki kerusi di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations
Organisation) di Amerika Syarikat dan ada pula yang menjalankan perusahaan yang
besar seperti melombong bijih. Bagi
mereka yang kurang pengetahuan, bekerjalah sebagai buruh kasar atau
sebagainya.
Beberapa banyak daripada anak-anak
kampung atau mukim ini yang telah berhijrah ke tempat-tempat lain di dalam
negeri ini seperti Bukit Gantang, Sayong, Manong, Simat, Jerlun dan lain bahkan
ke negeri-negeri lain seperti Selangor, Pahang, Kedah sehingga ke negeri Siam pun ada. Mereka ini pindah membawa anak-pinak dan
isteri atau berkahwin pula serta beranak cucu-cicit di tempat mereka berhijrah
itu. Kelaziman mereka tidak pula pernah
balik ke kampung asal dan lama kelamaannya hilanglah cerita mereka anak-cucu
berputus langsung dengan kaum keluarga mereka yang di kampung datuk nenek
mereka yang asal oleh sebab tidak berkenalan langsung.
bersambung
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA